Rakyat turun membantah percubaan kudeta

Rakyat turun membantah percubaan kudeta

Turki : Percubaan Kudeta Gagal

Posted by

Tidak kepada pemerintahan tentera, tidak kepada pemerintahan Erdogan ! Berjuang demi alternatif kelas pekerja !

Pada malam 15 Julai, beberapa jeneral berpangkat sederhana, bekas jeneral dan kolonel tentera Turki cuba untuk melakukan kudeta dan menggulingkan kerajaan AKP dan Presiden Erdogan. Pada masa percubaan rampasan kuasa itu, Erdogan sedang bercuti di pantai Aegean.

Komplot kudeta tentera pada mulanya berjaya merampas Agensi Perisikan Negara di Ankara serta kemudahan akademi polis selepas pengeboman udara bertubi-tubi. Mereka mengambil alih lapangan terbang di Ankara dan Istanbul. Walaupun pertempuran berlaku di bandar-bandar lain di seluruh negara, percubaan rampasan kuasa ditumpukan di dua bandar yang penting itu. Ibu pejabat polis, pejabat AKP, bangunan mayoral, server internet pusat, kedua-dua jambatan Bosphorus yang menghubungkan bahagian-bahagian Asia dan Eropah Istanbul juga telah diambil alih. Parlimen, di mana semua parti politik berada dalam sesi telah di bom beberapa kali oleh jet pejuang dan Istana Presiden telah diserang oleh unit-unit tentera dalam usaha untuk merampas kawalan.

Kudeta itu bermula di Ibu Pejabat Tertinggi Tentera, pangkalan udara terbesar di Turkey dan di ibu pejabat polis tentera. Kebanyakan komander tentera berpangkat tinggi, termasuk Ketua Tertinggi Angkatan Tentera telah diculik oleh perancang kudeta itu. Mereka mengambil kawalan radio negeri, saluran TV swasta terbesar serta Televisyen kerajaan yang digunakan untuk mengumumkan pengambilalihan kuasa politik terhadap rejim Erdogan dan AKP yang tidak sah, penuh dengan rasuah dan tidak sekular. Mereka mengisytiharkan perintah berkurung dan undang-undang tentera dengan alasan untuk membentuk sebuah Perlembagaan baru.

Pesawat yang dinaiki Erdogan dihalang untuk mendarat selama berjam-jam. Presiden dan Perdana Menteri membuat rayuan kepada rakyat untuk menentang percubaan rampasan kuasa itu. Faksi daripada kuasa-kuasa negeri yang berbeza terlibat dalam konfrontasi ganas sepanjang malam tetapi sebahagian besar aparatus polis masih setia kepada Erdogan. Seruan dari masjid juga telah dikeluarkan kepada orang awam untuk bersama-sama dengan kerajaan. Beberapa ribu orang, kebanyakannya penyokong teras AKP turun protes ke jalan raya. Pesawat dan helikopter tentera dilihat menembak ke arah  rakyat yang sedang demonstrasi di dua bandar utama itu. Menjelang pagi Sabtu, lebih daripada 150 pasukan tentera dari kedua-dua belah pihak dan lebih 50 orang awam telah terbunuh.

Majoriti rakyat dan semua parti politik menolak idea untuk kembali ke pemerintahan tentera dan kebanyakan para askar tidak bersedia untuk mempertahankan rampasan kuasa yang bersifat ganas. Oleh itu, kudeta ini tidak dapat membina asas sosial dan politik yang cukup untuk merampas kuasa dengan jayanya. Tambahan pula, Persatuan Perniagaan yang paling besar di Turkey (TUSIAD) serta imperialisme Amerika dengan cepat dan jelas mengumumkan bahawa mereka tidak akan memberikan apa-apa sokongan kepada komplot kudeta ini.

Seperti yang telah kami jelaskan di artikel sebelum-sebelum ini, krisis politik dan ekonomi yang meruncing di Turki sedang menaikkan kemarahan rakyat terhadap rejim Erdogan. Kerajaan AKP telah menggunakan badan kehakiman dan aparat tentera untuk menyekat suara pembangkang di dalam dan di luar Parlimen dan juga untuk menghancurkan pembangkang Kurdish. Percubaan Parti AKP untuk menggubal perlembagaan bagi memihak kepada Presiden Erdogan telah menjadi asas kepada komplot kudeta yang dirancang oleh musuh-musuh Erdogan. Walaupun kedua-dua pihak menggunakan retorik demokrasi, apa yang ditawarkan oleh mereka adalah sekadar variasi daripada pemerintahan kuku besi, satu berpakaian seperti orang awam dan satu lagi berpakaian seragam tentera. Kaedah-kaedah ini tidak dapat menyelesaikan krisis yang sedang mencengkam negara ini, malah ia akan memburukkan lagi keadaan dan akan mencetuskan kemelut yang lebih besar pada masa akan datang. Percubaan kudeta ini mencerminkan keretakan dalaman yang sedang dialami oleh parti pemerintah dan krisis politik negara yang sudah tenat.

Walaupun ia adalah amat penting untuk menentang tindakan Erdogan yang mencantas hak-hak sosial dan demokrasi, rampasan kuasa ini membuktikan bahawa pemerintahan diktator tidak boleh diperangi dengan menggunakan kaedah rebutan kuasa dikalangan elit. Berjaya atau tidak, tindakan kudeta hanya akan menambah penindasan terhadap rakyat biasa. Kudeta yang gagal itu akan dipergunakan oleh Erdogan untuk menumpukan kuasa dan menghakis hak-hak demokrasi. Perkara itu sudahpun bemula, beribu-ribu peguam awam dan hakim telah dilucutkan daripada jawatan mereka dengan niat untuk memperkenalkan semula hukuman mati. Langkah-langkah ini akan digambarkan sebagai tindak balas terhadap komplot kudeta tentera, tetapi dengan mudah akan dipergunakan untuk mencantas sebarang perjuangan menentang rejim Erdogan di masa hadapan.

CWI dan cawangan CWI di Turki, Sosyalist Alternatif, membantah percubaan kudeta yang hanya akan membantu Erdogan untuk mengukuhkan agenda diktator dan kuku besi. Kedua-dua kem pemberontak dan AKP sebenarnya mewakili faksi yang berbeza daripada kelas kapitalis yang menindas rakyat biasa dan harus ditentang sehabis-habisnya. Kuasa rakyat yang bangkit menentang kudeta ini tidak harus dibiarkan di tangan rejim AKP yang akan menindas mereka. Sebuah tindakan massa daripada gerakan pekerja, gerakan masyarakat Kurdish, gerakan mahasiswa, organisasi kiri dan sebagainya harus dibina secara independen daripada mobilisasi rejim Erdogan yang bersifat ganas dan tidak membawa sebarang alternatif bagi masalah rakyat.

Gerakan pekerja dan kiri perlu dengan segera mengaturkan sebuah jawatankuasa pertahanan bagi melindungi diri daripada serangan ganas kedua-dua pihak. Sebuah kuasa politik ketiga yang berdasarkan kepada kelas pekerja, rakyat miskin dan anak muda perlu dibina untuk menghentikan segala keganasan dan serangan terhadap hak-hak demokrasi. Selain itu, keganasan kerajaan terhadap masyarakat Kurdish dan dasar-dasar neo-liberal yang dipertahankan oleh kedua-dua faksi kapitalis juga harus ditentang.

Zaman-zaman negara Turki dipuji sebagai model kemakmuran dan kestabilan telah lama mati. Krisis yang meruncing di Turki mencerminkan krisis kapitalisme pada skala global yang sedang mencetuskan pergolakan di setiap penjuru dunia. Hanya perjuangan bagi perubahan sosialis, yang dikaitkan dengan perpaduan pekerja di Timur Tengah, Eropah dan antarabangsa boleh mengakhiri keadaan huru-hara dan keganasan yang sedang melanda Turki pada masa ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*