PH Kecundang, BN Menang Besar

PH Kecundang, BN Menang Besar

Posted by

Keputusan penuh Pilihanraya Negeri Sarawak 2016 pada 7 Mei lepas meyaksikan Barisan Nasional (BN) memenangi 72 kerusi daripada 82 kerusi yang dipertandingkan. Keputusan ini juga menunjukkan BN menguasai lebih 2 per 3 majoriti yang diperlukan bagi memudahkan sebarang usul baru diluluskan di Dewan Undangan Negeri .

Parti komponen BN seperti Parti Pesaka Bumiputera Bersatu(PBB) menang semua 40 kerusi, Parti Rakyat Sarawak(PRS) juga menang semua 11 kerusi yang dipertandingkan. Jumlah kedua-dua parti ini sudah cukup bagi BN menang dengan majoriti mudah untuk menubuhkan kerajaan negeri.

Lawan mereka, Pakatan Harapan(PH), yang terdiri antara DAP (Parti Tindakan Demokratik), PKR (Parti Keadilan Rakyat), dan Amanah ( Parti Amanah Negara) hanya berjaya memperolehi 10 kerusi. DAP kalah 5 kerusi dan berjaya mengekalkan 7 kerusi yang dimenanginya di kawasan bandar sebelum ini. Manakala, PKR tidak menambahkan bilangan kerusi dan hanya mampu mengekalkan bilangan yang sama iaitu 3 kerusi (2 luar bandar, 1 bandar).

Persediaan Adenan Satem

Imej orang baru bebas rasuah, pro-rakyat digunakan sepenuhnya oleh Adenan Satem untuk mendapat sokongan-nya. Satem sudah pun bersiap sedia 2 tahun lebih awal untuk menghadapi PH dengan pengenalan pelbagai projek kemudahan asas untuk masyarakat khususnya di kawasan pedalaman. Pensempadan semula telah menghasilkan 11 kerusi baru yang rata-ratanya di tempat pengaruh PH bertapak. Faktor ini juga menyumbangkan kepada pengurangan kerusi PH yang antara penyebab utama DAP hilang 5 kerusi di kawasan kubu kuat mereka.

Ketiadaan Alternatif Jelas

Pertembungan di 6 kerusi antara DAP dan PKR telah menunjukkan kegagalan PH dalam pembahagian kerusi untuk bertanding. Keadaan ini telah memberi isyarat jelas kepada para pengundi bahawa PH bukannya politik ikatan yang kukuh dan tiada jaminan mereka dapat menumpukan perhatian terhadap pentadbiran sekiranya diberi peluang memerintah. Biarpun, PH cuba membawa program-program mesra-rakyat seperti gaji minimum yang selaras antara Semenanjung dan Sabah serta Sarawak, bas percuma dan sebagainya. Namun, kebanyakan program-program dalam manifesto PH telah dapat dipatahkan oleh BN dengan lebih banyak lagi projek besar kemudahan asas untuk rakyat di bandar dan luar bandar.

Undi Protes

Biarpun Suruhanjaya Pilhan Raya(SPR) mengumumkan jumlah peratusan keluar mengundi adalah sebanyak 70% atau 777,018 pengundi namun pilihanraya ini tidak serancak seperti tahun 2013. Walaupun, kedua-dua seteru politik mendakwa berjaya membawa ramai ke ceramah masing-masing. Kemeriahan sebenarnya adalah bagi pihak yang bertanding, rakyat biasa tidak melihat pilhanraya pada kali ini sebagai jaminan kukuh kepada penyelesaian terhadap masalah yang dihadapi mereka. Pemerintahan PH di Selangor dan P.Pinang tidak memberi inspirasi kepada rakyat di Sarawak memandangkan mereka sendiri juga mempunyai masalah salah urus dalam pentadbiran seperti kes banglo Lim Guan Eng dan pembinaan lebuhraya kontroversi di Selangor. Suasana muram ini ditunjukkan pada pukul 4 petang ketika hari pengundian dengan hanya 52 peratus telah keluar mengundi.

Isu Autonomi

Beberapa calon bebas dan parti tempatan seperti (Parti Reform Sarawak)STAR menggunakan sentimen “Sarawak For Sarawakian” (S4S) serta isu jurang kuasa negeri dan pusat untuk meraih undi. Percubaan mereka tidak membuahkan hasil malah sama ada kalah atau hilang deposit di tempat mereka bertanding. Tanpa adanya perpaduan yang kukuh, PH dilihat tidak mempunyai kredibiliti membawa isu autonomi bahkan tenggelam apabila Adenan secara terbuka sedia berunding dengan kerajaan pusat mengenai kenaikan royalti gas dan minyak dan penurunan kuasa pentadbiran ke kerajaan negeri. Salah guna kuasa autonomi harus dibantah keras, seperti amalan kerajaan negeri melarang kemasukan individu yang berkaitan dengan parti politik. Walau dari Semenanjung atau luar negara, mereka tetap mempunyai hak untuk bergerak bebas dalam menjalankan aktiviti politik mereka.

Anak Muda dan Rakyat Biasa

Kemenangan besar Adenan Satem ini tidak bermakna beliau mendapat kepercayaan penuh daripada mereka yang mengundi. Janji-janji dan projek berbillion yang ditaburkan pastinya akan ditagih, sekiranya beliau gagal berbuat demikian, akan ditolak sebagaimana yang menimpa bekas PM Abdullah Badawi pada Pilihan Raya Umum(PRU 12) tahun 2008. Walaupun dijanjikan pelbagai kemudahan menanti selepas PRN ini, keadaan peluang pekerjaan menipis, gaji rendah, kos hidup yang tinggi terus tidak terbela dengan kedua-dua pihak yang bertanding. Hasilnya, jumlah pengundi muda dan penglibatan dalam pilihanraya ini amat kurang juga dan peratusan yang mengundi hanya 30% daripada mereka yang berdaftar.

Alternatif Baru Perlu Dibina

Tatkala BN masih berpesta dengan kemenangan tersebut, ramai di kalangan pemimpin PH menyalahkan pengundi tidak mahu berubah menukar BN. Kegagalan PH dalam pembahagian kerusi bukan sahaja mengecewakan bahkan membuktikan mereka tidak mampu menjadi alternatif bagi menggantikan BN. Ini juga bermakna terutamanya anak muda, yang masih belajar atau bekerja perlu memulakan usaha membina alternatif politik baru yang memihak kepada rakyat biasa bukannya golongan elit yang dipelihara oleh kedua-dua BN dan PH. Usaha ini tidak cukup jika gerakan ini tidak meliputi peringkat nasional yang perlu melibatkan mereka yang dari Semenanjung sehingga ke Sabah dan Sarawak.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*