1000 Pekerja MAB Bakal Kehilangan Kerja

1000 Pekerja MAB Bakal Kehilangan Kerja

Posted by

Satu lagi berita buruk menimpa pekerja MAB ( Malaysian Airlines Berhad ) apabila dikatakan 1000 pekerja kontrak akan kehilangan kerja pada hujung bulan ini. Selepas melepaskan lebih 3000 pekerja pada September tahun lepas, MAB melihat untuk mengurangkan kos operasi mereka dengan memotong lebih ramai tenaga kerja daripada syarikat tersebut.

Walaupun hampir semua 3000 bekas kakitangan MAB telah memfailkan aduan di Jabatan Perhubungan Perusahaan kerana tidak berpuas hati dengan kehilangan kerja dengan pampasan yang tidak munasabah, MAB masih meneruskan pemotongan pekerjaan. Kesatuan pekerja MASEU pula telah mendiamkan diri dan dihancurkan dengan rela. Kepimpinan yang tidak bertulang belakang itu langsung tidak mencabar sebarang langkah-langkah yang diambil oleh pihak majikan dan kerajaan. Walaupun mempunyai kekuatan angka dan wang, tanpa kepimpinan yang kukuh, kesatuan sekerja tidak mampu membela nasib ahli mereka.

Tambahan pula, syarikat penerbangan Nasional ini juga sedang menghadapi krisis kewangan dan dikejutkan dengan berita pengunduran Cristoph Mueller sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang baru dilantik enam bulan lepas. Hasil ketirisan badan pengurusan dan kebergantungan dengan pasaran bebas global, syarikat penerbangan MAB tidak berjaya menyelesaikan krisis kewangan walaupun dengan memecat beribu-ribu pekerja dan mengecilkan kos. Adalah jelas bahawa kos gaji pekerja adalah jauh lebih sedikit berbanding kos yang dibelanjakan untuk menjamin keuntungan kroni-kroni kaya yang menjadi punca utama kepada krisis kewangan tersebut.

Presiden Kesatuan Kebangsaan Anak Kapal Kabin Malaysia ( Nufam ), Ismail Nasaruddin telah mencadangkan supaya para pekerja yang kehilangan kerja untuk memfailkan aduan di Jabatan Perhubungan Perusahaan dan memperjuangkan kes mereka. Walaupun itu merupakan perkara yang penting, para pekerja juga harus sedar bahawa tanpa tekanan yang wajar dari kalangan pekerja, agensi-agensi kerajaan biasanya akan menyebelahi pihak kerajaan atau majikan. Untuk memastikan kemenangan bagi semua pekerja, satu kempen yang tersusun harus dilancarkan dan satu perjuangan yang jelas harus diangkat.

Di samping itu, ini merupakan masa yang sesuai untuk membincangkan idea-idea yang lebih lebar di kalangan pekerja-pekerja yang sedang ditindas oleh kedua-dua majikan kaya dan pihak kerajaan. Para pekerja yang bertungkus lumus mengembangkan syarikat ini lebih berpengetahuan dalam hal-hal pengendalian syarikat berbanding dengan segelintir usahawan yang telah gagal selama beberapa dekad. Para pekerja mampu mengambil alih pengurusan syarikat penerbangan ini dan menguruskannya secara demokratik diantara mereka. Dengan cara itu, mereka tidak perlu kehilangan pekerjaan dan pada masa yang sama segala ketirisan yang tidak bermanfaat boleh dielakkan.

Pihak Kesatuan Rayani Air sudahpun menyatakan idea ini di media massa dan sedang menimbulkan pelbagai persoalan bagi pihak majikan. Kepimpinan kesatuan lain juga harus membincangkan perkara ini di kalangan pekerja dan bagi membolehkan sebarang persiapaan yang bakal diperlukan. Kepimpinan Kesatuan harus yakin dengan kebolehan kelas pekerja dan mengambil langkah-langkah yang berani dalam zaman krisis kewangan global ini.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*