RUU 355 : Polisi ‘Pecah dan Perintah’?

RUU 355 : Polisi ‘Pecah dan Perintah’?

Posted by

Perkasakan program dan polisi sosial dan ekonomi berlandaskan hak dan keperluan rakyat!

Sosialis Alternatif di Malaysia dan CWI (Committee of Workers’ International) di hampir 50 negara menentang penggunaan agama dan kaum untuk agenda ‘pecah dan perintah’ rakyat atau sebagai alat untuk kerajaan atau parti politik tertentu memenangi pilihanraya. Di India, CWI mengutuk kerajaan BJP yang mempergunakan nasionalisme Hindu untuk menindas hak minoriti masyarakat Islam. Di Sri Lanka, CWI menentang rejim Rajapakse yang mempergunakan ekstrimis Buddah untuk menyerang hak masyarakat Muslim dan Hindu. Begitu juga di Amerika Syarikat pada masa kini, CWI mengutuk agenda Islamofobia rejim Trump untuk memangsakan masyarakat muslim dengan melagakan mereka dengan masyarakat kristian.

Kami juga menyokong hak dan kebebasan beragama secara demokratik, dan ini hanya boleh dicapai sekiranya satu kerajaan yang berlandaskan kepada hasrat dan keperluan rakyat biasa ditubuhkan. Satu kerajaan yang mengagungkan kuasa dan kemewahaan segelintir golongan elit dan kapitalis akan mempergunakan sentimen agama dan kaum dengan matlamat memecahkan rakyat biasa untuk memastikan kuasa dan kemewahaan mereka terjamin.

Di Malaysia pada masa kini sentimen agama dan kaum terus dipermainkan oleh parti-parti politik untuk memenangi pilihanraya atau mengekalkan kuasa pemerintahan. Pada 24 November 2016 yang lalu, PAS membentangkan Rang Undang-undang Mahkamah Syariah RUU355 di Dewan Rakyat sebagai langkah untuk melaksanakan beberapa pindaan dalam undang-undang (bidang Kuasa Jenayah) mahkamah syariah, dan dijangka RUU355 akan dibincangkan dan diundi dalam persidangan dewan rakyat pada bulan Mac. PAS juga akan mengadakan satu perhimpunan pada 18 Februari 2017 di Kuala Lumpur yang bertemakan “Syariah Diperkasa, Rakyat Sejahtera” dengan mempermainkan sentimen agama dan kaum. Manakala UMNO dan beberapa pemimpin dalam PKR pula dijangka akan menyokong usul tersebut.

Sosialis Alternatif mengutuk pendekatan autokratik dan kediktatoran dalam membuat keputusan atau melaksanakan sesuatu polisi atau undang-undang yang melibatkan hak dan keperluan rakyat biasa. Segala undang-undang yang dibawa haruslah dibincangkan dan diperhalusi keperluannya secara demokratik dengan melibatkan rakyat biasa, dan bukannya diumpukkan sebegitu sahaja dengan bermotifkan politik opurtunis.

Dengan RUU355, UMNO dan PAS berhasrat untuk mempolitikkan isu tersebut semata-mata untuk memenangi PRU yang akan datang, dan bukannya untuk ‘mensejahterakan rakyat’. Negara kita mempunyai berbagai-bagai undang-undang, tetapi masalah sosial dan ekonomi semakin tenat dengan gejala korupsi dan penyelewengan kuasa semakin berleluasa. Ini membuktikan undang-undang ketat tidak akan menyelesaikan masalah asas dan beban yang sedang dihadapi oleh rakyat biasa seperti kos sara hidup yang tinggi, tekanan sosial yang meningkat dan sebagainya. Hal-hal seperti inilah yang harus ditangani terlebih dahulu melalui polisi dan program yang memihak kepada hasrat dan keperluan rakyat biasa. Undang-undang ketat dipergunakan untuk mengawal hak dan keperluan rakyat tetapi tidak ada penyelesaian konkrit sehingga kini terhadap permasalahan yang melanda rakyat.

PAS dan UMNO ingin mempergunakan usul ini untuk memenangi pilihan raya bukannya untuk mendapatkan penyelesaian ke atas isu-isu ekonomi dan sosial rakyat. Di Kelantan, rakyat merana akibat banjir disebabkan oleh komplot kerajaan dengan golongan peniaga balak tanpa memikirkan nasib rakyat miskin di negeri tersebut. Begitu juga, baru-baru ini, masyarakat orang asli dihalau daripada tanah kediaman mereka tanpa sebarang perikemanusiaan semata-mata tanah itu diperlukan oleh kapitalis.

Hanya melalui program dan polisi yang berlandaskan kepada hasrat rakyat, satu penyelesaian kepada masalah ekonomi dan sosial rakyat mampu dicapai. Ini bukan agenda UMNO atau PAS, atau pun parti-parti lain di pihak pemerintah atau pembangkang. Parti-parti ini mempertahankan kerangka politik kapitalisme yang pada masa kini sedang meranapkan hak serta keperluan sosial dan ekonomi rakyat. Bina sosialisme sebagai alternatif kepada kapitalisme untuk memperkasakan hak dan kesejahteraan rakyat biasa serta mendemokrasikan hak dan kebebasan beragama untuk menyemarakkan solidariti dan keharmonian di antara masyarakat berbagai kaum, agama dan budaya di Malaysia.

One Comment

  1. FB page: Pedagang Backpack says:

    Setuju dengan artikel kali ni!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*