Gugurkan Tuduhan Terhadap Lena Hendry dan Mansuh Akta Penyaringan Filem yang Menindas!

Gugurkan Tuduhan Terhadap Lena Hendry dan Mansuh Akta Penyaringan Filem yang Menindas!

Posted by

Aktivis hak asasi manusia Lena Hendry telah disabit kesalahan oleh Mahkamah Majistret atas tuduhan menganjurkan tayangan filem yang belum disaring oleh kerajaan. Lena Hendry dituduh melanggar Akta Penapisan Filem 2002 kerana menayangkan filem ‘No Fire Zone’ ( sebuah dokumentari mengenai pembunuhan masyarakat Tamil oleh tentera Sri Lanka di perang saudara 2009 ) pada 2013. Lena merupakan aktivis hak asasi pertama yang didakwa untuk tuduhan menayangkan filem yang dikatakan belum ditapis oleh badan kerajaan.

Filem ‘No Fire Zone-Killing Fields of Sri Lanka’ merupakan sebuah dokumentari yang merakam minggu-minggu terakhir serangan tentera Sri Lanka ke atas rakyat Tamil yang menduduki bahagian utara negara tersebut. Filem ini menunjukkan bukti bahawa tentera Sri Lanka telah terlibat dalam jenayah hak asasi yang melampau dan telah memusnahkan ribuan nyawa dan komuniti yang hidup di rantau tersebut. Pemimpin Sri Lanka pada waktu itu, Rajapakshe, telah dicemuh oleh aktivis hak asasi dari seluruh dunia bagi jenayah melancarkan serangan terhadap rakyat biasa yang tidak berdosa dan tidak mempunyai sebarang perlindungan.

Filem tersebut tidak mengandungi sebarang propaganda perkauman atau unsur politik selain merakam kekejaman yang berlaku. Aktivis hak asasi manusia dari semua lapisan masyarakat harus menonton filem ini bagi memahami situasi yang telah berlaku di akhir perang saudara 2009 di Sri Lanka. Kerajaan Sri Lanka dengan jelas telah melakukan jenayah hak asasi dan harus dibawa ke muka pengadilan dan pendedahan informasi sebegini amat diperlukan. Lena Hendry yang merupakan pejuang hak asasi, dengan menggunakan media filem ini telah cuba menyedarkan rakyat mengenai kondisi masyarakat Sri Lanka yang belum pulih daripada perang tersebut. Ribuan pelarian perang Tamil masih ditempatkan di kem-kem pelarian dan belum boleh balik ke tempat asal mereka akibat kemusnahan yang teruk.

Walaupun filem ini bukan sebuah propaganda palsu dan merupakan filem yang terkenal di seluruh dunia, pihak kerajaan Malaysia masih rasa terancam dengan tayangan filem tersebut. Ini adalah disebabkan oleh hubungan perdagangan dan diplomatik yang rapat di antara kerajaan Malaysia dan Sri Lanka. Perdana Menteri Najib pernah menerima Rajapakshe sebagai tetamu ke Malaysia dan pelbagai perjanjian perdagangan telah dipersetujui oleh kedua-dua pihak. Dalam undi untuk resolusi PBB yang ingin menyiasat tuduhan jenayah perang di Sri Lanka pada 2012, Malaysia memilih untuk menyebelahi Sri Lanka dan membantu mengalahkan usaha tersebut. Walaupun pelbagai organisasi aktivis yang juga terdiri daripada masyarakat Tamil di Malaysia telah memberikan bantahan dengan protes dan sebagainya, keuntungan swasta dan hubungan perdagangan menjadi kepentingan utama kerajaan Malaysia.

Terdapat motif yang jelas bagi pendakwaan Lena Hendry dengan mempergunakan jentera-jentera kerajaan, iaitu untuk melindungi polisi-polisi kerajaan yang memihak kepada kepentingan pihak korporat. Pendedahan fakta mengenai kekejaman kerajaan Sri Lanka boleh mencetuskan kemarahan masyarakat Tamil di Malaysia. Ini boleh menjurus kepada penyedaran rakyat mengenai hubungan kerajaan Malaysia dan Sri Lanka dan ini akan menyulitkan keadaan bagi pihak korporat untuk berdagang dengan bebas. Maka, kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Najib telah menggunakan akta-akta yang menindas untuk memangsakan seorang aktivis hak asasi yang cuma melakukan tugasnya.

Dengan tindakan kerajaan Malaysia termasuk institusi perhakiman yang berat sebelah tersebut, telah mendedahkan niat sebenar disebalik akta-akta yang menghadkan perkongsian informasi dengan bebas. Akta-akta seperti Akta Penyaringan Filem, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan, Akta Komunikasi dan Multimedia dan sebagainya bukan berfungsi untuk melindungi rakyat tetapi ia digunakan untuk menutup segala informasi yang boleh mendedahkan watak sebenar fungsi kerajaan dalam sistem ini. Berulang kali, kerajaan menggunakan akta-akta yang ada untuk mendiamkan sebarang bantahan terhadap polisi mereka dan menggunakan sistem kehakiman yang terikat dengan kemahuan umum penguasa sistem ini.

Disamping membantah penindasan terhadap aktivis hak asasi Lena Hendry yang sedang menghadapi denda RM 30 ribu atau 3 tahun penjara, kami juga ingin membantah penggunaan akta-akta yang menindas untuk menyerang para aktivis. Akta Penyaringan Filem, Akta Komunikasi dan Multimedia, Akta Mesin Cetak dan Penerbitan bersama dengan akta-akta yang tidak demokratik seperti SOSMA, POTA dan sebagainya harus dimansuhkan dengan serta-merta. Anak muda dan kelas pekerja daripada kalangan rakyat umum harus membantah penindasan kerajaan ini sebagai langkah pertama ke arah mencari alternatif yang lebih berkesan bagi menyusun masyarakat.

Bagi memperoleh informasi mengenai perjuangan masyarakat Tamil di Sri Lanka, layari www.tamilsolidarity.org

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*