Seramai 80 orang pekerja Atlas Edible Ice Sdn. Bhd. telah pergi ke bangunan KWSP di Jalan Raja Laut untuk membuat laporan terhadap majikan yang gagal mencarum KWSP bagi komisyen pekerja. Tambahan pula, didapati pegawai KWSP pun telah bersekongkol dengan majikan untuk menghalang pekerja dari menuntut bayaran balik bagi caruman KWSP yang tidak dibayar.

Seramai 80 orang pekerja Atlas Edible Ice Sdn. Bhd. telah pergi ke bangunan KWSP di Jalan Raja Laut untuk membuat laporan terhadap majikan yang gagal mencarum KWSP bagi komisyen pekerja. Tambahan pula, didapati pegawai KWSP pun telah bersekongkol dengan majikan untuk menghalang pekerja dari menuntut bayaran balik bagi caruman KWSP yang tidak dibayar.

Jutaan Ringgit KWSP Lesap, Pekerja Tuntut Keadilan

Posted by

Pada Khamis, 2 Jun yang lepas, lebih 80 pekerja Atlas Edible Ice Sdn Bhd, cawangan Kepong dan Batu Caves turun untuk membantah komplot majikan dan pihak KWSP. Dengan berbekalkan sepanduk, kain rentang seperti “Lebih 20 Tahun Majikan Tipu Pekerja”, “Jutaan Ringgit Dari Akaun KWSP Pekerja Lesap “ dan sebagainya, para pekerja turun membantah komplot dan penipuan majikan di Bangunan Ibu Pejabat KWSP Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur.

Para pekerja yang terlibat adalah terdiri daripada pemandu dan pembantu lori yang memasarkan dan menghantar ais ke seluruh restoran di sekitar Lembah Klang. Dengan penghantaran itu, mereka akan memperoleh komisen berdasarkan jumlah jualan harian
(dalam tan). Kemudian bayaran komisen akan dibuat secara bulanan berdasarkan jumlah berat yang dikumpul.

Seksyen 2 Akta KWSP menetapkan bahawa “Semua saraan dalam bentuk wang yang kena dibayar kepada pekerja di bawah kontrak perkhidmatan atau perantisan sama ada ia dipersetujui untuk dibayar secara bulanan, mingguan, harian atau selainnya. Antara bayaran yang dikenakan caruman KWSP: Gaji , Bayaran bagi cuti rehat tahunan dan cuti sakit yang tidak digunakan, Bonus, Elaun, Komisen, Insentif, Tunggakan upah, Upah bagi cuti bersalin, Upah bagi cuti belajar, Upah bagi cuti separuh gaji dan bayaran-bayaran lain di bawah kontrak perkhidmatan atau sebaliknya. “

Namun, selama ini majikan di Atlas Edible Ice tidak membuat caruman untuk komisen berkenaan. Tambahan pula, majikan dengan sengaja menukar dari komisen ke perkongsian untung (profit sharing) hanya selepas tahun 2006 tanpa pengetahuan pekerja sedangkan bidang pekerjaan( nature of work) masih sama. Tindakan tersebut dengan jelas majikan bukan sahaja tidak mencarum, malah satu penipuan yang dirancang teliti setelah sekian lama.

Isu penyelewengan yang sama juga pernah berlaku di Atlas cawangan Nilai, dan akibat didesak oleh para pekerja Nilai akhirnya majikan mengalah. Majikan terpaksa membuat perjanjian pembayaran secara tunai pada November 2015 terhadap duit caruman KWSP yang tidak dibayar dengan syarat perkara itu tidak dihebohkan ke cawangan Atlas lain.

Malangnya, para pekerja turut mendapati terdapat usaha komplot dalaman daripada pihak KWSP dengan pihak majikan. Para pekerja Kepong & Batu Caves telah melakukan dua rundingan dengan majikan mengenai caruman yang tidak dibayar. Majikan telah menggunakan surat daripada pegawai KWSP bernama V.Kanagasothy yang bertarikh 24 Ogos 2015 sebagai kata muktamad dalam rundingan itu. Dalam surat daripada pegawai KWSP itu, menyokong tindakan majikan yang menegaskan perkongsian untung yang dibayar tidak perlu dicarumkan dalam KWSP. Apabila pihak pekerja membawa surat itu ke KWSP cawangan Batu Caves sebagai tujuan pengesahan, pihak pegawai di sana menekankan bahawa surat berkenaan tidak sepatutnya dikeluarkan kerana ianya bercanggah sama sekali dengan akta KWSP.

Walaupun para pekerja menyatakan kesahihan surat itu boleh dipertikaikan, majikan tetap berkeras menganggap ianya adalah muktamad dan menggelak untuk bertanggungjawab terhadap caruman pekerja. Yang dikesali, pegawai KWSP sepatutnya berada di pihak pekerja dalam membuat keputusan tetapi tidak berbuat demikian dan berkomplot di pihak majikan dalam merompak duit saraan hari tua pekerja.

Justeru itu, pihak pekerja mendesak pihak KWSP menyiasat pegawai yang mengeluarkan surat tersebut dan tindakan yang tegas kepada majikan yang terang lagi bersuluh ingkar dan melanggar undang-undang yang telah ditetapkan. Pihak pengurusan kanan KWSP ketika dalam perundingan bersama pekerja telah memberi jaminan bahawa satu siasatan menyeluruh akan dibuat dan akan memaklumkan hasil siasatan dalam tempoh 1 minggu sehingga 1 bulan daripada tarikh membuat laporan.

Kes seumpama ini harus dijadikan iktibar kepada para pekerja lain bahawa sekiranya mereka mempunyai isu yang sama atau isu pekerja yang lain. Sekiranya terdapat penyelewengan di tempat kerja, adalah mustahak untuk mempertahankan hak pekerja dengan menguatkan perpaduan antara pekerja masing-masing. Hanya dengan rungutan, bercerita di kedai kopi tidak cukup, tindakan harus diambil dan dalam kes Atlas ini mereka bertindak dengan mengadakan mesyuarat dan jawatankuasa ditubuhkan bagi membawa segala tindakan yang diputuskan bersama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*