Revolusi Politik di Amerika Syarikat

Revolusi Politik di Amerika Syarikat

Posted by

Kempen pilihan raya Presiden Amerika Syarikat mencerminkan sebuah titik perubahan dalam perjuangan kelas pekerja, kelas menengah, mahasiswa/i dan  rakyat biasa yang dieksploitasi oleh kapitalisme. Masyarakat AS diselubungi dengan idea-idea radikal yang menolak kedua-dua parti utama mereka, Demokrat dan Republikan. Hampir separuh daripada pengundi yang berdaftar di Amerika adalah penyokong calon bebas yang tidak yakin dengan kedua-dua parti tradisional yang dianggap sebagai tidak mewakili aspirasi rakyat biasa. Sistem ‘dua parti’ yang telah dipraktikkan sekian lama sedang dipersoalkan dan sedang hancur.

Kedua-dua parti utama sedang menghadapi perpecahan dan kebangkitan kuasa-kuasa baru. Kemunculan populis sayap kanan Donald Trump yang membawa agenda perkauman menandakan kegagalan kuasa-kuasa kapitalis di Parti Republikan untuk mengawal hala tuju organisasi mereka sendiri. Buat masa ini, Trump sedang mendahului dalam perlumbaan menjadi calon presiden parti Republikan dengan margin yang besar. Pada masa yang sama, Bernie Sanders, seorang Senator bebas yang mengelar dirinya ‘demokratik sosialis’ sedang mengaut berjuta-juta undi dan mencabar wakil korporat Hilary Clinton dalam menjadi calon Presiden Parti Demokrat.

Apapun yang berlaku, kesedaran masyarakat AS sudah tidak serupa lagi. Di akar perkembangan perjuangan ini mencerminkan polarisasi kelas yang sudah bermula. Ia boleh di lihat dalam jurang diantara kaya dan miskin yang sangat lebar. Misalnya, berikutan perlaksanaan ‘reagonomics’ ataupun ekonomi neo-liberal pada 70 an sehingga ke sekarang, golongan terkaya 1% mendapati bahawa jumlah pendapatan mereka melonjak sebanyak 270% peningkatan. Manakala, pendapatan bagi 99% kelas pekerja dan rakyat biasa tidak meningkat dan ada beberapa sektor dimana ia merosot. Jika pengagihan harta masih menyerupai sebelum zaman neo-liberal, setiap kelas pekerja di AS harus menerima tambahan 11 ribu dolar Amerika setahun.

Di kalangan anak muda terutamanya, terdapat satu penentangan terhadap sistem yang sedia ada dan kehausan untuk mencari satu alternatif kepada imperialisme AS yang masih berkuasa, tetapi sedang mereput.The Washington Post telah melaporkan sebuah artikel bertajuk “ Belia sosialis : kenapa anak muda kita sedang memilih untuk mengangkat sebuah istilah yang lama dan memudaratkan? ”

Kerja-kerja yang dilakukan oleh CWI AS ( Socialist Alternative ) dan kemenangan Kshama Sawant yang dipilih sebagai ahli majlis kawasan Seattle untuk kali kedua telah banyak menyumbang kepada perkembangan kempen Sanders dan bagi memperbahaskan idea-idea sosialisme di pilihanraya umum.

Perkembangan di Amerika Syarikat akan terus memberikan kesan bagi perjuangan kelas di peringkat antarabangsa di pelbagai benua – terutamanya di negara-negara neo-kolonial. Pemberontakan rakyat Amerika dan slogan ‘Revolusi Politik’ yang dibawa oleh Bernie Sanders sedang menjadi inspirasi bagi aktivis-aktivis sosialis di Asia, Afrika, Amerika Latin dan Eropah.

Sokongan yang besar bagi Sanders

Walaupun akhbar-akhbar wakil kapitalis dan media-media korporat telah meremehkan kempen Sanders, senator dari Vermont tersebut sedang meraih jutaan undi dari rakyat biasa yang sedang mengekalkannya dalam perlumbaan dengan Clinton. Kebanyakkan media arus perdana langsung tidak melaporkan sebarang kemenangan Bernie Sanders dan segala laporan mengenainya adalah berbentuk negatif. Washington Post misalnya telah menyerang Sanders dalam 16 artikel yang diterbitkan selang 16 jam sahaja.

Sokongan yang hebat di kalangan rakyat biasa untuk Bernie Sanders di New York

Sokongan yang hebat di kalangan rakyat biasa untuk Bernie Sanders di New York

Kempen Bernie Sanders juga telah berjaya menjana berjuta-juta dolar Amerika daripada sumbangan jutaan kelas pekerja, mahasiswa dan rakyat biasa. Selepas kekalahan tipis di tiga buah negeri pada March 16 lalu, Bernie Sanders telah dihujani dengan 4 juta dolar Amerika yang dipungut dalam jangka masa 2 hari sahaja. Hasil sumbangan tersebut, kumpulan Bernie dapat meneruskan kempen di peringkat akar umbi masyarakat dan berjaya memenangi di beberapa negeri utama selepas itu. Sumbangan yang diberikan oleh rakyat biasa tersebut mencerminkan sokongan kuat rakyat untuk program-program yang dibawa oleh Bernie. Hillary Clinton yang tidak mendapat sokongan yang sama terpaksa menghabiskan masa berkempen kepada korporat-korporat besar bagi dana untuk kempen pilihanraya.

Dalam setiap negeri berlakunya pilihanraya Demokrat, beribu-ribu orang menghadiri perhimpunan massa anjuran kempen dan penyokong Bernie Sanders. Di Seattle baru-baru ini, Kshama Sawant, Ahli Majlis ‘Socialist Alternative’ telah menyeru untuk pembinaan sebuah parti baru bagi mewakili aspirasi 99% majoriti di hadapan 20 ribu orang hadirin. Ekoran itu, Sanders telah menang besar di negeri Washington, Hawaii dan Alaska dengan lebih 70% undi. Kemenangan-kemenangan ini pastinya memberi semangat baru dan membina momentum dalam menghadapi negeri-negeri besar seperti New York dan California.

Parti Demokrat yang tidak demokratik

Namun sifat tidak demokratik parti Demokrat tidak boleh dipandang remeh dan peluang bagi Sanders untuk memenangi calon Presiden Parti Demokrat adalah masih sangat tipis. Jentera-jentera pilihanraya yang sangat berat sebelah telah menindas kempen Sanders dan para pengundi di banyak negeri termasuk di New York di mana dikatakan hampir 3 juta pengundi berdaftar tidak diberi peluang mengundi.

clinton and Goldman Sach's

Hillary Clinton dan CEO, Goldman Sachs Group Inc. Lloyd Blankfein. Clinton menerima jutaan dollar sumbangan daripada wakil institusi kewangan swasta ‘Wall Street’

Parti Demokrat juga mempunyai beratus-ratus ‘perwakilan khas’ ( super delegates ) yang boleh mengundi bagi calon Presiden pada akhir proses pilihanraya. ‘Perwakilan khas’ ini terdiri daripada Ahli Dewan Negara, Gabenor, bekas Presiden dan pegawai parti yang kebanyakanya merupakan pembela kelas pemerintah dan boleh bertindak sebagai kuasa veto bagi memastikan pencalonan Clinton. Pada hakikatnya, parti Demokrat merupakan sebuah mesin pilihanraya yang mempunyai proses demokratik yang amat minimum. Di Arizona misalnya, beratus ribu orang tidak dapat mengundi kerana balai mengundi tidak disediakan dan kesilapan-kesilapan teknikal yang berlaku. Rakyat tempatan sedang menuntut untuk mengadakan pilihanraya semula di negeri tersebut di bulan Jun. Sistem pilihanraya itu sendiri direka untuk membendung segala penentangan seperti yang sedang berlaku.

Walaupun Bernie dapat menang, selepas mengatasi segala halangan yang ada, masih lagi kuasa-kuasa kapitalis akan cuba sabotaj dan mengalahkannya dengan apa cara sekalipun. Hasilnya, sebuah pecahan boleh berlaku di parti tersebut. Walau apapun, Bernie Sanders harus memikirkan langkah-langkah seterusnya selepas ini jika betul-betul ingin menjamin pencalonan di pilihanraya Presiden kelak.

Socialist Alternative telah berhujah dari awal lagi bahawa ia adalah satu kesilapan bagi Bernie untuk tidak bertanding sebagai calon bebas dan menggunakan kempen tersebut untuk membina sebuah parti massa baru bagi mewakili golongan 99% dan berjuang menentang kelas pemerintah yang korup. Persoalan yang paling penting buat masa ini adalah apakah tindakan Bernie jika dia gagal menjadi calon Presiden.

Bernie harus bertanding di bawah tiket independen dan bagi pembinaan sebuah parti baru.     

Satu perjumpaan kebangsaan harus dipanggil bagi menyatukan semua penyokong Bernie dan mereka-mereka yang bersetuju untuk pembinaan sebuah alternatif rakyat bagi kedua-dua parti Republikan dan Demokrat. Pembinaan kuasa baru ini haruslah berdasarkan penentangan terhadap propaganda rasisme oleh sayap kanan dan sebuah usaha untuk membaiki kehidupan kelas pekerja dan rakyat biasa. Ini boleh menjadi permulaan bagi merealisasikan apa yang diperbahaskan oleh Bernie disepanjang pilihanraya Presiden setakat ini.

Kshama Sawant, Ahli Majlis Seattle dan ahli Socialist Alternative USA, berucap di hadapan 20 ribu hadirin di sebuah himpunan bagi ceramah Sanders. Kshama menyeru untuk pembinaan sebuah parti baru yang akan mewakili 99% rakyat biasa menentang golongan elit 1%.

Kshama Sawant, Ahli Majlis Seattle dan ahli Socialist Alternative USA, berucap di hadapan 20 ribu hadirin di sebuah himpunan bagi ceramah Sanders. Kshama menyeru untuk pembinaan sebuah parti baru yang akan mewakili 99% rakyat biasa menentang golongan elit 1%.

Jika disekat di dalam parti Demokrat, Bernie tidak harus teragak-agak untuk keluar dan bertanding dengan Green Party yang sedang mengalu-alukan penyertaan Sanders di dalam perjuangan bersama mereka. Ini adalah salah satu cara untuk memastikan bahawa gerakan rakyat yang sudah dibangunkan boleh dibawa ke peringkat yang seterusnya. Daripada asas ini, sebuah pembinaan parti baru boleh diwujudkan.

Pada awal kempen, Bernie mengatakan bahawa dia akan menyokong Clinton jika kalah dalam pencalonan Demokrat. Ini akan menjadi sebuah kesilapan dan mempunyai risiko untuk mengecewakan sebuah gerakan massa yang sudahpun terlibat dalam perjuangan ini. Walaupun memang benar bahawa calon populis dan rasis sayap kanan Republikan harus dikalahkan, tetapi ini tidak boleh dilakukan dengan menyokong Clinton. Pertama, adalah bukan satu kepastian bahawa Clinton boleh mengalahkan calon Republikan memandangkan sokongannya tidak seberapa. Di kebanyakkan jangkaan statistik mengatakan bahawa Sanders merupakan calon yang lebih baik untuk mengalahkan Trump atau Cruz dari Republikan. Hanya Sanders mempunyai tarikan daripada ketiga-tiga kumpulan pengundi, Republikan, Demokrat dan Independen.

Bertanding sebagai calon Bebas dan menggunakan kempen itu sebagai tapak pembinaan sebuah parti massa baru akan memastikan sebuah kepimpinan yang berkesan bagi perjuangan-perjuangan yang akan membuah di masa hadapan, tidak kira di bawah Demokrat Clinton atau Trump Republikan. Tanpa sebuah kepimpinan sebegitu, kedua-dua wakil kapitalis akan terus menyebelahi korporat-korporat besar dan memencilkan keperluan rakyat biasa.

Jika Bernie boleh diberikan tekanan untuk mengambil langkah-langkah yang tepat atau tidak masih lagi terlalu awal untuk dispekulasi. Tetapi Socialist Alternative AS sedang membina sebuah gerakan bagi menekan Bernie untuk mengambil kepimpinan dalam perjuangan dengan memulakan pembinaan sebuah alternatif yang jelas.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*