Gelombang kebangkitan rakyat “Arab Spring” yang menjatuhkan para diktator di Tunisia dan Mesir telah berkembang ke seluruh timur tengah, memberi inspirasi kepada para pekerja dan anak-anak muda di seluruh dunia. Fenomena ini kemudiannya merosot dan seluruh rantau tersebut dilanda perang dan konflik mazhab.

Gelombang kebangkitan rakyat “Arab Spring” yang menjatuhkan para diktator di Tunisia dan Mesir telah berkembang ke seluruh timur tengah, memberi inspirasi kepada para pekerja dan anak-anak muda di seluruh dunia. Fenomena ini kemudiannya merosot dan seluruh rantau tersebut dilanda perang dan konflik mazhab.

Lima tahun setelah “Arab Spring”

Posted by

Lima tahun yang lepas, golongan hartawan, raja-raja, para sheikh dan para diktator di kawasan Timur Tengah dan Maghreb bersama sekutu antarabangsa mereka telah mendapati diri mereka dalam keadaan yang tidak menentu apabila jutaan rakyat biasa bangkit dan turun ke jalan raya, dari Tunis ke Sanaa, dari Manama ke Cairo. Kebangkitan itu dicetuskan oleh Mohamed Bouazizi, seorang peniaga kecil yang membakar dirinya kerana tidak tahan lagi dengan kemiskinan dan gangguan pihak polis. Protes yang tercetus berikutan aksi peniaga kecil tersebut kemudiannya berkembang ke seluruh rantau. Slogan kebangkitan iaitu ‘Ash-shaʻb yurīd isqāt an-nizām’ (rakyat inginkan kejatuhan regim), mencerminkan keinginan yang terpendam bagi berpecah dengan susunan masyarakat lama.

Di bawah keadaan kemiskinan yang tidak dapat ditampung, gejala rasuah, penyakit, pengangguran dan penindasan yang kejam oleh struktur kerajaan kuku besi – majoriti rakyat tidak ingin hidup di bawah susunan sosial yang sedia ada. Fenomena revolusioner ‘Arab Spring’ tidak tercetus secara tiba-tiba di dalam keadaan yang stabil dan aman. Tempat di mana revolusi itu bermula, seperti di Tunisia dan Mesir, sudah wujud satu pergelutan yang besar dengan rejim yang sudahpun dimulakan oleh golongan pekerja dan komuniti-komuniti awam. Golongan miskin dan golongan pekerja sebenarnya berpeluang untuk bersiap sedia untuk cetusan revolusi yang bermula pada tahun 2010-11.

Pada sesi pembentangan di kongress dunia pada tahun 2010, CWI telah meramalkan potensi untuk kewujudan sebuah situasi revolusi di Timur Tengah dan Utara Afrika. Kongres berhujah bahawa kondisi kehidupan rakyat biasa dan rejim kuku besi kerajaan di rantau itu adalah titik di mana sebuah perjuangan yang kuat boleh di bina.

Bertentangan dengan analisa CWI, fenomena yang berlaku secara tiba-tiba ini merupakan sesuatu yang tidak dijangka oleh ahli-ahli politik pro-kapitalis dan pakar analisa Timur Tengah. Polisi imperialis barat, bersama dengan ramalan mereka telah dihancurkan oleh ribut revolusi yang melanda pada awal tahun 2011. “Melalui penilaian kami, kerajaan Mesir masih di dalam keadaan yang stabil”, begitulah kenyataan Hillary Clinton pada 25hb Januari 2011, kurang daripada tiga minggu sebelum presiden Mesir Hosni Mubarak di gulingkan. Pemerintahan kuku besi selama 23 tahun di Tunisia oleh Zine el Abidine Ben Ali juga telah berakhir pada 14hb Januari 2011, setelah berlangsungnya protes selama beberapa bulan. Dalam kedua-dua kes, gerakan pekerjalah yang menggugat sistem ekonomi kapitalisme melalui tindakan mogok secara besar-besaran dan telah memaksa penyerahan kuasa oleh diktator-diktator zalim.

Tindakan ‘Kontra Revolusi’

Bertahun-tahun telah berlalu sejak fenomena ini berlaku. Pada hari ini, semangat optimisme dan harapan bagi perubahan yang radikal dilihat sebagai sesuatu yang lepas. Ilusi bahawa semua jenis tindakan akan menjurus kepada keadaan yang lebih elok tidak mampu bertahan disebabkan oleh kontra-revolusi yang aktif. Yemen, Libya dan Syria sedang menghadapi pelbagai jenis perang saudara. Mesir telah kembali kepada pemerintahan tentera. Levant (istilah geografi yang dikaitkan dengan kawasan timur Mediterranean) dilihat sebagai tempat terlahirnya ISIS (Islamic State, dirujuk sebagai Daesh di dalam dialek rantau Arab), sebuah organisasi pejuang jihadis yang digeruni seluruh dunia, melakukan keganasan dari Paris hingga ke Jakarta. Keadaan peperangan dan terorisme ini memudaratkan lagi masalah ekonomi rakyat tempatan. Kawasan-kawasan perlancongan yang terkenal juga sedang menghadapi masalah kekosongan hotel-hotel dan pantai-pantai pada waktu ini disebabkan oleh ancaman keganasan rawak.

Golongan pekerja dan masyarakat yang tertindas tidak memilih keadaan huru-hara ini setelah revolusi. Situasi ini lahir daripada keadaan tirani yang lama, penindasan kerajaan, golongan kiri dan kesatuan-kesatuan pekerja yang sudah lemah akibatnya. Kurangnya organisasi yang kuat dan pimpinan politik yang mampu secara jelas memberi jalan alternatif bagi pemerintahan diktator yang lepas telah menyebabkan majoriti rakyat menghadapi masalah yang besar sejurus setelah bermulanya perjuagan mereka terhadap regim-regim tersebut.

Skala setiap cabaran yang wujud berhubungkait dengan keadaan gerakan kesatuan pekerja di sesebuah negara. Seperti apa yang dinyatakan oleh wartawan British Robert Fisk: “Dimana ada kesatuan sekerja yang kuat – di Mesir dan Tunisia misalnya – pertumpahan darah yang berlaku adalah sedikit jika dibandingkan dengan negara-negara di mana kesatuan sekerja mereka diharamkan seperti di Libya – atau kesatuan sekerja telah bekerja sama dengan rejim yang ada, seperti yang berlaku di Syria dan Yemen”.  

Kemunculan ISIS

Kecenderungan terhadap sektarianisme dan juga perpecahan yang wujud di antara negara-negara Arab adalah akibat pendekatan pecah dan perintah yang telah dimulakan oleh kuasa-kuasa imperialis dan autokrat tempatan. Mereka menggunakan pelbagai cara untuk memecah belahkan rakyat biasa selama berpuluh-puluh tahun bagi memastikan kawalan penuh dan bagi menjarah sumber-sumber di rantau tersebut. Disebabkan oleh birokrasi yang mengawal keseluruhan aspek komuniti, persoalan nasional, puak, etnik dan agama telah timbul dengan penuh dendam, ditingkatkan lagi dengan impak penjajahan di Iraq oleh Amerika pada tahun 2003. Berdasarkan konteks ini, hak bagi pihak-pihak yang tertindas untuk menentukan nasib mereka sendiri dan pergelutan bagi mendapat hak yang adil bagi semua merupakan sesuatu yang penting bagi para sosialis.

Komander-komander kepada ISIS telah mempelajari dengan baik, cara-cara untuk menggunakan pendekatan imperialis yang lepas untuk kepentingan mereka sendiri. Pengumuman mereka untuk menghentikan ‘Sykes-Picot’ (sebuah aturan rahsia yang disusun oleh para diplomat British dan Perancis pada tahun 1916 bagi membahagikan rantau timur tengah, setelah empayar Uthmaniyah dijatuhkan) telah dilihat sebagai cabaran kepada susun atur imperialisme barat. Ironinya, perkembangan ISIS sebenarnya boleh dirujuk semula kepada imperialis barat dan sekutu mereka di rantau ini, bermula dengan sokongan Amerika Syarikat dan Arab terhadap Mujahidden di Afghanistan pada era 80-an.

Walaupun banyak perhatian diberikan kepada pembebasan beberapa kota di Iraq daripada ISIS seperti Sinjar atau Ramadi, kota-kota ini sudah hampir dimusnahkan sepenuhnya dan tidak mampu berfungsi dengan biasa. Majoriti daripada bekas penghuni kota-kota tersebut tidak pulang kerana kewujudan prasangka diantara masyarakat berlainan mazhab atau latar belakang. Orang awam yang dibunuh dan dicederakan oleh impak ledakan bom yang terhasil daripada serangan daripada kuasa pihak Rusia dan kuasa pihak negara-negara barat telah menyemarakkan lagi propaganda ISIS.

Pada masa ini, kebanyakan tentera ISIS sedang bergerak ke kawasan baru dan zon-zon konflik. Disebabkan kehancuran yang telah dilakukan oleh campur tangan imperialis, kemiskinan yang kepalang dan kemurungan sosial yang mencengkam pelbagai kawasan di rantau tersebut menjadi kawasan potensi bagi perkembangan pengaruh dan kekuasaan terorisme. Yemen yang dihancurkan oleh ledakan bom-bom Arab Saudi dan dron-dron Amerika Syarikat telah menyebabkan penambahan kemelaratan sebanyak 36% dan di Libya, yang telah hancur akibat misi NATO pada tahun 2011, dilihat sebagai potensi yang sesuai bagi perkembangan ISIS.

Potensi kuasa golongan pekerja

Namun begitu, apa yang telah dijelaskan hanyalah sebahagian daripada realiti. Pada bulan Januari lepas, protes-protes telah dicetuskan di setiap daerah di Tunisia oleh anak-anak muda yang menganggur, menuntut ‘kerja atau revolusi’, mengingatkan semua orang bahawa semangat revolusi masih hidup dan tuntutan pekerja pada 2010-11 masih belum ditunaikan. “Kami mempunyai kebebasan, tapi kami tidak boleh menjadikannya sebagai makanan”, begitulah secara umumnya apa yang dikatakan oleh salah seorang pembantah bagi menerangkan situasi yang sedang berlangsung.

Sebenarnya, kebebasan itu sendiri tidak mampu dijamin oleh para kapitalis elit, seperti apa yang telah kita lihat melalui keganasan polis, penyalahgunaan kuasa kerajaan yang tidak terkawal dan peningkatan penindasan terhadap hak demokratik dengan nama ‘membanteras terorisme’. Lebih-lebih lagi, posisi unik yang diduduki oleh Kesatuan Sekerja UGGT, walaupun tidak menggunakan peluang yang ada dengan sepenuhnya disebabkan oleh para pemimpin yang birokratik, telah memaksa kerajaan Tunisia untuk terus menggunakan istilah ‘revolusi’ walaupun dalam keadaan membawa agenda kontra-revolusi mereka.

Di Mesir, penindasan oleh diktator Abdel Fattah el-Sisi bertambah teruk setiap hari. Banyak aktivis politik telah ditangkap, dibunuh, diseksa ataupun dibuang negara. Namun begitu, idea bahawa rakyat massa mempunyai kuasa bagi mempengaruhi landasan fenomena revolusi telah terbenam ke dalam minda berjuta-juta rakyat lima tahun yang lepas. Tiada sebarang propaganda ataupun penindasan yang mampu menghancurkan pengajaran yang penting tersebut.

Meskipun wujudnya percubaan untuk berkompromi dengan rejim yang ada, beberapa gerakan pekerja yang telah berkembang pada waktu revolusi mewakili aset yang penting bagi perjuangan masa ini dan bagi masa hadapan. Perlu juga diakui bahawa memang wujud kekurangan dari segi bilangan protes dari pihak pekerja berbanding tahun 2014 yang barangkali disebabkan oleh tindakan keras oleh rejim pemerintah. Ini juga termasuk keputusan mahkamah tinggi pada Mei tahun lepas yang menghalalkan pemenjaraan atau pemberhentian kerja bagi golongan pekerja yang terlibat dengan sebarang tindakan mogok.

Bagaimanapun, ‘tanah Arab’ masih sedang menyaksikan sebanyak 1,117 mogok pada tahun 2015, dengan purata sebanyak tiga mogok sehari. Dalam beberapa bulan yang lepas, gelombang penentangan pekerja mula timbul di pelbagai sektor termasuklah sektor tekstil, simen dan tenaga. Pendakwah agama juga turut mengadakan protes bagi menuntut kontrak tetap! Wall Street Journal telah memberi amaran kepada para pembacanya: “Perkembangan baru di Mesir sedang menimbulkan persoalan samada kebangkitan rakyat bakal berlaku semula”.

Pencegahan melalui tindakan keras yang dilaksanakan oleh instrumen negara sehingga ulang ke tahun ke lima revolusi membuktikan bahawa rejim diktator ini benar-benar takut dengan kebangkitan rakyat. Tambahan lagi, sokongan kewangan yang kuat bagi rejim tersebut iaitu monarki Arab Saudi sedang menghadapi masalah-masalah mereka sendiri.

Perjuangan baru

Timur tengah adalah lanskap yang penuh dengan ancaman yang boleh mewujudkan pesimisme mengenai masa yang akan datang. Meskipun pada waktu ini aliran-aliran kontra-revolusi sedang mendapat kelebihan, adakah kita melihat ini sebagai kemenangan bagi kuasa-kuasa penindas lama? Mengikut kata penyair Palestin, Mourid Barghouti: “Revolusi sering dilihat sebagai suatu kegagalan dan peristiwa yang menyedihkan. Tetapi revolusi bukannya suatu peristiwa. Revolusi adalah suatu proses – berpanjangan, menjerihkan dan membawa tuntutan yang besar. Ia ada kejatuhan, kebangkitan dan juga kejutannya sendiri”.

Rantau Timur Tengah dan Afrika Utara mempunyai kadar pengangguran yang tertinggi di dunia. Dalam lima tahun ini, ketidaksetaraan gaji semakin melebar dan sebahagian besar daripada populasi hidup di dalam keadaan separa perhambaan. Secara ringkas, semua sebab-sebab objektif yang membawa kepada cetusan revolusi lima tahun yang lepas telah menjadi semakin teruk, dan akan membuahkan lebih banyak perjuangan dan pencarian untuk sebuah alternatif politik kepada kerakusan sistem kapitalisme di kalangan pekerja dan anak muda.

Idea mengenai perubahan revolusi nampaknya telah mundur di negara-negara seperti Libya dan Syria, menghambat kesedaran rakyat jelata dengan pemahaman bahawa revolusi selalunya menjurus kepada huru hara dan kesengsaraan bagi rakyat. Tetapi negara-negara lain masih mempunyai golongan pekerja yang berpengaruh yang mampu membuatkan para diktator tidak tidur lena dan memberi impak kepada dinamika pergerakan politik secara keseluruhan. Bahkan di Iraq, akibat kegagalan oleh golongan elit yang korup untuk menyediakan pekerjaan, kemudahan awam, tenaga elektrik yang secukupnya dan infrastruktur air yang munasabah telah mencetuskan pelbagai protes. Will Crisp, wartawan ekonomi bagi Middle East Economic Digest berhujah bahawa: “Para pegawai menjangka bahawa tahun 2016 akan menghasilkan protes yang paling menggerunkan dalam sejarah”.

Perbincangan mengenai mogok umum telah dimulakan di kalangan kesatuan sekerja di Maghribi dan gurur-guru pelatih telah memulakan protes jalanan di pelbagai kota menentang potongan peruntukan pendidikan. Kekuatan massa yang masih tidur: Maghreb dan Algeria harus diberikan perhatian juga. Dengan keadaan ekonomi yang semakin teruk, situasi ini akan memaksa rejim pemerintah untuk memotong perbelanjaan sosial dan menajamkan lagi konfrontasi dengan rakyat biasa.

Hakikatnya, pengalaman yang telah berlaku pada lima tahun yang lepas adalah suatu pengajaran yang mendedahkan bahawa situasi revolusioner yang spontan sahaja tidak cukup untuk menjana suatu perubahan. Di Mesir dan di Tunisia, jika terdapat satu parti massa yang disertakan dengan kepimpinan revolusioner yang cukup, kelas pekerja dan golongan miskin sudah mampu untuk mengambil alih kuasa politik lebih daripada satu kali. Peluang baru seperti ini pasti akan muncul pada waktu yang akan datang, sepertimana kebuntuan sistem kapitalisme ini akan menindas golongan pekerja sehingga mereka berani merempuh syurga kapitalis.

Berhadapan dengan penindasan kerajaan, konflik ketenteraan dan perkembangan pejuang jihad, idea popular yang naif mengenai ‘revolusi tanpa kepimpinan’ adalah, secara realitinya, salah satu idea yang menghambat gerakan massa ini. Selain itu, beberapa kumpulan kiri seperti Revolutionary Socialist di Mesir atau Popular Front di Tunisia mampu untuk membina kuasa revolusioner, tetapi dihalang oleh sikap para pemimpin mereka, yang mengambil peluang untuk turut berselindung di belakang kumpulan pro-kapitalis pada waktu-waktu yang penting sekaligus menghambat perkembangan parti-parti kelas pekerja di dalam negara mereka.

Pengajaran yang menyedihkan ini sedang dicerna oleh generasi pekerja yang baru dan aktivis-aktivis muda. Kebanyakan daripada mereka akan tiba di kesimpulan bahawa idea ‘lama’ tentang organisasi pekerja tidaklah lama mana dan para pemimpin yang bersedia dengan program yang sesuai dan strategi yang jelas adalah penting bagi memacu perjuangan mereka ke arah kemenangan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*