Hari Wanita Sedunia Kuala Lumpur 2017

Hari Wanita Sedunia Kuala Lumpur 2017

Posted by

Gerakan Pembebasan Wanita, sebuah kempen berciri anti kapitalisme dan perjuangan wanita, telah menganjurkan beberapa acara sempena sambutan Hari Wanita Sedunia yang ke 100 di Malaysia. Kami juga mengangkat rentang dan sepanduk di sekitar jalan raya di Kuala Lumpur pada 11 Mac dan mengundang sesiapa yang menyokong perjuangan wanita untuk menyertai kami. Seramai 40 orang anak muda yang melihat kepentingan sambutan ini telah hadir dengan pelbagai mesej yang mengangkat isu penindasan hak wanita. Kami berjalan di Kuala Lumpur sambil melaungkan slogan perjuangan wanita bagi meningkatkan kesedaran rakyat biasa mengenai penindasan yang berlaku di Malaysia terhadap wanita.

Anak muda yang menyertai acara ini telah meluahkan pendapat mereka mengenai kondisi wanita di Malaysia dan sedar akan keperluan untuk berganding bahu dengan komuniti tertindas yang lain bagi memperjuangkan nasib mereka. Selain golongan aktivis wanita, terdapat juga golongan LGBTQ dan pejuang hak minoriti yang menyertai acara ini bagi menyuarakan penindasan yang berlaku ke atas golongan yang dianggap tidak mematuhi peraturan gender seperti yang ditetapkan oleh sistem kelas ini. Ramai juga di kalangan peserta yang menyuarakan bantahan terhadap budaya seksisme yang berkembang di tempat kerja dan institusi pendidikan di Malaysia dan di seluruh dunia pada masa ini.

Pada ulang tahun ke 100 Hari Wanita Sedunia, wanita masih lagi ditindas dan dilihat sebagai golongan kelas kedua di mata masyarakat. Mengikut kajian UNICEF yang diadakan pada 2015, 70% daripada rakyat Malaysia menganggap bahawa golongan lelaki memiliki taraf yang lebih tinggi berbanding wanita. Tambahan pula, golongan wanita tidak mempunyai sebarang suara dalam politik dan dianggap tidak sesuai untuk menjadi pemimpin negara secara umum. Lelaki profesional dianggarkan mendapat 23% lebih gaji bagi kerja yang sama manakala bagi golongan kelas pekerja pula, jurang pendapatan tersebut sering melebihi 40%.

Ini dengan jelas menunjukkan bahawa walaupun kerajaan Malaysia menandatangani Konvensi Bangsa-bangsa Bersatu berkenaan Pengapusan Segala Bentuk Diskriminasi Terhadap Wanita, tiada langkah-langkah konkrit diambil untuk memperkasakan hak dan kebajikan wanita. Hipokrasi Ini memperkukuhkan hujah kami tentang perlunya alternatif kepada kapitalisme dan patriarki yang menjadi landasan politik kerajaan.

Selepas acara tersebut, kami mendapat berita bahawa peserta yang hadir telah dicemuh dan dimalukan dalam media sosial. Kami ingin mengecam kelakuan tersebut dan bersolidariti dengan mangsa cemuhan. Suara wanita begitu berharga dan tidak harus diremehkan sebegitu. Gerakan Pembebebasan Wanita juga sedar bahawa budaya seksisme ini wujud dalam media sosial, tempat kerja, institusi pengajian dan kadang-kadang dalam institusi keluarga itu sendiri. Institusi keluarga patriarkal, undang-undang perkahwinan dan penceraian yang menindas wanita, serta hak reproduksi wanita yang dikawal secara sistemik, kononnya untuk ‘melindungi’ seksualiti wanita, antaranya, telah membenarkan ruang untuk seksisme.

Kami mengambil peluang ini untuk menyeru kepada golongan wanita dan tertindas, kita harus berani dan bangkit menghadapi cabaran. Kehadiran kamu ke sambutan Hari Wanita tersebut boleh menjadi titik permulaan bagi perjuangan ke arah pembebasan wanita dan LGBTQ di Malaysia. Meskipun ia media sosial, namun cemuhan itu wujud kerana sistem ini telah membenarkannya. Jadi, dihadapan nanti, bukan sahaja media sosial, tetapi kuasa politik, keluarga, saudara mara, dan kawan-kawan kita sendiri juga mungkin akan meremehkan perjuangan kita. Namun kita tak harus beralah. Satu-satunya cara agar tenaga kita tidak dibazirkan adalah dengan menyertai organisasi akar umbi yang memperjuangkan hak wanita, sekaligus mencabar struktur masyarakat yang telah membenarkan seksisme.

Kami menyeru kepada semua untuk menilai tuntutan kami dan menyatukan tenaga demi perjuangan ke arah dunia yang lebih adil.

Tuntutan kami :

Gaji yang sama rata bagi wanita dan lelaki

Peluang pekerjaan dan hak politik, ekonomi dan sosial yang sama rata dengan lelaki

Mengiktiraf beban dan kerja surirumah sebagai kerja produksi sosial untuk menjamin hak dan kebajikan surirumah dan keluarga

Berikan hak reproduksi untuk menentukan haluan hidup sendiri secara demokratik kepada wanita

Wujudkan kemudahan kesihatan yang mencukupi untuk menjamin keperluan kebajikan dan kesihatan wanita

Cuti berbayar yang mencukupi bagi wanita untuk menghadapi kedatangan haid dan jika mengandung.

Pembesaran kanak-kanak adalah tanggungjawab masyarakat dan harus disediakan peruntukan secukupnya oleh kerajaan untuk membantu membesarkan mereka.

Hapuskan budaya seksisme di institusi pengajian dan di tempat kerja

Hak untuk menubuhkan kesatuan sekerja bagi semua pekerja

Gaji minimum berlandaskan kepada inflasi bagi semua tidak kira kaum, agama dan jantina

Badan komuniti yang dipilih secara demokratik oleh rakyat harus diberikan kuasa dalam mengawal dan mengurus hal ehwal agama dan budaya.

Pengawalan produksi secara demokratik oleh kelas pekerja dan komuniti

Ubah sistem patriarki dan sistem kelas dan gantikan dengan alternatif sosialis untuk menjamin hak dan kebajikan majoriti kelas pekerja dan rakyat tertindas.

Laporan Hari Wanita Malaysia dalam Bahasa Inggeris di socialistworld.net

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*