Amalan Poligami dalam Masyarakat Kelas Menindas Golongan Wanita!

Amalan Poligami dalam Masyarakat Kelas Menindas Golongan Wanita!

Posted by

Sebelum kita mengkaji poligami, kita haruslah memperhalusi asas kepada institusi keluarga. Marxist berhujah bahawa institusi keluarga wujud untuk menyokong sistem kelas. Institusi keluarga dalam apa bentuk sekalipun, berakar dalam patriaki dan mempunyai sejarah penindasan wanita. Intitusi ini membebankan wanita dari segi kerja domestik yang dilakukan secara percuma dan mewujudkan kebergantungan kepada lelaki yang menjadi punca pencari nafkah.

Terdapat pelbagai bentuk perkahwinan iaitu monogami, poligini dan poliandri. Monogami adalah bentuk perkhawinan yang diamalkan di antara satu isteri dan satu suami, poligini adalah perkahwinan di antara satu suami dan lebih daripada satu isteri dan poliandri adalah di antara satu isteri dan lebih daripada satu suami. Poligini merupakan bentuk perkahwinan yang dibenarkan dari segi undang-undang di Malaysia bagi orang beragama Islam.

Poligini selalunya dibenarkan di dalam konteks kebebasan agama, terutamanya agama Islam dan beberapa cabang agama Kristian. Tetapi, bukankah kebebasan dan hak wanita juga penting? Kebebasan beragama diberikan kepada lelaki tetapi dengan mengorbankan kebebasan wanita?
Terdapat banyak kajian yang telah dibuat untuk mengetahui kesan-kesan perkahwinan poligini kepada wanita. Kebanyakkan kajian ini menunjukkan bahawa perubahan organisasi keluarga merupakan satu pengalaman yang traumatik untuk isteri, terutamanya isteri pertama. Golongan wanita sememangnya ditindas walaupun dalam bentuk keluarga monogami dimana si isteri terpaksa akur dengan kemahuan suaminya, inikan pula diberikan ruang untuk melakukan poligini.

Anak-anak yang dibesarkan dalam keluarga poligini juga mengalami kesan-kesan tertentu. Sisters in Islam (SIS) yang menjalankan kajian di seluruh Malaysia menemui bahawa anak kepada isteri pertama seringkali mengalami kesan emosional negatif. Kebanyakkan anak kepada isteri pertama melaporkan bahawa mereka diabaikan oleh ayah mereka apabila mendapat isteri kedua.

Walaupun pendokong poligini mendakwa bahawa poligini merupakan perkahwinan yang dipersetujui oleh kedua-dua suami dan isteri, ini seringkali tidak benar. Kajian mengatakan bahawa kebanyakkan daripada perkhawinan kedua berlaku tanpa pengetahuan isteri pertama. Institusi agama itu sendiri mewujudkan ruang bagi lelaki untuk menipu isteri apabila mereka hanya perlu membayar denda RM30 di Makamah Syariah jika didapati tidak memberitahu isteri pertama tentang perkahwinan keduanya.

Pasangan Malaysia didapati membanjiri selatan Thailand setiap hari bagi mengadakan perkhawinan kedua atau lebih, tanpa persetujuan daripada isteri pertama. Kajian mengatakan bahawa seramai 30 pasangan berkahwin di Thailand setiap hari dan bilangan ini meningkat dari tahun ke tahun. Kes-kes seperti ini menunjukkan bahawa undang-undang mempunyai ketidaksaamaan gender. Wanita juga tidak diberi hak untuk bercerai walaupun ditipu oleh suaminya. Pada masa yang sama, golongan lelaki boleh menceraikan isterinya hanya dengan menghantar mesej melalui telefon bimbit. Bagi golongan wanita pula, proses penceraian merupakan sesuatu yang sulit dan boleh mengambil bertahun-tahun untuk diselesaikan.

Agama, berlainan daripada institusi, tidak menindas golongan wanita. Agama yang di institusi dalam sistem masyarakat kelas merupakan masalah yang sebenar. Di dalam perkahwinan monogami sekalipun, wanita tetap ditindas dari aspek kerja domestik yang terpaksa dilakukan secara percuma. Jika masyarakat ini disusun tanpa mengikut kelas, perkahwinan akan menjadi lebih demokratik dan golongan wanita dapat menikmati kesaksamaan undang-undang.

Ia juga penting untuk ambil perhatian bahawa dalam kes-kes poligini di Malaysia, rata-rata hanya lelaki kelas atasan yang terlibat dalam perkahwinan lebih dari seorang. Lelaki yang mempunyai kekayaan mengetahui bahawa wanita akan terpaksa bergantung kepada mereka dari segi ekonomi dan sering mengambil kesempatan ke atas tubuh badan wanita dan tenaga kerja mereka. Eksploitasi ini disokong oleh sistem undang-undang patriaki yang dinikmati oleh golongan lelaki secara umum. Semakin hari, pasangan dari kelas pekerja menghadapi masalah untuk berkahwin akibat keadaan ekonomi individu yang merosot manakala golongan berada mampu berkahwin sampai empat isteri untuk menjaga mereka.

Kesimpulannya, bagi memastikan kebebasan bagi golongan wanita daripada belenggu poligini, institusi keluarga yang berbentuk patriarki dan institusi perkahwinan yang berpegang kepada sistem kapitalis ini harus ditolak. Kedua-dua monogami dan poligami dibawah sistem kelas akan menindas golongan wanita secara sistemik.

Sebuah perjuangan menentang amalan poligini harus dibina dan gerakan tersebut harus dilengkapkan dengan kepimpinan yang mampu menyedarkan massa mengenai keperluan untuk melawan sistem kelas dan patriarki itu sendiri bagi menjamin kebebasan wanita. Sebuah seruan untuk melawan sistem kelas akan dapat menghubungkan perjuangan-perjuangan lain tanpa mengira kaum, agama atau jantina dan akan dapat membawa perubahan yang nyata. Pada masa yang sama, kepimpinan juga harus membawa alternatif yang jelas bagi mencabar sistem yang sedia ada.

Kelas pekerja, anak muda dan golongan wanita harus mengaturkan diri dalam organisasi dan mulakan perbincangan mengenai cara-cara untuk menghubungkan semua gerakan rakyat yang wujud. Perjuangan kearah pembebasan wanita juga berhubung kait dengan perjuangan untuk mengatasi sistem kelas dan menubuhkan satu sistem alternatif yang lebih adil bagi semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*