Aktiviti manusia boleh menentukan masa depan dan memastikan kesinambungan umat manusia di muka bumi

Aktiviti manusia boleh menentukan masa depan dan memastikan kesinambungan umat manusia di muka bumi

Sistem Ekonomi Menyumbang Kepada Pemanasan Global

Posted by

Sejak kebelakangan ini, kita dikejutkan dengan keadaan iklim setempat yang lebih panas daripada biasa, mengakibatkan keadaan yang tidak selesa serta pelbagai musibah yang lain seperti masalah kesihatan dan sebagainya. Ini adalah disebabkan tiadanya perancangan dalam menggunakan bahan bakar oleh para pengusaha dan pemodal kaya. Berdasarkan Penilaian Iklim Kebangsaan di Amerika Syarikat, aktiviti manusia adalah penyebab utama kepada pemanasan global, terutamanya pencemaran udara yang disebabkan pelepasan karbon melalui pembakaran bahan api fosil dan peningkatan dalam aktiviti penebangan pokok.

Karbon dioksida, metana, jelaga dan bahan pencemar lain yang di lepaskan ke atmosfera bertindak seakan-akan sehelai selimut yang memerangkap haba matahari yang turun ke bumi dan menyebabkan planet ini bertambah panas. Kajian-kajian menunjukkan bahawa dekad 2000-2009 adalah dekad terpanas jika dibandingkan dengan sekurang-kurangnya untuk 1300 tahun yang lepas. Pemanasan ini akan mengubah sistem iklim bumi, termasuklah daratan, atmosfera, lautan dan ais dengan lebih teruk lagi.

Suhu yang lebih tinggi ini sedang mengakibatkan pelbagai bencana alam seperti ribut, gelombang haba, banjir dan kemarau. Iklim yang lebih panas juga telah menyebabkan atmosfera mengumpul, menyimpan dan melepaskan air dengan lebih banyak. Ini menyebabkan kawasan yang basah, semakin basah dan kawasan yang kering, semakin kering.

Jumlah kemarau dan banjir yang semakin meningkat sebagaimana atmosfera kita semakin panas juga menunjukkan risiko terhadap kesihatan dan keselamatan awam. Keadaan kemarau telah menjejaskan akses kepada air minuman bersih, merosakkan tanaman-tanaman, menyebabkan kebakaran yang tak terkawal serta kejadian gelombang haba yang ekstrem. Di kawasan lain di dunia, kekurangan air adalah punca utama kepada kematian dan wabak-wabak penyakit.

Peningkatan suhu juga telah memburukkan pencemaran udara dengan meningkatkan paras tanah ozon, yang terjadi melalui pencemaran dari kereta, kilang dan sumber lain yang bertindak balas terhadap cahaya matahari dan haba. Ozon paras tanah adalah komponen utama kabus, dan semakin panas iklim kita maka semakin banyak kabus yang kita akan dapat, seperti yang berlaku di kawasan bandar China. Udara yang lebih kotor telah dikaitkan dengan kadar kemasukan hospital yang meningkat dan kadar kematian yang lebih tinggi untuk pesakit asma. Ia juga memburukkan kesihatan bagi mereka yang menghidap penyakit jantung dan paru-paru.

Sebagai manusia, kita menghadapi pelbagai cabaran, tetapi kita bukan satu-satunya spesies yang terpaksa menghadapi cuaca yang panas ini. Apabila daratan dan lautan mengalami perubahan yang drastik, haiwan-haiwan yang menetap di sana juga akan pupus jika mereka tidak menyesuaikan diri mereka dengan cepat. Berdasarkan penilaian Panel Antara Kerajaan Mengenai Perubahan Iklim di Amerika Syarikat, banyak spesies di daratan, air tawar dan lautan yang bertukar habitat ke altitud yang lebih tinggi atau kawasan yang lebih sejuk, dalam cubaan mengelakkan diri dari kepanasan. Bagaimanapun, banyak antara mereka yang masih berisiko mengalami kepupusan, Kajian pada 2015 menunjukkan spesies vertebrata seperti mamalia, reptilia, dan burung melalui kadar kepupusan 114 kali ganda dari yang sepatutnya disebabkan perubahan iklim, pencemaran dan penebangan pokok yang meluas.

Keadaan Hutan Simpan Lesong Selepas Digondol Oleh Pembalak.

Keadaan Hutan Simpan Lesong selepas digondol oleh pembalak.

Kawasan kutub utara dan selatan amat sensitif dengan atmosfera yang semakin panas. Suhu purata di Artik sedang meningkat dua kali ganda jika dibandingkan dengan kawasan lain di planet ini, dan ini mencairkan lapisan ais dengan laju. Bukan sahaja ini menjejaskan kehidupan manusia, haiwan dan tumbuhan di kawasan itu, malah lebih membimbangkan lagi, keadaan ini sedang meningkatkan paras laut di bumi. Menjelang 2100, dianggarkan paras laut akan meningkat sebanyak satu hingga empat kaki dan ini akan menjejaskan habitat di pantai dan kawasan rendah, termasuklah negara-negara pulau dan bandar-bandar besar dunia seperti New York, Singapura, Mumbai dan Sydney.

Tiada persoalan lagi, perubahan iklim menjanjikan masa depan yang menakutkan sekiranya aktiviti pelepasan karbon dioksida dan pencemaran alam tidak dihentikan. Sistem ekonomi kapitalisme yang hanya mengutamakan keuntungan segelintir pemodal dan mengetepikan kepentingan rakyat biasa dan alam sekitar merupakan penyumbang utama kepada pemanasan global yang dialami pada masa ini. Para pengusaha dan pemilik syarikat gergasi telah menghancurkan sebahagian daripada bumi disebabkan oleh kegelojohan mereka mengejar keuntungan wang duit.

Sumber alam seperti hutan, minyak, sungai, hasil galian seharusnya dimiliki bersama oleh rakyat tempatan dan bukannya diletakkan ditangan segelintir pemodal kaya. Rakyat biasa juga mempunyai hak sepenuhnya keatas sumber alam semula jadi dan harus diberikan kuasa untuk mengawal sumber tersebut secara demokratik di antara mereka. Bagi merealisasikan sebuah impian sebegitu, sistem kapitalisme yang sedang bermaharajalela pada masa ini haruslah diganti dengan sistem yang akan memberikan kuasa kepada kelas pekerja dan rakyat biasa.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*