Sosialis Alternatif bersolidariti bersama Orang Asli untuk menuntut hak tanah mereka!

Sosialis Alternatif bersolidariti bersama Orang Asli untuk menuntut hak tanah mereka!

Posted by

Orang Asli bangkit menentang kerakusan syarikat pembalakan!

Sejak hujung September tahun ini, lebih kurang 200 orang asli telah membina dua sekatan di antara Pos Tohoi dan Pos Gob bagi menghalang balak-balak yang ditebang di bawa keluar dari kawasan pembalakan di dalam Hutan Simpan Balah. Hutan simpan ini merangkumi sebanyak 239 dan 404 hektar. Kemudian sekatan ini diperluaskan lagi ke Pos Pasik, Pos Petei dan Pos Bihai. Ini mengakibatkan pemberhentian operasi syarikat-syarikat pada bulan Oktober di beberapa pos bagi mengelakkan konflik yang tidak diingini di antara orang asli dan juga pekerja syarikat pembalakan.

Lalu pada bulan November yang lepas, suatu tarikh tetap telah diberikan kepada orang asli untuk membuka semula sekatan yang ada. Ini dilancarkan berlandaskan alasan bahawa segala rundingan telah menemui jalan buntu disebabkan campur tangan pihak-pihak luar, di dalam kes ini ahli-ahli politik dan pertubuhan bukan kerajaan yang ‘menghasut’ orang asli untuk meluaskan lagi tempat-tempat sekatan di kawasan pembalakan yang lain.

Ini dijadikan alasan bahawa pihak-pihak luar memberi bimbingan untuk menentang kerajaan negeri, sedangkan hampir kesemua golongan orang asli mengalami penindasan yang teruk disebabkan keganasan syarikat-syarikat yang teruk menjarah sumber negara untuk mengaut untung bagi para pemilik saham syarikat. Disebabkan itu, 47 orang asli telah ditahan pada 29hb November yang lepas, disusuli dengan penangkapan 7 orang asli di gua musang, akibat mereka menentang tindakan pihak polis yang merobohkan sekatan yang dibina oleh mereka.

Secara tidak langsung, pada 1hb Disember yang lepas, pihak kerajaan negeri PAS melalui akhbar mereka HarakahDaily menyatakan bahawa isunya sekarang bukan lagi masalah kehidupan masyarakat Orang Asli, tetapi sebaliknya tekanan politik terhadap kerajaan Kelantan di bawah kepemimpinan ulama. Syed Azhar yang juga pemimpin PKR Gua Musang berkata, kawasan pembalakan yang diluluskan oleh Jabatan Perhutanan di HSK Balah terletak jauh daripada penempatan penduduk Orang Asal. Penghulu Dun Nenggiri Jumak Abah yang juga bekas pekerja pembalakan berkata, kawasan tebangan balak yang diluluskan oleh Jabatan Perhutanan di HSK Balah terletak lebih 40 km daripada penempatan Orang Asal.

Kesemuanya ini, dengan jawapan yang bersifat teknikal tidak langsung mencerminkan realiti sebenar yang sedang membelenggu keadaan orang asli di negara kita. Adakah dengan menerangkan sesuatu hal di bawah payung undang-undang, segala bentuk penindasan dapat diterima dan dijadikan sebagai sesuatu hal yang patut dilupakan?

Asas-asas kehidupan yang selesa tidak dapat diberikan kepada orang asli. Antara masalah-masalah yang masih dihadapi oleh mereka adalah masalah pendidikan, masalah kesihatan dan juga masalah dihalau dari kawasan mereka sendiri. Kes tujuh anak kecil orang asli yang lari dari SK Pos Tohoi merupakan salah satu contoh, di mana mereka dilayan di dalam keadaan yang teruk dan stigma yang wujud pada mereka kerana berasal daripada golongan orang asli.

Salah satu daripada ahli kami telah melakukan lawatan di kawasan orang Temiar di Gua Musang dan menjadi saksi terhadap keadaan yang menimpa mereka. Rumah-rumah batu yang dibina untuk mereka tidak dapat menjamin keselesaan yang penuh, dibina di dalam keadaan yang separuh siap dan kemudahan asas seperti jalan raya dan elektrik hanya siap diberi kepada mereka setelah perluasan keadaan pembalakan memaksa menyediakan jalan raya yang secukupnya.

Seperti apa yang berlaku di mana-mana kawasan yang sedang dibangunkan, segala infrastruktur hanya akan dibina jika ianya membawa suatu motif yang berlandaskan keuntungan. Seperti mana stesen kereta api pada waktu dahulu dibina atas sebab untuk membawa keluar sumber-sumber alam seperti timah dan juga pembinaan lebuh jalan raya yang membawa peranan untuk mengalihkan komoditi yang dikeluarkan untuk penjanaan keuntungan. Di bawah sistem ekonomi kapitalisme, keselesaan tidak akan dikecapi oleh golongan orang asli selagi mereka dilihat sebagai sumber yang tidak dapat memberi faedah bagi mana-mana syarikat korporat yang wujud pada waktu ini.

Monopoli syarikat kapitalis yang berpaut kepada motif keuntungan.

Insiden dan isu yang membelenggu golongan orang asli di Gua Musang adalah sebahagian daripada isu yang lebih besar, dan ianya menjangkaui sesuatu negeri dan sesuatu golongan, sebaliknya merupakan suatu hal yang lebih umum: iaitu sistem ekonomi kapitalisme yang berlandaskan motif keuntungan dan bercanggah dengan keperluan manusia dan alam secara menyeluruh. Kami dengan tegas tidak bersetuju dengan tanggapan pihak kerajaan negeri yang menyatakan bahawa perjuangan orang asli diambil kesempatan oleh golongan pihak luaran yang mempunyai agenda politik yang lain. Malah, kami bersetuju dengan campur tangan daripada pihak luar dengan syarat bahawa persetujuan orang asli serta hak demokrasi dan membuat keputusan seharusnya terletak pada masyarakat orang asli sepenuhnya.

Kehancuran alam sekitar, kehilangan kuasa autonomi bagi orang asli untuk menentukan keluasan tanah adat mereka sendiri – yang merangkumi sejumlah ilmu perhutanan yang tidak terhingga nilainya dan kerakusan syarikat pembalakan adalah hal yang sebaiknya ditentang oleh kesemua pemimpin negara, termasuklah kerajaan negeri sendiri. Kerakusan penebangan hutan yang berlandaskan keuntungan, adalah sesuatu hal yang tidak akan memberi manfaat kepada majoriti rakyat secara umumnya. Kerosakan yang dilakukan ke atas tanah hutan simpanan kekal adalah sesuatu yang benar-benar bercanggah dengan slogan kerajaan berkebajikan yang diangkat selama ini.

Presidennya P.K Lim berkata, Kompleks Perkayuan Kelantan Sdn. Bhd telah mendapat konsesi untuk menjalankan aktiviti pembalakan di hutan simpanan kekal itu secara sah dan mematuhi syarat yang ditetapkan. Melalui laman web Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar, Hutan Simpanan Kekal ialah mana-mana tanah (tanah berhutan dan tidak berhutan) yang diwartakan atau disifatkan telah dijadikan sebagai hutan simpan kekal untuk tujuan perhutanan di bawah seksyen 7, 8 dan 9 Akta Perhutanan Negara 1984. Jadi bagaimanakah konsesi yang diberikan atas nama keuntungan syarikat korporat yang menggondol hutan tanpa henti ini bergerak seiring tanpa apa-apa percanggahan dengan tujuan perhutanan – dan lebih-lebih lagi, bagaimanakah aspirasi golongan orang asli dengan kekuatan ilmu vernakular mereka di dalam ilmu perhutanan yang telah diturunkan selama beribu-ribu tahun tidak penting untuk diambil kira oleh Jabatan Perhutanan Negeri dan juga Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar?

Atas nama kerosakan alam, kerosakan baru bakal dihasilkan.

Seperti mana-mana kerosakan alam yang membabitkan rakyat umum dan syarikat korporat, pembalakan bukan menjadi satu-satunya isu kerana di Gua Musang, sebuah rancangan untuk membina dua buah empangan untuk mengurangkan banjir di kawasan itu. Dua empangan itu akan dibina di Sungai Nenggiri dan Sungai Lebir, di mana air dari kedua-dua sungai itu bertumpu ke dalam Sungai Kelantan di Kuala Krai.

Dengan berlakunya banjir besar di kawasan Gua Musang dan Kuala Krai pada akhir 2014 hingga awal 2015, empangan ini dilihat sebagai satu-satunya cara untuk mengatasi masalah banjir besar. Sedangkan, Dendi Johari yang merupakan Ketua Pemuda bagi Jawatankuasa Kampung Orang Asli Kelantan telah pun memberi amaran bahawa pembinaan empangan-empangan itu akan memusnahkan kampung mereka. Kata Dendi lagi, empangan itu dijangka menjejaskan beberapa kampung suku kaum Temiar dan Batek, seperti Kampung Pos Pulat, Kampung Wias, Kampung Pos Tehoi dan juga Kampung Kuala Wook.

Kerjasama dan kekuatan solidariti menjana kuasa perubahan

Kami menuntut kerjasama dan solidariti di antara Jabatan Jabatan Perhutanan Negeri, Jabatan Alam Sekitar dan juga mana-mana Fakulti Perhutanan dari setiap universiti yang wujud di negara Malaysia untuk menyalurkan kepakaran dan tenaga kerja mereka kepada orang asli yang sedang kehilangan sumber pencarian dan kehidupan mereka. Mereka sebaiknya berpihak kepada golongan yang tertindas dengan membantu mereka untuk mengumpul data-data yang perlu agar mereka dapat menyelesaikan isu pengiktirafan tanah adat mereka dalam masa yang cepat. Tanah adat orang asli berusia ribuan tahun dan ini menjangkaui umur sistem ekonomi kapitalisme yang telah datang mengambil segala sumber alam di negara secara rakus dan tanpa kawalan kerajaan yang menyokong tindakan para kapitalis.

Ini pada masa yang sama dapat dilihat sebagai suatu kelebihan bagi jabatan dan fakulti yang terbabit, di mana ilmu vernakular yang masih dihidupi melalui orang asli dapat dipelajari dengan sebaiknya dan dapat digunakan untuk meningkatkan taraf kehidupan rakyat secara umum, sama ada dari sudut pandang ilmu perubatan ataupun ilmu-ilmu lain yang berkaitan.

Oleh itu, kami dari Sosialis Alternatif menyeru kepada semua organisasi kelas pekerja, pertubuhan NGO progresif, kumpulan-kumpulan anak muda dan organisasi berhaluan kiri untuk mengangkat isu masyarakat Orang Asli dan membantah penindasan daripada kelas pemerintah yang menyokong kapitalis-kapitalis Malaysia. Secara umumnya, kami menuntut supaya:

Kerajaan negeri memberi jaminan sepenuhnya bahawa proses pengiktirafan tanah adat tidak akan diganggu oleh mana-mana pihak dan menyokong sokongan dan pertolongan daripada pihak-pihak luar untuk menyelesaikan proses ini dengan baik dan sesempurna yang mungkin.

Berikan pampasan yang berbaloi untuk Orang Asli, ini termasuklah:

  • Menaiktaraf tingkat pendidikan yang mengutamakan golongan Orang Asli
  • Memastikan bahawa pampasan dikawal sepenuhnya oleh mereka dan bukan melalui pengantara yang tidak dipersetujui oleh mereka.
  • Memberi kuasa penentuan dan pengawalan tanah adat oleh mereka sepenuhnya.
  • Memperkasakan Jawatankuasa Kampung Orang Asli Kelantan bagi memastikan segala keputusan bakal berlangsung secara demokratik tanpa paksaan oleh mana-mana pihak dari luar.
  • Membina solidariti anak muda dan kelas pekerja untuk perjuangan hak orang asli.
  • Menentang agenda kapitalisme kerajaan PAS dan membina landasan sosialisme sebagai alternatif bagi keperluan rakyat dan juga jaminan terhadap kemapanan alam sekitar.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*