Malaysia tunduk kepada negara China?

Malaysia tunduk kepada negara China?

Posted by

Semasa lawatan seminggu Najib ke negara China, 14 perjanjian perniagaan baru bernilai lebih RM143 bilion ditandatangani, termasuk projek pembinaan jalan keretapi menghubungkan Kelang dan Tumpat bernilai RM55 bilion. Sebelum ini pun anak syarikat kepada 1MDB dibeli oleh syarikat negara China dengan harga hampir RM10 bilion yang bertujuan untuk menyelematkan 1MDB yang penuh dengan skandal kewangan. Kini, China juga adalah rakan perdagangan terbesar Malaysia dengan nilai RM420 bilion setahun. Ini bermakna pengaruh dan kawalan ekonomi negara China terhadap ekonomi Malaysia semakin meningkat. Ada yang mengatakan langkah ini seolah-olah mengadaikan negara kepada China.

Ekonomi Malaysia masih bersandarkan kepada ekspot bahan mentah dan barangan pengeluaran, dan amat bergantung kepada keadaan pasaran dunia. Pada satu ketika ekonomi negara amat bergantung kepada ekonomi Amerika Syarikat untuk mengekspot barangan keluaran negara seperti barangan elektronik dan elektrik. Tetapi industri elektronik/elektrik dan pengeluaran negara merosot apabila pelabur asing lebih berminat melabur di negara seperti China, Vietnam dan lain-lain yang menyediakan buruh dan infrastruktur yang lebih murah. Tetapi, kegawatan ekonomi di Amerika Syarikat yang yang bermula pada 2007, dan seterusnya merebak ke Eropah, juga telah memberikan kesan yang besar kepada ekonomi negara. Semenjak itu keadaan ekonomi negara tidak stabil dan semakin merosot dengan peningkatan hutang isirumah dan hutang kerajaan.

Manakala kemerosotan ekonomi negara China kebelakangan ini juga telah menjatuhkan permintaan terhadap bahan-bahan mentah seperti petrol dan kelapa sawit. Dengan itu, pelaburan yang dijanjikan oleh China sama ada akan menjadi kenyataan atau tidak masih akan bergantung kepada keadaan ekonomi China dan global. Dengan pengaruh China yang lebih meningkat ke atas ekonomi negara, Malaysia juga berisiko tinggi jikalau krisis ekonomi yang lebih besar menimpa negara China dan global.

Kerajaan Malaysia atau kerajaan China yang mengharapkan pasaran bebas tidak mempunyai jalan keluar daripada krisis yang sedang melanda sistem kapitalisme yang sedang membebankan rakyat biasa di Malaysia dan juga di China. Lawatan Najib dan perjanjian perniagaan yang ditandatangani bermatlamat utama untuk memperkayakan pelabur-pelabur di kedua-dua negara dengan berbagai-bagai projek, dan tidak mampu menyelesaikan masalah sosial dan ekonomi yang diharungi oleh rakyat biasa. Risiko dan krisis ekonomi yang diwujudkan oleh pelabur-pelabur kaya, mencerminkan bagaimana selama ini ekonomi pasaran bebas negara digadaikan kepada kapitalis-kapitalis nasional dan antarabangsa untuk dieksploit dengan sepenuhnya berlandaskan matlamat mereka untuk mengaut keuntungan. Rakyat biasa perlu alternatif kepada kapitalisme untuk keluar daripada masalah yang diwujudkan oleh sistem pasaran bebas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*