Kertas Panama : Bina Alternatif Politik untuk Membendung Penipuan Cukai

Kertas Panama : Bina Alternatif Politik untuk Membendung Penipuan Cukai

Posted by

Kira-kira setahun lalu, sebanyak 11.5 juta fail perbankan daripada firma guaman Mossack Fonseca dari Panama telah dibocorkan ke Konsortium Wartawan Penyiasatan Antarabangsa ( ICIJ ) oleh sebuah sumber yang tidak diketahui. Mossack Fonseca merupakan sebuah firma undang-undang Panama yang pakar dalam penubuhan syarikat-syarikat kosong ( shell companies ) yang boleh di isi dengan jutaan dolar tanpa sebarang pengesahan atau pemeriksaan oleh kerajaan tempatan.

Tempat-tempat sebegini digelar sebagai syurga cukai ( tax heaven ) dan undang-undang tempatan dibentuk bagi membolehkan golongan kaya menyimpan duit mereka tanpa sebarang persoalan. Beberapa negara lain juga yang dianggap sebagai syurga cukai seperti British Virgin Islands, Singapura dan Cayman Islands masih sedang menyembunyikan duit haram  bernilai beribu juta dolar America daripada golongan kapitalis.

Sumber yang membocorkan dokumen ini tidak mendedahkan sebarang butiran mengenai dirinya sendiri dan dikatakan tidak menerima sebarang habuan bagi perkara tersebut. Dia membocorkan maklumat ini semata-mata untuk mendedahkan jenayah-jenayah jutawan yang seringkali mempunyai imej yang baik di mata rakyat.

Apakah yang didedahkan oleh ‘kertas Panama’?

Seramai 160 wartawan daripada 65 negara telah bertungkus-lumus menterjemahkan beratus ribu fail yang disulitkan atau dienkripsi selama lebih setahun dan pada awal April lalu telah mengeluarkan sebuah laporan yang digelar sebagai ‘kertas Panama’ ( The Panama Papers ). Ini merupakan kebocoran maklumat yang paling besar dalam sejarah.

Laporan ‘kertas Panama’ ini mendedahkan kaedah-kaedah yang digunakan oleh golongan 1% terkaya di dunia untuk menyembunyikan harta mereka bagi pelbagai tujuan, termasuk untuk mengelak daripada membayar cukai. Walaupun dikatakan sebagai tidak ‘melanggar sebarang undang-undang’ daripada orang seperti Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin, tidak ada sebab untuk menyembunyikan berjuta-juta dollar selain jika harta itu merupakan hasil daripada aktiviti yang tidak sah dan salah dari sisi undang-undang.

Wang yang disembunyikan itu kebanyakannya dijana melalui penipuan, kecurian, pengedaran atau penyeludupan barang haram termasuk dadah dan senjata, penyelewengan dana awam, rasuah dan pengelakan cukai. Walaupun ramai di kalangan yang tertuduh akan mengakui bahawa mereka sekadar ingin mengelak daripada membayar cukai, sebenarnya kelakuan itu juga merupakan sebuah jenayah kecurian. Duit yang disembunyi bagi mengelakkan cukai adalah sebenarnya duit rakyat yang di songlap dan di bawa jauh ke negara yang tiada peraturan cukai seperti Panama.

Nazifuddin Najib, anak Perdana Menteri Malaysia Najib Razak juga tersenarai dalam 'Panama Papers'

Nazifuddin Najib, anak Perdana Menteri Malaysia Najib Razak juga tersenarai dalam ‘Panama Papers’

Siapa yang terlibat?

Melihat senarai nama yang tertulis di dalam dokumen tersebut, terdapat pelbagai jenis manusia daripada setiap pelosok dunia. Daripada ahli perniagaan, pengganas, pengedar dadah, penyeludup senjata, ahli politik, ahli sukan, ketua kerajaan sehinggakan beberapa pelakon terkenal juga terbabit dalam skandal ini. Tambahan pula, sebanyak 200 ribu buah syarikat juga tersenarai di dalam dokumen tersebut. Duit itu walaupun datang daripada pelbagai sumber untuk tujuan yang berbeza, tetapi semua yang terlibat adalah daripada golongan jutawan yang berkelakuan tamak pada zaman kemelesetan ekonomi yang sedang memberi tekanan bagi jutaan rakyat biasa.

Sekurang-kurangnya 140 ahli politik dan penjawat awam dari seluruh dunia dikatakan terlibat, termasuk raja Arab Saudi,perdana menteri Pakistan,Iceland, England dan Presiden Ukraine dan China. Perdana Menteri Malaysia, Najib Razak juga tidak ketinggalan dalam skandal terbaru ini apabila nama anaknya Nazifuddin Razak juga tertera dalam senarai kertas Panama tersebut.

Kesan pendedahan Kertas Panama

Kebanyakkan daripada ketua kerajaan yang terlibat seperti Putin dari Russia dan Assad dari Syria telah menolak pendedahan ini sebagai propaganda barat dan berita ini tidak memberi kesan yang mendalam bagi mereka. Tetapi kerajaan China telah mengharamkan peredaran berita ini di media tempatan bagi mengelakkan sebarang krisis. Perkataan ‘Panama’ itu sendiri sudah ditapis dari internet dan hukuman yang berat menunggu bagi sesiapa yang menyebarkan berita tersebut.

Mangsa pertama Panama Papers adalah Perdana Menteri Iceland yang terpaksa meletak jawatan selepas bantahan besar-besaran oleh rakyat di hadapan parlimen. Peristiwa sedemikian memberi kita gambaran mengenai potensi kelas pekerja dan rakyat biasa apabila mereka bersatu dan menggerakkan sesuatu agenda dengan serius. Pada masa ini, ramai diantara pemimpin yang terlibat dengan laporan kertas Panama seperti Perdana Menter England David Cameron, sedang dalam kerisauan mengenai reaksi rakyat terhadap pendedahan ini.

Skandal sistem kapitalisme

Firma guaman Mossack Fonseca merupakan firma keempat terbesar di dunia dan terdapat syarikat-syarikat yang jauh lebih besar daripada mereka. Pada hakikatnya kertas Panama telah mendedahkan hanya sebahagian kecil daripada skandal keseluruhan sistem kapitalisme. Sesetengah ahli ekonomi menganggarkan bahawa kira-kira 30 trilion dolar tersembunyi di kawasan-kawasan syurga cukai di seluruh dunia. Pada masa yang sama, Oxfam (organisasi NGO) menganggarkan bahawa kemiskinan dunia boleh dibendung dengan perbelanjaan tidak lebih daripada  60 bilion dolar setahun. Ia bermaksud golongan kaya sedang menyimpan lebih 500 kali jumlah wang yang diperlukan bagi menghentikan masalah kemiskinan global.

Hasil cukai bernilai jutaan ringgit itu boleh digunakan untuk membiayai perkhidmatan awam yang amat diperlukan seperti kesihatan, pendidikan, perumahan dan pengangkutan. Pada masa kemelesetan ekonomi, kerajaan yang menyokong badan korporat besar sedang memaksa rakyat biasa untuk menghadapi pemotongan perbelanjaan kebajikan dan subsidi tanpa mengendahkan kecurian yang berlaku di peringkat tertinggi. Kelas pekerja dan rakyat biasa tidak patut menerima penjimatan kerajaan dalam subsidi dan kebajikan rakyat selagi penipuan ini berterusan.

Kertas Panama ini bukan sekadar mendedahkan bahawa korporat besar sedang mengeksploitasi kelemahan yang terdapat dalam sistem undang-undang. Ini adalah bukti bahawa kerajaan-kerajaan dunia yang menyokong kapitalisme dan sistem pasaran bebas seringkali bersekongkol bagi menguntungkan satu sama lain.

Kebanyakkan kerajaan termasuk kerajaan kita dan parti-parti pembangkang hanya menyokong kesinambungan sistem kapitalisme yang hanya menguntungkan golongan 1%. Sistem ini membolehkan mereka-mereka yang berada untuk mengalihkan wang mereka ke mana sahaja di dunia dengan bebas dan mudah. Perkara yang sama tidak boleh dilakukan oleh 99% rakyat biasa yang tidak memiliki sebarang kemudahan sebegitu. Maka, golongan kaya dapat mempergunakan situasi ini untuk mengelak daripada pelbagai undang-undang termasuk undang-undang buruh dan cukai.

Kertas Panama ini semata-mata mengesahkan apa yang sudahpun diketahui umum oleh orang ramai, tetapi persoalannya adalah bagaimana untuk menghentikan penipuan cukai ini?

Pihak polis hanya melihat rakyat Iceland yang berdemonstrasi di hadapan Parlimen dan berjaya menggulingkan Perdana Menteri korup yang didedahkan dalam 'Panama Papers'

Pihak polis hanya melihat rakyat Iceland yang berdemonstrasi di hadapan Parlimen dan berjaya menggulingkan Perdana Menteri korup yang didedahkan dalam ‘Panama Papers’

Apakah penyelesaian kepada masalah ini?

Sosialis menyeru untuk mengambil langkah-langkah segera untuk memperbaiki kelemahan yang wujud dalam sistem undang-undang cukai dunia. Tetapi selagi sistem itu sendiri dimiliki dan dikawal oleh 1%, mereka akan sentiasa cuba untuk mencari jalan untuk melakukan penipuan bagi meraih lebih banyak keuntungan di atas tanggungan rakyat biasa.

Satu-satunya jalan penyelesaian adalah untuk berjuang mengubah cara pengurusan masyarakat itu sendiri. Harta kekayaan hanya boleh disembunyikan di kawasan-kawasan perlindungan cukai kerana ia adalah milik persendirian, bukannya milik awam yang dikawal secara demokratik.

Kita mesti mengambil alih kawalan kekayaan masyarakat daripada golongan kaya dan menggunakannya untuk mengubah kehidupan penduduk di seluruh dunia. Dengan dasar ekonomi terancang yang dimiliki bersama secara demokratik, kita boleh membina sebuah ekonomi yang berfungsi untuk keperluan rakyat dan bukan keuntungan segelintir.

Buat masa ini, tidak ada mana-mana parti politik arus perdana yang sanggup menentang kelas kapitalis. Itulah sebabnya kita perlu membina satu alternatif politik kepada penguasaan kapitalis dan membina gerakan rakyat yang benar-benar berjuang untuk kepentingan 99%.

Skandal ini menonjolkan sifat antarabangsa dan pakatan-pakatan sulit kelas kapitalis. Oleh kerana kapitalisme adalah sebuah sistem antarabangsa, perjuangan kita juga perlu menjangkaui batasan nasional dan mengambil sifat antarabangsa. Seperti yang berlaku di negara-negara lain sebelum ini, cabaran yang dihadapi adalah untuk memastikan bahawa kita tidak hanya menggantikan orang-orang yang bertanggungjawab bagi permasalahan yang wujud tetapi juga berjuang kearah menggantikan sistem kapitalisme yang sedang reput.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*