38000 Pekerja Dihentikan Pada 2015 !

38000 Pekerja Dihentikan Pada 2015 !

Posted by

Mengorganisasi Pekerja untuk Kukuhkan Kesatuan Sekerja

Pada tahun lalu, 38000 pekerja diberhentikan kerja dalam berbagai-bagai sektor. Dengan keadaan ekonomi negara yang tidak tentu, lebih ramai pekerja dijangka akan diberhentikan kerja pada tahun ini. Penindasan dan penganiyaan terhadap hak dan kebajikan pekerja juga dijangka meningkat. Bagaimana pekerja mampu memperkuatkan hak dan perjuangan mereka ?

Wujudnya kesatuan sekerja adalah untuk mengorganisasi dan memperjuangkan hak-hak pekerja serta memperkukuhkan solidariti di kalangan pekerja berbagai kaum, agama, sektor pekerjaan dan negara. Sejarah kesatuan sekerja memberikan pengajaran bahawa jika kesatuan kuat, maka majikan dan kerajaan akan terdesak untuk menunaikan tuntutan pekerja. Untuk membina satu kesatuan yang kuat memerlukan sokongan padu ahli yang sedar serta kepimpinan yang sanggup berkorban demi perjuangan pekerja. Pemimpin kesatuan harus ‘turun padang’ untuk mendapatkan sokongan padu ahli dengan memantapkan perjuangan dan hak pekerja. Jika mereka tidak sanggup berkorban atau berjuang untuk pekerja, pekerja perlu mempunyai hak demokrasi untuk menukar kepimpinan.

Kelemahan kepimpinan kesatuan sekerja telah dipergunakan oleh majikan dan kerajaan untuk melancarkan berbagai-bagai serangan ke atas hak pekerja. Ini termasuk serangan ke atas hak kesatuan (‘union busting’). Pemimpin kesatuan lebih berminat untuk menyalahkan kerajaan yang tidak memihak kepada pekerja daripada mengambil langkah-langkah konkrit untuk mengorganisasi pekerja melalui kempen-kempen hak pekerja dan hak kesatuan untuk melawan serangan-serangan tersebut. Sokongan kerajaan kepada majikan seperti dalam isu ‘keperluan pengiktirafan majikan untuk kesatuan’ dan ‘union busting’ hanya boleh dikalahkan dengan sokongan padu pekerja bukannya dengan hanya mengharapkan memorandum yang dihantar oleh beberapa pemimpin kesatuan kepada kerajaan.

Untuk membina kesatuan sekerja, dana atau sumbangan kewangan perlu dijana daripada pekerja. Pengalaman kesatuan-kesatuan yang sanggup berjuang demi pekerja menunjukkan, jika pekerja mempunyai kepercayaan kepada kemampuan dan matlamat kesatuan, mereka sanggup mengeluarkan sumbangan untuk memantapkan aktiviti kesatuan. Jika majikan mempergunakan ‘pemotongan yuran kesatuan melalui gaji’ untuk melemahkan kesatuan, kepimpinan kesatuan perlu mencari kaedah-kaedah pembayaran lain yang boleh dipergunakan untuk melawan agenda majikan.

Tetapi, pengalaman pekerja dengan kesatuan yang mengampu majikan dan kerajaan telah meranapkan harapan mereka terhadap kesatuan. Kepercayaan mereka hanya boleh dipulihkan dengan memastikan kepimpinan kesatuan yang tidak mengkhianati pekerja. Pekerja sebagai ahli kesatuan perlu mempunyai hak demokrasi untuk mempersoalkan pemimpin kesatuan jika ada sebarang kesangsian dalam langkah dan tanggungjawap yang diambil oleh pemimpin dalam kesatuan. Pekerja-pekerja muda juga perlu disedarkan tentang kepentingan kesatuan, dan mereka juga perlu diberikan peranan dalam kesatuan yang demokratik dengan kepimpinan yang sanggup mendengar pandangan. Manakala lebih ramai pekerja wanita harus diberikan peluang untuk memimpin kesatuan.

Manakala, pemimpin kesatuan seharusnya tidak memihak kepada parti-parti politik yang pro-kapitalis serta membelakangkan hak pekerja. Sememangnya perjuangan kesatuan sekerja adalah untuk meningkatkan hak dan kebajikan pekerja. Tetapi pekerja juga diserang dengan berbagai polisi-polisi politik seperti GST, TPPA dan lain-lain agenda pasaran bebas yang memihak kepada kapitalis-kapitalis tempatan dan antarabangsa. Justeru itu, satu perubahan politik yang berlandaskan hak dan keperluan pekerja amat diperlukan untuk satu perubahan yang tulen. Untuk itu, kesatuan juga mempunyai tanggungjawap untuk mengatur langkah untuk membina parti politik massa pekerja yang anti-kapitalisme serta memperjuangkan hak pekerja dan rakyat biasa sebagai alternatif kepada parti-parti politik pemerintah dan pembangkang yang pro-kapitalis.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*