Protest Anti-Trump di Seattle

Protest Anti-Trump di Seattle

Bantah Agenda Rasisme Trump!

Posted by

Hari pertabalan Donald Trump sebagai Presiden Amerika Syarikat merupakan hari yang sedih dan sebuah berita buruk bagi bukan sahaja rakyat AS, malah untuk seluruh dunia. Seorang wakil kelas jutawan yang taksub telah menjadi pemegang jawatan tertinggi di negara yang paling berkuasa di dunia. Akan tetapi, hari penabalan Trump akan di balas dengan protes besar-besaran dari rakyat AS terutamanya anak muda dalam usaha untuk membendung agenda rasisme dan seksisme yang cuba di bawa oleh Trump.

Belum lagi menjadi Presiden, Trump sudahpun mengatur polisi-polisi yang akan memberikan manfaat kepada korporat dan kapitalis kaya dan memangsakan kelas pekerja dan rakyat miskin. Kabinet Trump sedang merancang untuk mendeportasi berjuta-juta warga asing, menghentikan dana sosial dan mencabut subsidi kesihatan bagi miskin. Bertentangan dengan janji-janji manisnya sebelum menjadi Presiden, Trump ingin memberikan pelepasan cukai kepada jutawan dan menyambung agenda penswastaan sepertimana yang di lakukan oleh presiden-presiden lain sebelumnya.

Pemilihan seorang individu yang dianggap biadap, rasis, dan sexis seperti Trump sebagai Presiden menunjukkan kegagalan sistem 2 parti dan sistem pilihanraya di bawah kapitalisme yang tidak mampu memuaskan kehendak rakyat. Kebanyakkan yang mengundi Trump telah berbuat demikian sebagai bantahan terhadap calon-calon daripada pertubuhan politik elit seperti Hillary Clinton yang hanya menaburkan janji-janji manis tanpa membawa sebarang penyelesaian kepada kesengsaraan rakyat.

Keadaan masyarakat kulit hitam di AS telah bertambah teruk di bawah naungan Obama, Presiden berkulit hitam pertama, yang mengakibatkan aksi-aksi massa seperti Black Lives Matter. Presiden Obama yang merupakan wakil pertubuhan politik AS juga telah menggunakan keganasan terhadap rakyat biasa yang menuntut keadilan seperti di perjuangan orang asli di North Dakota baru-baru ini. Presiden Obama dan pendahulunya juga tidak melakukan apa-apa bagi jutaan rakyat AS yang telah kehilangan mata pencarian dan dipaksa ke dalam kerja-kerja yang tidak terjamin dan bergaji rendah. Berjuta-juta rakyat AS telah merana akibat perjanjian perdagangan bebas seperti NAFTA yang telah mengeksport segala industri dari negara itu ke negara luar mencari upah yang lebih murah.   

Walaupun Donald Trump menggunakan retorik untuk melawan korporat kaya Wall Street dan pertubuhan elit politik di Washington, realitinya, Trump juga merupakan salah seorang wakil daripada kelas jutawan yang menindas dan tidak akan mengganggu kesinambungan sistem kapitalisme. Penguasa-penguasa elit yang kaya akan meneruskan agenda eksploitasi mereka tidak kira di bawah Trump atau Hillary Clinton.

Akan tetapi, kita juga harus menyedari akan bahaya unsur-unsur rasisme yang cuba dibawa oleh Trump untuk memecahkan perpaduan di kalangan rakyat. Rakyat yang bersatu akan membahayakan posisi Trump dan dia boleh mempergunakan organisasi-orgasnisasi rasis yang bersedia untuk mengangkat Trump sebagai ketua mereka untuk memulakan kekecohan. Ucapan-ucapan yang penuh dengan konotasi rasisme, homofobia dan seksisme oleh Trump telah mendapat sambutan hebat daripada kelompok tersebut.

Pemilihan Trump sebagai Presiden AS bukan sahaja memberi ancaman kepada masyarakat AS malah ia mengancam seluruh dunia. Trump membuktikan bahawa sistem kapitalisme yang sedang diamalkan di semua negara sanggup mengambil langkah-langkah yang drastik dan mempergunakan sentimen perkauman dan agama semata-mata untuk memastikan penguasaannya terhadap rakyat. Langkah-langkah yang sama juga sedang diambil oleh ahli-ahli politik tempatan apabila kekuasaan mereka diancam. Agenda rasisme merupakan sebuah alat politik yang boleh dipergunakan oleh kelas kapitalis apabila sistem ini tidak dapat memenuhi aspirasi majoriti dan mula rekah.

Oleh itu, penentangan terhadap Trump tidak boleh terhad di AS sahaja dan perlu diangkat oleh anak muda dan kelas pekerja dari setiap pelosok dunia. Bantahan terhadap polisi-polisi Trump yang berunsurkan rasisme dan menyerang rakyat miskin juga harus dipanjangkan ke setiap negara. Rasisme yang di institusi oleh kelas kapitalis ini harus di pecahkan dan sebuah penentangan yang jelas harus di bina.

Socialist Alternative USA ( organisasi kami di AS ) merupakan antara organisasi yang paling awal untuk menyeru kepada rakyat AS untuk turun bantah sebaik sahaja Trump diumumkan sebagai presiden. Berikutan, lebih 40 ribu kelas pekerja dan anak muda telah menyahut seruan tersebut dan turun beramai-ramai untuk membantah agenda rasisme yang dibawa oleh kempen Trump. Socialist Alternative bersama dengan ahli majlis Kshama Sawant sedang berjuang untuk membina alternatif sosialis yang jelas bagi menggantikan sistem kapitalisme yang rakus di AS.

Kami ingin berdiri bersolidariti dengan kelas pekerja, minoriti, rakyat miskin dan anak muda AS dalam membina sebuah kempen bantah Trump di Malaysia. Kempen ini adalah bertujuan untuk meningkat kesedaran rakyat mengenai bahaya kapitalisme dan kepentingan untuk menentang rasisme. Pada masa yang sama kempen ini boleh menjadi titik perbincangan mengenai alternatif yang sesuai bagi sistem kapitalisme dan bagaimana untuk mencapai alternatif tersebut bersama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*