Peringatan Hari Pekerja dan 100 Tahun Revolusi Rusia

Peringatan Hari Pekerja dan 100 Tahun Revolusi Rusia

Posted by

Sambutan hari pekerja 1 Mei di seluruh dunia pada tahun ini bersamaan dengan peringatan seratus tahun Revolusi Rusia. Revolusi yang mencapai puncaknya pada bulan Oktober tahun 1917 di sebuah negara paling miskin di Eropah pada waktu itu tercatat dalam sejarah sebagai sebuah revolusi yang berjaya menjatuhkan kuasa raja zalim berdasarkan kepada kekuatan golongan miskin yang dipimpin oleh kelas pekerja. Sama halnya dengan sejarah kelahiran hari pekerja di Amerika Syarikat lebih seratus tahun dahulu yang tuntutan utamanya ialah hak 8 jam hari bekerja, revolusi Rusia juga diperoleh melalui perjuangan pekerja dan golongan miskin di jalan raya.

Walaupun revolusi itu telah berjaya memberi ruang demokrasi dan peluang kepada kelas pekerja untuk memerintah, tetapi kemudian ia telah dipesongkan oleh Joseph Stalin, yang mengambil alih kepimpinan selepas kematian Lenin, tokoh penting dalam memimpin revolusi tersebut. Stalin memerintah secara diktator dan menyingkirkan serta membunuh banyak saingan politik yang dianggap mengancam kekuasaannya, termasuk Leon Trotsky, tokoh revolusi kelas pekerja yang berpengaruh. Pekerja yang selepas revolusi memiliki hak dan suara dalam menentukan hala tuju negara kembali ditekan oleh birokrasi yang wujud di bawah kepimpinan Stalin. Banyak daripada mereka yang dihantar ke kem kerja paksa kerana tidak mahu mengikuti arahan dan perintah yang diambil secara sepihak oleh pemimpin atasan. Ini menunjukkan bahawa demokrasi yang memberikan hak kepada setiap pekerja untuk memberikan pandangan merupakan syarat utama kepada kejayaan sebuah organisasi, union atau pemerintahan kelas pekerja. Jika tidak, maka birokrasi akan menghambat kesedaran kelas pekerja untuk menentukan nasib mereka sendiri.

Padahal, ketika pekerja dan golongan miskin yang lain berjaya mengambil alih kuasa daripada golongan monarki, tuan tanah dan kapitalis melalui revolusi tersebut, mereka telah mewujudkan satu sistem masyarakat yang paling mendekati sebuah sistem masyarakat tanpa kelas. Setiap orang adalah pekerja. Tidak ada majikan kerana kilang dan syarikat dijalankan sendiri oleh golongan pekerja. Ini ialah sistem ideal yang setiap pekerja inginkan, iaitu setiap orang bekerja mengikut kemampuan dan memperoleh sesuai dengan keperluan.

Keadaan pekerja selepas revolusi sebelum dipesongkan oleh Stalin bertolak belakang dengan sistem kapitalisme yang menguasai kita hari ini. Dalam sistem kapitalis, majikan atau kapitalis pemilik modal mengaut keuntungan hasil dari titik peluh pekerja. Para majikan boleh berbuat demikian kerana mereka memiliki modal dan alat pengeluaran, sedangkan pekerja hanya menjual tenaga kepada majikan. Inilah sumber utama penindasan golongan kapitalis terhadap kelas pekerja. Ketika awal kemunculan kapitalisme di Eropah pada abad ke-19, penindasan terhadap golongan pekerja dilakukan tanpa kawalan. Pekerja terpaksa bekerja lebih enam belas jam sehari dengan upah yang kecil. Keadaaan ini menyebabkan golongan pekerja terperosok dalam lubang kemiskinan yang sangat dalam tanpa ada harapan untuk keluar daripada penderitaan hidup.

Realiti hidup yang menyesakkan ini dialami oleh semua pekerja sehingga mereka memiliki kesedaran yang sama dan mendapati penderitaan mereka disebabkan oleh penghisapan oleh majikan. Kesedaran bersama ini telah menghasilkan solidariti di kalangan pekerja yang pada akhirnya melahirkan tuntutan-tuntutan. Tuntutan yang paling munasabah ialah hak untuk menghadkan masa bekerja lapan jam sehari berbanding berbelas-belas jam yang merupakan amalan biasa pada waktu itu. Tuntutan itu disuarakan melalui mogok kerja, demonstrasi, protes yang memaksa pihak kapitalis memenuhi tuntutan tersebut sehingga dikuatkuasakan menjadi undang-undang. Hak istimewa kita untuk bekerja selama lapan jam sehari yang kita nikmati hari ini adalah kerana perjuangan golongan pekerja lebih seratus tahun dahulu. Walaupun dalam kenyataannya hari ini, masih banyak paksaan yang dikenakan oleh majikan kepada pekerja untuk bekerja lebih masa, tanpa kerelaan dari pekerja. Ini berlaku kerana kita masih hidup dalam sistem kapitalisme. Revolusi Rusia yang diperingati seratus tahun pada tahun ini adalah pertama dalam sejarah dunia di mana kelas pekerja berjaya memimpin dan mengambil alih pemerintahan sebuah negara. Modal dan alat pengeluaran yang telah dikuasai oleh pekerja dan dikelola secara bersama untuk keuntungan dan kepentingan bersama. Jadi, meskipun lahirnya hari pekerja dan revolusi Rusia berlaku seratus tahun dahulu, tetapi kejayaan golongan pekerja melakukan tuntutan, bahkan merubah satu sistem ekonomi masyarakat yang berpaksikan kepada pemilikan peribadi menjadi pemilikan bersama adalah satu pencapaian yang luar biasa yang mesti dicontoh. Kerana dengan berjuang, kita tidak akan kehilangan apa-apa selain rantai yang membelenggu pekerja.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*