Felda Menganaktirikan Peneroka

Felda Menganaktirikan Peneroka

Posted by

Sekali lagi, isu ketidaktelusan pengurusan FELDA muncul apabila FGV, syarikat swasta di bawah naungan FELDA membeli saham sebanyak 37 peratus kepunyaan satu syarikat perladangan di Indonesia bernama EHP yang kini sedang mengalami kerugian, dengan harga 3 kali ganda daripada harga pasaran. Pada awalnya, FGV juga rugi besar dalam pelaburan pengilangan bijirin menjurus kepada penutupan kilang mereka di Amerika dan Kanada. Manakala di tahun 2014, FGV melabur dengan membeli hotel mewah di London melebihi harga pasaran yang mana telah mewujudkan kesangsian terhadap ketelusan pihak pengurusan FGV yang dipimpin oleh Isa Samad.

FGV yang dianggap mempunyai keluasan perladangan terbesar di dunia, dan dengan kapasiti modal ketiga terbesar di dunia juga mengalami kerugian sebanyak 95 juta ringgit dalam sembilan bulan pertama tahun 2016. FELDA juga kini mempunyai hutang sebanyak 6 billion, dan dijangka akan menghadapi masalah untuk menanggung kos penanaman semula serta pembinaan rumah untuk generasi kedua seperti yang dirancang.

FELDA yang ditubuhkan pada tahun 1956 dengan matlamat meningkatkan pendapatan rakyat miskin terutamanya daripada luar bandar melalui pengagihan tanah, kini telah menjadi komoditi yang diperniagakan di pasaran antarabangsa dengan kewujudan FGV. Peneroka yang kini mencecah lebih 100 ribu telah berganding bahu dan bertungkus lumus dalam mengubah hutan-hutan kepada kawasan perladangan yang bukan sahaja memberikan pendapatan kepada peneroka, bahkan dengan tenaga mereka FELDA mampu meningkatkan keuntungan. Tanpa pengorbanan tenaga peneroka, tiadalah FELDA, dan juga modal berbillion-billion ringgit yang wujud pada masa kini.

Tetapi, walaupun peneroka memainkan peranan penting dalam membanggunkan FELDA, dan merupakan pemegang saham dalam FELDA dan FGV, mereka langsung tidak diberikan hak dan demokrasi dalam tindakan dan perancangan pelaburan. Apabila, suatu syarikat seperti FGV diletakkan dalam pasaran saham, keuntungan akan bergantung kepada nilai saham yang mana amat berhubungkait dengan keadaan ekonomi serta harga getah dan kelapa sawit di pasaran antarabangsa. Begitu juga dengan pelaburan hartanah, perhotelan dan pengilangan bijirin yang diceburi oleh FGV bergantung kepada keadaan ekonomi dunia atau negara tertentu. Tindakan pengurusan FELDA dan FGV seolah-olah memperjudikan hak peneroka di pasaran antabangsa tanpa mendapatkan mandat daripada mereka.

Kekayaan pihak pengurusan FELDA seperti Isa Samad yang mengaut pendapatan jutaan ringgit semakin meningkat, manakala peneroka FELDA pula teraniyaya dengan keputusan pelaburan mereka yang merugikan. FELDA kini telah menjadi mangsa kepada agenda mementingkan keuntungan pihak pengurusan dan kerajaan, serta keperluan dan hak peneroka dianaktirikan. Hanya dengan menukar Isa Samad kepada Sharir Samad FELDA tidak mampu diselamatkan daripada agenda keuntungan elit. Pengagihan tanah dan pengurusan perladangan mampu memanfaatkan peneroka, petani dan rakyat keseluruhan jika pengurusan perladangan didemokrasikan dan, perancangan di peringkat kerajaan haruslah berlandaskan kepada keperluan rakyat bukannya berlandaskan kepada keuntungan elit dan kapitalis. Ini tidak akan wujud selagi adanya kerajaan yang tunduk kepada agenda elit dan kapitalis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*