Merakyatkan Seni… Hapuskan Agenda Perkauman!

Merakyatkan Seni… Hapuskan Agenda Perkauman!

Posted by

Keputusan Finas (Perbadanan Kemajuan Filem Malaysia) dan PFM (Persatuan Penerbit Filem Malaysia) untuk tidak mencalonkan filem Ola Bola dan Jagat untuk kategori filem terbaik dalam Pesta Filem Malaysia yang ke-28 pada tahun ini telah menerima bantahan daripada peminat dan juga aktivis seni tanahair. Finas dan PFM memberikan alasan bahawa kandungan kedua-dua filem tersebut tidak berlandaskan sekurang-kurangnya 70 peratus perbualan dalam Bahasa Melayu dianggap membelakangkan realiti sebenar masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Filem Ola Bola yang menggambarkan kegemilangan bola sepak negara era 70an dan 80an dengan mesej sukan sebagai alat memupuk perpaduan kaum telah mendapat sambutan hangat daripada masyarakat Melayu dan India selain masyarakat Cina walaupun kebanyakan perbualan dalam bahasa Cina dipergunakan dalam filem ini. Begitu juga, filem Jagat dalam Bahasa Tamil yang telah mengambarkan kemiskinan masyarakat Tamil di ladang yang telah menjurus kepada gejala-gejala sosial di era 90an juga telah mendapat sambutan daripada masyarakat Cina dan Melayu. Kedua-dua filem tersebut telah mempergunakan kreativiti dan telah menyampaikan mesej untuk perbincangan dalam masyarakat berbilang kaum. Kejayaan kedua-dua filem ini mengambarkan seni boleh menjadi perantara untuk memupuk persefahaman dan keharmonian di kalangan masyarakat berbilang kaum terutamanya majoriti di mana terus tertindas dengan agenda politik elit dan ekonomi kapitalis.

Pendirian Finas dan PFM mencerminkan bagaimana kepimpinan kedua-dua pertubuhan ini terus terikat dengan elit-elit politik negara yang menjadikan sentimen perkauman sebagai alat kuasa politik mereka dengan melaga-lagakan masyarakat berbilang kaum di negara ini. Persoalannya siapa yang mengawal dan mencanangkan agenda seni negara ? Selagi badan-badan seperti Finas dan PFM tidak didemokrasikan di bawah kawalan dan pengurusan rakyat, selagi itu agenda elit dan kapitalis akan diumpukkan kepada masyarakat.

Di era P. Ramlee, filem-filem yang dikeluarkan juga mendapat sambutan masyarakat Cina dan India, dan filem dipergunakan untuk memupuk perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama. Tetapi pada masa kini kreativiti pengarang cerita, penulis skrip dan pengarah terutamanya yang muda dikongkong oleh agenda politik negara, dan mereka tidak mempunyai kebebasan untuk meluahkan perspektif dan pandangan berkenaan isu-isu politik, ekonomi, sosial dan sejarah. Mereka juga tertindas dalam agenda politik elit dan kapitalis oleh kerajaan.

Justeru, untuk merakyatkan seni, agenda rakyat perlu dikedepankan dan agenda elit dan kapitalis yang berlandaskan perkauman dan ‘pecah dan perintah’ harus dikuburkan. Semua golongan tertindas harus bergabung untuk satu perubahan yang menitikberatkan dan mengutamakan hasrat dan keperluan rakyat segagai ganti kepada agenda elit dan kapitalis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*