Tamil Nadu: Rakyat biasa, mahasiswa dan para belia berhimpun di pantai Marina untuk membantah pengharaman 'Jallikattu'. PTI Photo by R Senthil Kumar (PTI1_19_2017_000257B)

Tamil Nadu: Rakyat biasa, mahasiswa dan para belia berhimpun di pantai Marina untuk membantah pengharaman 'Jallikattu'. PTI Photo by R Senthil Kumar (PTI1_19_2017_000257B)

Hentikan Serangan Terhadap Perhimpunan Aman!

Posted by

Kebangkitan bersejarah oleh kumpulan mahasiswa dan belia di Tamil Nadu yang menentang pengharaman ‘Jallikattu’ (tradisi petani Tamil yang menandakan musim menuai) oleh kerajaan pusat India sedang ditindas dengan teruk oleh pihak penguasa. Kebangkitan rakyat Tamil Nadu ini mencerminkan aspirasi rakyat biasa yang enggan ditekan oleh kuasa-kuasa besar dan tidak tunduk pada penindasan dari kerajaan pusat yang dipimpin oleh wakil neo-liberal Modi.

Perhimpunan aman oleh berjuta-juta rakyat terutamanya dari kalangan mahasiswa di jalan raya Tamil Nadu dan khususnya di pantai Marina telah menjadi inspirasi kepada belia dan kelas pekerja dari seluruh India. Perhimpunan aman ini menjadi contoh di mana sebuah penentangan besar-besaran boleh dibina dalam keadaan penuh disiplin dan terurus. Para peserta perhimpunan ini telah mengatur pasukan keselamatan, kebersihan dan sebagainya yang telah memastikan tiada kekecohan atau kekeliruan berlaku pada protes massa tersebut. Malah ada laporan yang mengatakan bahawa jalan raya di Tamil Nadu dan pantai Marina berada dalam keadaan yang lebih bersih daripada biasa.

Pihak kerajaan dan polis akhirnya telah masuk campur tangan dan mula mengusir orang ramai yang sedang berhimpun secara aman. Mereka telah menggunakan gas pemedih mata dan memukul para mahasiswa dengan cota. Ada yang telah cedera teruk akibat tindakan polis dan ramai telah ditahan tanpa sebarang asas. Pihak berkuasa juga telah menyekat bekalan makanan dan minuman untuk melumpuhkan protes tersebut.

Tindak balas daripada kerajaan Tamil Nadu dan India telah melanggar hak rakyat biasa untuk menyuarakan bantahan dan untuk mengambil pendirian yang tegas menentang penindasan dari pihak berkuasa. Ini merupakan sebuah penghinaan terhadap rakyat biasa yang berani berjuang demi mempertahankan identiti dan kebudayaan mereka. Tindakan itu juga merupakan sebuah serangan terhadap semangat aktivis anak muda dan kelas pekerja India yang meneruskan perjuangan mereka menghadapi segala jenis penindasan.

Kami dari Sosialis Alternatif ingin membantah tindakan kerajaan dan pihak polis Tamil Nadu yang sedang menyerang sebuah perhimpunan aman yang sah dalam perjuangan mereka. Berjuta-juta rakyat biasa dan para mahasiswa sedang ditindas dengan kejam semata-mata untuk berjuang mempertahankan tradisi dan budaya mereka.

Kami mengecam pihak kerajaan India yang mengancam hak rakyat untuk berhimpun dan menyuarakan bantahan. Kami juga menuntut supaya semua orang yang ditahan oleh pihak polis untuk dibebaskan dengan serta-merta tanpa sebarang tindakan lanjut.     

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*