Muka depan buku Shaharuddin Maaruf " Idea Melayu Tentang Pembangunan - Daripada Feudalisme Ke Kapitalisme "

Muka depan buku Shaharuddin Maaruf " Idea Melayu Tentang Pembangunan - Daripada Feudalisme Ke Kapitalisme "

Konflik Kelas Dalam Feudalisme Dan Kapitalisme

Posted by

ULASAN BUKU: IDEA MELAYU TENTANG PEMBANGUNAN- DARIPADA FEUDALISME KE KAPITALISME

PENULIS: SHAHARUDDIN MAARUF

DITERBITKAN: 2014

Buku ‘Idea Melayu Tentang Pembangunan: Daripada Feudalisme ke Kapitalisme’ mengupas pemikiran golongan intelektual melalui karya-karya mereka dengan mengambil kira latar belakang perkembangan feudalisme dan kolonial kapitalisme di Tanah Melayu dan di Malaya/Malaysia daripada abad ke-18 hingga ke abad 20an. Buku ini juga menganalisis konflik-konflik kelas yang muncul di antara rejim pemerintah dan rakyat ketika era feudalisme dan perkembangan awal kapitalisme, dan meninjau persepsi golongan intelektual.

Sebagai permulaan, buku ini menceritakan tentang kemunculan feudalisme dengan pembinaan Kesultanan Melaka dan seterusnya kemunculan kerajaan-kerajaan lain di Tanah Melayu berdasarkan kepada karya-karya dalam Sejarah Melayu. Penghijrahan ke Tanah Melayu akibat konflik kuasa di kerajaan-kerajaan monarki lain seperti Majapahit telah menjurus kepada penghijrahan raja atau pembesar ke Tanah Melayu bermula di abad ke 15 dan seterusnya menjurus kepada pembentukan sistem monarki yang digambarkan sebagai permulaan era feudalisme di Tanah Melayu. Feudalisme di Tanah Melayu berkembang melalui pengaruh empayar-empayar luar, dan seterusnya budaya feudalisme yang seakan-akan mirip dibina di Tanah Melayu.

Karya-karya dalam Sejarah Melayu juga menggambarkan kerajaan pemerintah dan raja sebagai hidup dalam kemewahan, dan sentiasa memperkuatkan kuasa dan ketenteraan. Manakala pemikiran rakyat biasa dikongkong dan kesetiaan kepada pemerintah dititikberatkan. Perbezaan darjat dengan raja ditekankan melalui agama, adat istiadat dan majlis-majlis formal untuk memperkukuhkan pemerintahan autoritarian ke atas rakyat pada masa itu.

Perdagangan juga telah dilakukan dengan empayar lain di China, India dan Arab untuk menjadikan rantau ini sebagai tumpuan aktiviti perdagangan di samping rakyat biasa bertani dan juga membayar cukai kepada pemerintah. Seterusnya, negara-negara feudal barat seperti Portugis dan Belanda yang mencari sumber-sumber alam yang baru telah menyusup masuk ke Melaka dengan senjata dan kekuatan tentera mereka yang lebih canggih.

Pada abad 18 pula idea-idea kapitalisme telah mula muncul di Tanah Melayu dengan penguasaan British di negeri-negeri Selat. Abdullah Munshi melalui karyanya ‘Kisah Pelayaran Abdullah’ telah berhujah tentang kemunduran feudalisme (sistem monarki) serta reformasi kapitalisme barat sebagai jalan keluar dengan membandingkan kemajuan yang dicapai di negeri-negeri Selat seperti Singapura dan Melaka di bawah British berbanding negeri-negeri lain di Tanah Melayu seperti Pahang, Terengganu dan Kelantan. Beliau membuat kesimpulan bahawa kemiskinan dan kesengsaraan rakyat adalah akibat nilai-nilai elit pemerintah feudal yang hanya mementingkan kuasa dan kemewahan.

Feudalisme adalah sistem kelas di mana rakyat biasa dieksploitasi oleh kelas pemerintah dengan mengekalkan budaya konservatif yang memihak kepada pemerintah. Dengan teknologi dan sains, kaedah-kaedah produksi yang lebih cekap yang tidak wujud dalam feudalisme berkembang dalam sistem kapitalisme. Ini bermakna pada awalnya, kapitalisme bersifat progresif dalam menyediakan keperluan-keperluan manusia, tetapi sifat persaingan dan berorientasikan kepada keuntungan maksimum menggalakkan penindasan dan eksploitasi ke atas rakyat biasa.

Walaupun British telah mengawal pentadbiran di negeri-negeri Tanah Melayu, golongan monarki masih sanggup berkompromi dan bekerjasama dalam aktiviti perdagangan dan perlombongan untuk mengekalkan kemewahan serta kuasa autoriti terhadap rakyat. British pula dengan agenda kolonial kapitalisme mempraktikkan ‘pecah dan perintah’ berdasarkan kaum, serta menindas rakyat dalam keperluan dan aktiviti ekonomi mereka.

Pada masa yang sama muncul juga intelektual yang cuba menjustifikasikan perubahan yang dibawa oleh kapitalisme. Syed Sheikh Alhady dengan karyanya ‘Agama Islam dan Akal’ mempergunakan hujah-hujah agama untuk menyeru rakyat menyesuaikan dan berubah dengan perkembangan kapitalisme dengan mempertahankan budaya persaingan dan kemampuan meningkatkan produktiviti. Zaaba yang berlandaskan kepada pemikiran elit kapitalisme dan kelas menengah dalam tulisan ‘Kemiskinan Melayu’ cuba mencerminkan kemiskinan adalah akibat kualiti seseorang dan kejayaan hanya dapat dicapai dengan usaha yang gigih. Ini jelas menunjukkan pemikir seperti Zaaba yang mempertahankan kapitalisme sebagai jalan keluar daripada kemiskinan rakyat, gagal melihat sifat kapitalisme misalnya ketika ‘revolusi industri’ di mana pekerja dan rakyat biasa dilayan seperti binatang dengan penindasan yang kejam.

Pada masa yang sama, segolongan intelektual cuba menentang perkembangan kapitalisme dengan melihat kolonial British dan kapitalis bukan-Melayu (atau kelas borjuis kecil) sebagai asas kepada masalah kemiskinan dan penindasan yang wujud dalam masyarakat Melayu. Abdul Rahim Kajai melalui ‘Cerita Awang Putat’ cuba menjelaskan bahawa orang Cina dan India mempunyai kedudukan yang lebih tinggi dalam perniagaan dan juga kedudukan dalam masyarakat seperti cikgu, dan mempergunakan Awang Putat sebagai watak untuk menjatuhkan mereka dan meningkatkan autoriti Melayu. Manakala Ishak Haji Muhammad dalam ‘Putera Gunung Tahan’ dan ‘Anak Mat Lela Gila’ mengutuk budaya kolonial kapitalisme, dan juga kedudukan yang dibina oleh golongan bukan Melayu dalam masyarakat. Pemikiran kedua-dua intelektual tersebut menunjukkan bagaimana kepincangan sosial dan ekonomi mampu mewujudkan prasangka perkauman, yang sehingga kini terus mewujudkan ketegangan dalam pertalian antara kaum dalam masyarakat Malaysia, dan terus dipergunakan oleh kelas pemerintah untuk mengekalkan kuasa.

Penulis juga melihat kepada konflik dalam idea-idea feudalisme dan kapitalisme di kalangan pemimpin UMNO terutamanya di antara Dato Onn dan Tunku Abdul Rahman. Misalnya dalam isu perlantikan Penolong Pesuruhjaya Tinggi Malaya di mana Tunku yang berlatarbelakangkan monarki tidak mahu mencalonkan seorang Melayu di mana ini dilihat akan menjatuhkan penguasaan monarki terhadap rakyat biasa selama ini. Manakala Dato Onn pula mencabar pendirian Tunku dan monarki. Ketika di tampuk pemerintahan kerajaan, Tunku juga pernah berkata bahawa ‘Melayu harus kekalkan ‘status-quo’ , dan Cina pula buat perniagaan’ walaupun sistem kapitalisme telah menjadi ikutan kerajaan selepas merdeka. Pendirian tersebut menunjukkan bagaimana agenda ‘pecah dan perintah’ yang dimulakan oleh British masih diteruskan. Pendekatan Tunku telah menjurus kepada penentangan dalam UMNO di mana Mahathir Mohammad dengan karya ‘Dilema Melayu’ menyemarakkan kemarahan akibat jurang kaya-miskin yang semakin melebar di antara masyarakat Melayu dan Cina. Tetapi pada era pemerintahannya, dengan agenda neo-liberalisme Mahathir pula telah memanfaatkan segelintir golongan kaya di mana ini telah melebarkan jurang miskin-kaya dalam masyarakat Melayu sendiri.

Fakta-fakta dalam buku ini menjelaskan bahawa walaupun kapitalisme lebih maju daripada feudalisme, tetapi ia tidak mampu mewujudkan keadilan sosial yang saksama di antara kaum atau pun dalam sesuatu kaum itu sendiri selagi wujudnya jurang antara kelas. Dalam kesimpulannya, penulis menekankan bahawa beliau tidak menentang kapitalisme walaupun melihat sistem ini penuh dengan kepincangan dan penindasan. Tetapi hanya mencadangkan ‘Kapitalisme moden yang rasional’ sebagai alternatif kepada ‘Kapitalisme kejam yang ketinggalan’.

Sosialis Alternatif mempunyai pandangan yang bercanggah dengan kesimpulan penulis, di mana kami melihat kapitalisme sebagai satu sistem yang penuh dengan penindasan dan kekejaman di sebabkan oleh sifatnya. Jadi dengan sifat begitu ia tidak akan bertindak secara ‘rasional’. Hanya dengan mengubah kapitalisme kepada sosialisme sahajalah satu sistem ‘rasional’ untuk memenuhi keperluan, demokrasi dan hak rakyat biasa boleh dibentuk dan dibina.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*