Kebakaran di Hospital Sultanah Aminah meragut 6 nyawa

Kebakaran di Hospital Sultanah Aminah meragut 6 nyawa

Tragedi Kebakaran di Hospital Meningkat

Posted by

Baru-baru ini, seluruh Malaysia tergempar dengan berita kebakaran di Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru yang telah meragut 6 nyawa dan 11 orang lain termasuk anggota hospital telah tercedera. Walaupun tragedi sebegini pernah berlaku sebelum ini di hospital kerajaan lain mahupun di hospital swasta, kejadian ini untuk pertama kali telah menyebabkan kehilangan nyawa dan justeru telah mewujudkan persoalan mengenai keselamatan hospital tempatan.

Daripada tahun 1990 sehingga ke sekarang, sebanyak 19 laporan kebakaran hospital telah di rekod tetapi 15 daripada kejadian itu berlaku selepas tahun 2008. Sejumlah besar daripada kebakaran tersebut berpunca bukan daripada kecuaian kakitangan hospital tetapi dari kekurangan penyelenggaraan yang menyebabkan litar pintas dan sebagainya. Selain itu, kekurangan peruntukan dana dari kerajaan juga memaksa hospital-hospital kerajaan untuk memotong khidmat-khidmat penyelenggaraan yang sangat mahal akibat penswastaan.

Dalam 5 tahun kebelakangan ini, kerajaan BN telah memotong dana kesihatan di setiap bajet dan telah menggiatkan proses penswastaan sektor-sektor hospital kerajaan. Di hospital-hospital besar seperti Hospital Serdang dan Hospital Universiti, sebahagian daripada khidmat kesihatan dijadikan swasta dan hanya boleh di akses oleh orang yang berpendapatan tinggi. Khidmat rawatan yang berpatutan bagi rakyat miskin sudah semakin terhad dan kerajaan juga tidak bercadang untuk mendirikan sebarang pusat kesihatan baru dalam masa terdekat.

Selain pengurangan dana, hospital-hospital kerajaan juga bergantung dengan khidmat perubatan, penyelenggaraan premis, pembersihan, kantin dan sebagainya kepada pihak swasta. Semua servis selain khidmat perubatan telah di kontrak kepada syarikat-syarikat swasta yang mengenakan caj yang mahal sambil memberikan khidmat yang kurang memuaskan. Akibatnya, hospital kerajaan terpaksa menanggung beban yang tinggi dan ini memberi kesan kepada kebajikan rakyat dan pekerja kesihatan yang menjadi semakin terhad.

Sebagai langah-langkah penjimatan, sesetengah klinik kesihatan kerajaan didapati menghentikan ujian saringan Hepatitis B bagi wanita hamil dan ada hospital yang terpaksa menghentikan khidmat makmal dan sebagainya. Banyak diantara hospital juga sedang melaporkan kesukaran untuk membekalkan perubatan yang secukupnya kepada pesakit.Pekerja asing yang menikmati rawatan yang murah sebelum ini juga terpaksa membayar kadar perkhidmatan yang tinggi dan mirip hospital swasta untuk menjalani rawatan di hospital kerajaan.

Keadaan ini dijangka akan bertambah buruk pada 2017 apabila PM Najib mengumumkan pemotongan bajet kesihatan sebanyak 20% pada persidangan bajet baru-baru ini. Menteri Perubatan S. Subramaniam pula menyeru kepada orang ramai untuk membantu mereka mengatasi kekurangan dana ini dengan mengurangkan penggunaan hospital kerajaan dan sebaliknya gunakan klinik-klinik swasta. Kementerian Kesihatan seharusnya menyeru kepada kerajaan untuk menambah dana yang sedang semakin kekurangan walaupun syarikat-syarikat swasta sedang meraih keuntungan yang besar.

Dalam keadaan situasi hutang isi rumah meningkat, kenaikan inflasi yang mendadak, kenaikan harga barangan terutamanya makanan, pencabutan subsidi barangan asas oleh kerajaan dan sebagainya, lebih ramai rakyat terpaksa memilih hospital kerajaan yang lebih berpatutan berbanding pusat kesihatan swasta. Kementerian Kesihatan telah melaporkan bahawa terdapat tambahan yang mendadak dalam penggunaan hospital kerajaan tahun ini yang mencerminkan tahap kemampuan rakyat biasa untuk mendapatkan rawatan.

Tragedi kebakaran dan kemerosotan khidmat perubatan kerajaan harus dikecam dengan sekerasnya oleh rakyat Malaysia. Perkara ini akan memudahkan penyebaran penyakit dan menambahkan jumlah pesakit yang akan membanjiri hospital kerajaan. Dengan kekurangan kemudahan di hospital kerajaan, pekerja kesihatan pula menghadapi masalah tekanan kerja dan terpaksa menghadapi rungutan dari para pesakit. Keadaan ini sedang mengancam kestabilan kesihatan negara.

Kebajikan negara dalam hal-hal seperti pendidikan, keselamatan dan perubatan, tidak patut dijual beli seperti komoditi. Ia perlu dianggap seperti salah satu keperluan asas rakyat dan kerajaan perlu bertanggungjawab dalam menangani masalah-masalah tersebut. Birokrasi kerajaan yang hanya ingin mementingkan keuntungan syarikat swasta dan mengabaikan rakyat tidak patut diamanahkan dengan tugas menjaga kesihatan negara. Sebaliknya, semua khidmat di hospital termasuk penyelenggaraan dan perubatan harus dimiliknegara dan diletak diatas kawalan para pekerja kesihatan. Pekerja kesihatan bersama dengan komuniti setempat harus diberikan tanggungjawab untuk mengawal pusat-pusat kesihatan kerajaan dengan demokratik dan adil bagi semua.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*