Ola Bola : Ulasan Filem

Ola Bola : Ulasan Filem

Posted by

Filem Ola Bola yang mula ditayangkan pada 28 Januari mendapat sambutan daripada berbagai kaum, satu perkara yang jarang berlaku dalam industri perfileman negara. Ola Bola diilhamkan dari zaman kegemilangan bolasepak negara pada awal 1980an di mana Malaysia layak untuk bertanding di Sukan Olimpik Moscow apabila berjaya mengalahkan Korea Selatan dalam pertandingan akhir kelayakan. Tetapi pasukan Malaysia tidak dapat menyertai pentandingan olimpik disebabkan kerajaan Malaysia memboikot kejohanan tersebut akibat peperangan di antara Rusia dan Afghanistan.

Filem ini yang merangkumi pelakon pelbagai bangsa juga mempunyai perbualan dalam Bahasa Mandarin, Tamil dan English selain Bahasa Melayu. Ia juga mengambarkan semangat kesukanan yang tinggi di kalangan pemain pada masa itu seperti R Arumugam, Isa Bakar, Soh Chin Aun, James Wong, Santokh Singh dan Mohtar Dahari walaupun menghadapi berbagai cabaran dalam kehidupan dan juga pasukan mereka. Filem ini juga mencerminkan masyarakat perbagai kaum bergaul tanpa prasangka, dan bersatu untuk menyokong pasukan Malaysia : ‘Kita menang sama-sama, Kita kalah pun sama-sama’. Pasukan bolasasepak negara 1970an dan 1980an sentiasa dirujuk untuk mengambarkan kegemilangan bolasepak negara seperti yang dipaparkan oleh filem ini. Pada masa kini walaupun Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mempunyai liga sendiri, pasukan bolasepak negara masih lemah. FAM yang dikawal secara birokratik dengan campurtangan politik telah meranapkan perkembangan sukan bolasepak yang sihat. Tambahan pula pihak kerajaan dan FAM sedang merancang untuk menswastakan liga Malaysia dengan sepenuhnya pada tahun ini.

Walaupun penswastaan ini digambarkan sebagai sesuatu yang positif bagi sukan bola sepak tanah air, sebenarnya ia adalah sebuah usaha untuk cuba mengaut keuntungan dari liga Malaysia. Semangat kesukanan akan diganti dengan dahaga untuk membuat keuntungan dan pelbagai syarikat akan cuba menggunakan arena bola sepak sebagai medan pengiklanan mereka. Hujah FAM bahawa penswastaan akan menaikkan taraf sukan bola sepak sebenarnya tidak berasaskan mana-mana fakta yang kukuh. Pelbagai laporan mendedahkan bahawa sukan bola sepak sedang mengalami kekurangan minat dari kalangan anak muda di seluruh dunia dan ia tidak mencerminkan kesan positif bagi agenda penswastaan tersebut.

Baru-baru ini penyokong bolasepak negara secara terang-terangan mengkritik kepimpinan FAM akibat kekalahan teruk dengan pasukan seperti Palestin. Ini menunjukkan FAM sudah dikorporatkan untuk kepentingan segelintir ahli-ahli politik dan badanbadan perniagaan. Pengelolaan FAM secara demokratik dengan menitikberatkan semangat kesukanan amat perlu untuk mengembalikan kegemilangan kesukanan bolasepak seperti yang dicerminkan oleh filem Ola Bola.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*