Mogok kelas pekerja wanita di St. Petersburg, Russia yang telah mencetuskan dan merasmikan Revolusi Russia pada 23 February 1917 ( 8 Mac mengikut kalender umum masa ini ). Tarikh ini telah menandakan Hari Wanita Sedunia yang disambut oleh golongan wanita dari seluruh dunia sehingga ke hari ini.

Mogok kelas pekerja wanita di St. Petersburg, Russia yang telah mencetuskan dan merasmikan Revolusi Russia pada 23 February 1917 ( 8 Mac mengikut kalender umum masa ini ). Tarikh ini telah menandakan Hari Wanita Sedunia yang disambut oleh golongan wanita dari seluruh dunia sehingga ke hari ini.

Ulang tahun 100 Revolusi Russia

Posted by

Diterjemah dari Sidang Pengarang majalah Socialism Today edisi Dec/Jan dari Socialist Party UK.

Tahun 2017 menandakan ulang tahun ke-100 revolusi Rusia. Revolusi 1917 menonjol sebagai peristiwa yang paling penting dalam sejarah – setakat ini – walaupun kepentingannya telah pasti tercalar disebabkan oleh kemerosotan Kesatuan Soviet yang menjadi birokrasi kejam dan ditambah oleh fitnah-fitnah palsu daripada pelopor kapitalis selama 100 tahun.

Revolusi Russia 1917 merupakan usaha dari gerakan massa terhadap kelas pemerintah kejam yang mengeksploitasi rakyat biasa. Para pekerja, petani miskin, tentera dan lapisan lain yang dieksploitasi untuk melanjutkan perang dunia imperialis telah bangkit dan menggulingkan rejim raja Tsar, kelas pemerintah kapitalis dan tuan-tuan tanah. Untuk pertama kalinya dalam sejarah, satu revolusi di bawah kepimpinan sebuah parti revolusioner, Bolshevik, telah berjaya menubuhkan sebuah kerajaan berdasarkan kelas pekerja dan lapisan tertindas yang lain. Mereka juga telah berjaya mempertahankan kerajaan ini daripada campur tangan tentera dan kepungan ekonomi oleh negara kapitalis lain. Bentuk awal kerajaan Soviet adalah berdasarkan kepada kelas pekerja, aspirasi massa dan penyertaan demokratik daripada rakyat biasa.

Rakyat jelata memasuki arena sejarah

Revolusi ini telah mencetuskan pencurahan idea, perbincangan dan perbahasan di mana rakyat jelata memenangi peluang untuk menyuarakan rasa tidak puas hati dan aspirasi mereka. Ini telah di lakarkan dengan terperinci dalam buku John Reed, Sepuluh Hari yang telah Menggegarkan Dunia, dan buku Victor Serge, Tahun Pertama Revolusi Rusia. Gerakan massa ini telah menimbulkan kegelisahan bagi pihak kapitalis di peringkat antarabangsa yang telah melancarkan serangan tentera dan ekonomi terhadap kerajaan kelas pekerja pertama di dunia.

Revolusi Russia 1917 telah dicetuskan oleh satu demonstrasi besar-besaran oleh pekerja wanita, dan revolusi ini menyaksikan penglibatan besar-besaran dari lapisan aktivis kelas pekerja wanita. Malah kerajaan Soviet telah berjaya membawa polisi-polisi yang mempertahankan hak-hak wanita, lama sebelum kebanyakan rejim parlimen Eropah barat. Walaubagaimanapun, harus diakui bahawa memang terdapat kesukaran untuk membawa pembaharuan ini dengan lancar disebabkan oleh masalah ekonomi yang wujud dalam tahun-tahun awal kerajaan Soviet.

Kerajaan Soviet yang diangkat ke tampuk pemerintahan dalam revolusi tersebut menghadapi cabaran yang besar. Kelas pekerja yang mampu menggerakkan industri adalah dalam minoriti dan kebanyakkan daripada rakyat merupakan kelas petani. Russia juga merupakan sebuah negara yang mundur dari segi ekonomi dan mengalami kehancuran infrastruktur akibat perang dunia pertama. Selain itu, revolusi Russia juga menjadi terasing disebabkan oleh kekalahan gerakan-gerakan revolusioner di negara-negara yang lebih maju, seperti Jerman, yang mempunyai kelas pekerja yang lebih kukuh. Pemimpin-pemimpin utama revolusi Russia, Lenin dan Trotsky tidak mempunyai sebarang ilusi dan menegaskan bahawa revolusi ini hanya boleh berjaya mengikut garis sosialis seiring dengan perkembangan revolusi antarabangsa.

Memandangkan keadaan yang terasing dan dalam situasi ekonomi yang mundur, proses kemerosotan demokrasi dalam kerajaan Soviet bermula dari awal lagi, di bawah kepimpinan Stalin. Lenin telah berjuang menentang kemerosotan ini sehingga ke akhir hayatnya di tahun 1924. Trotsky pula telah menentang birokrasi Stalin dan berjuang untuk memulihkan demokrasi pekerja dari tahun 1923 sehingga ke hari pembunuhan beliau oleh salah seorang ejen Stalin pada Ogos 1940.

Namun, kesan revolusi Russia dan pencapaiannya dalam tempoh yang singkat itu tidak boleh dipadamkan. Dengan perlaksanaan ekonomi terancang, walaupun dengan gangguan birokrasi Stalinisme, dapat menaikkan Russia dari sebuah ekonomi yang mundur ke sebuah negara moden yang kuat dalam cuma 50 atau 60 tahun. Walaubagaimanapun, birokrasi yang wujud telah mengakibatkan kejatuhan Soviet itu sendiri pada 1989 apabila segala potensi untuk perkembangan telah berjaya dihauskan oleh kapitalis dan sekutu AS.

Mempertahankan legasi di era baru

Sosialis, Marxsis dan pekerja militan di seluruh dunia akan menyambut pencapaian revolusi Russia 1917. Pada masa yang sama, dalam tahun 2017, mesin propaganda borjuasi yang melibatkan akhbar, TV, buku-buku akademik, pameran, dan lain-lain, akan bernekad untuk memperkecil-kecilkan idea transformasi sosial, khususnya revolusi Russia.

Dalam tempoh selepas kejatuhan Soviet pada 1989, pihak kapitalis antarabangsa ternyata sangat yakin dengan kebolehan sistem kapitalisme dan mula menjadi leka. Kerajaan-kerajaan kapitalis tidak lagi terasa tertekan untuk mengekalkan status ‘negara kebajikan’ untuk menandingi blok Stalinis. Sistem kapitalisme kewangan telah diberi kebebasan dan dibanjiri dengan keuntungan. Globalisasi dipercepatkan, dan polisi-polisi neo-liberal telah memberi ruang kepada kerajaan untuk melancarkan serangan ke atas hak-hak kelas pekerja dan taraf hidup rakyat miskin.

Sehingga tahun 2007, modal antarabangsa kapitalisme telah cuba untuk memberikan imej yang positif. Tetapi hari ini, situasi dunia adalah sangat berbeza. Kapitalisme sedang menghadapi krisis ekonomi dunia, ketidakstabilan sosial dan kejutan-kejutan politik. Wujud sebuah krisis ‘ketidakpercayaan’, di mana sebahagian besar daripada rakyat sedang menolak hala tuju sistem kapitalisme, walaupun pada peringkat ini belum lagi mengangkat sebuah alternatif yang jelas. Ini dapat dilihat dalam pemilihan Trump di Amerika Syarikat dan undi untuk Brexit dalam referendum berpisah dari EU di Britain di mana rakyat biasa telah menunjukkan ketidakpercayaan terhadap institusi-institusi kapitalisme yang sedia ada.

Namun, di sebalik perang idea yang bakal dilancarkan oleh pihak borjuasi, peningkatan kesedaran di kalangan masyarakat terhadap Marxisme juga akan bertambah. Di Amerika Syarikat, kita dapat lihat bagaimana Bernie Sanders dapat menarik jutaan sokongan dari kelas pekerja dan rakyat tertindas yang tertarik dengan mesej sosialisme. Pada masa ini, tuntutan rakyat AS terutamanya dikalangan anak muda sedang menjangkaui ‘sosialisme’ yang terhad yang di tawarkan oleh Bernie Sanders. Begitu juga dengan fenomena Jeremy Corbyn di UK dengan penyertaan ratusan ribu rakyat biasa, terutamanya dari kalangan anak muda yang membanjiri keahlian Parti Buruh semata-mata untuk mempertahankan idea-idea progresif yang dibawa oleh Corbyn.

Idea-idea sosialisme akan kembali ke arena massa selagi kepincangan sistem kapitalisme menjadi lebih terdedah akibat krisis-krisis kewangan dunia. Sosialisme merupakan alternatif yang paling nyata untuk menggantikan sistem kapitalisme yang rakus dan tidak memberikan manfaat kepada umat manusia mahupun alam sekitar. Revolusi Russia merupakan peristiwa yang paling penting di dalam sejarah perjuangan rakyat tertindas untuk membawa perubahan kepada hidup mereka. Kita sebagai organisasi kiri dan pejuang kelas pekerja harus mengambil inspirasi dan teladan daripada revolusi tersebut supaya ia boleh membantu dalam gerakan kita menuju ke sistem yang lebih adil.

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*