Pekerja asing merupakan penggerak utama ekonomi negara terutamanya di sektor kritikal seperti pembinaan, pembuatan dan perladangan.

Pekerja asing merupakan penggerak utama ekonomi negara terutamanya di sektor kritikal seperti pembinaan, pembuatan dan perladangan.

Kemasukkan 1.5 Juta Pekerja Asing Bangladesh

Posted by

Berikutan langkah-langkah kerajaan untuk membawa masuk 1.5 juta pekerja dari Bangladesh, Menteri Dalam Negeri Zahid Hamidi telah menjadi sasaran utama bagi pengguna media sosial untuk melontarkan sindiran dan pelbagai cemuhan. Pastinya, rakyat Malaysia terutamanya kelas pekerja terasa terancam dengan berita pengambilan tenaga kerja asing dengan kadar yang banyak. MTUC juga melihat perkara ini dengan serius dan telah cuba menghantar memorandum ke Kementerian Sumber Manusia di Putrajaya. Ironinya, pada hari yang sama Menteri Sumber Manusia Richard Riot berada di Bangladesh bagi urusan kemasukan 1.5 juta pekerja asing tersebut.

Pelbagai pihak media, NGO dan aktivis sosial telah meluahkan kemarahan mereka terhadap langkah kerajaan terbaru ini di pelbagai platform. Ada yang rasa terancam bahawa kemasukkan pekerja asing ini akan menambah pengangguran di kalangan rakyat Malaysia di mana 400 ribu mahasiswa di katakan sedang menganggur. Tambahan pula, laporan kerajaan sendiri mengatakan bahawa 26 ribu pekerja telah kehilangan mata pencarian bagi tahun lepas sahaja. Kebanyakkan pekerjaan baru di Malaysia pula berbentuk kerja kontrak dan rakyat Malaysia terutamanya anak muda sedang semakin kehilangan sekuriti pekerjaan.  

Keterlibatan rakyat asing dalam membuka perniagaan kecil seperti kedai perabot, kedai makan dan sebagainya juga dilhat sebagai mengancam peluang bagi rakyat tempatan. Ada juga beberapa pihak tertentu yang terlanjur dan mengatakan bahawa masalah sosial seperti gejala kecurian dan perompakan akan bertambah akibat kemasukkan pekerja asing ini. Tuduhan-tuduhan seperti itu langsung tidak berasaskan fakta dan kelas pekerja dari dalam dan luar negara akan menjadi mangsa sebenar dalam permainan tuduh-menuduh beberapa pihak.

Realitinya, majoriti daripada pekerja asing yang memasuki Malaysia sedang menjalani kehidupan yang sangat teruk. Mereka berkerja 12 jam sehari tanpa sebarang cuti dan dibayar jauh lebih kurang daripada pekerja tempatan. Kebanyakkan daripada gaji mereka diperuntukkan untuk keluarga di kampung halaman dan perlu mengharungi kehidupan dengan baki yang sedikit. Tambahan pula, mereka ditindas oleh agensi-agensi pekerjaan yang tamak yang mengambil kesempatan terhadap kondisi kehidupan mereka di negara-negara miskin. Ramai diantara pekerja asing ini terpaksa berkerja di Malaysia semata-mata untuk membayar balik hutang mereka kepada agensi-agensi pekerjaan. Ada juga beberapa majikan yang melampau, sanggup mengugut pekerja asing untuk bekerja dengan mengancam keluarga mereka di negara asal. Walaupun kapitalis akan membuat keuntungan berjuta-juta dengan kemasukan pekerja asing murah, ini tidak bermakna bahawa taraf kehidupan rakyat biasa Malaysia akan bertambah baik. Kemakmuran hanya ditumpu pada segelintir elit yang kaya.

Kondisi Hidup Pekerja Asing

Kondisi Hidup Pekerja Asing

Pada masa ini, dikatakan ada sekitar 7 ke 10 juta warga asing dan cuma 2.1 juta diantara mereka memiliki status yang sah. Dalam keadaan ini, langkah kerajaan untuk membawa masuk pekerja asing adalah tindakan yang tidak masuk akal. Ia bercanggah dengan Rancangan Malaysia ke – 11 yang menyeru untuk mengurangkan kebergantungan terhadap tenaga kerja asing. Ia juga bercanggah dengan keputusan kerajaan untuk menggandakan cukai Levi tahunan bagi pekerja asing yang sepatutnya berkuat kuasa dari 1 Februari 2016. Keputusan itu di tunda buat masa ini disebabkan oleh tekanan yang tinggi daripada kumpulan-kumpulan majikan yang tidak ingin menanggung bayaran yang tinggi. Organisasi pro majikan seperti Federasi Majikan Malaysia ( MEF ), membantah kenaikkan cukai Levi ini kerana khuatir ia akan kehilangan sumber buruh murah yang sedang dinikmati sekarang.

Dalam situasi ini, kepincangan kerajaan pemerintah sudah terdedah dengan jelas. Apabila ditekan oleh kelas pekerja, mereka terpaksa menentukan gaji minimum walaupun tidak dipersetujui oleh organisasi seperti MEF. Akan tetapi, kerajaan dan MEF berkomplot untuk mengurangkan purata gaji bagi kerja-kerja di sektor kritikal seperti perladangan, pembinaan dan pembuatan dengan memasukkan tenaga kerja asing yang murah. Walaupun ia adalah satu kepastian bahawa pekerja tempatan akan mengalami kehilangan kerja dan gaji akibat persaingan dengan pekerja asing, kerajaan masih memilih untuk menyebelahi pihak majikan. Ini menunjukkan bagaimana kerajaan pemerintah sebenarnya di kawal oleh kuasa-kuasa kapitalis seperti pihak pemodal dan majikan yang berlandaskan keuntungan wang duit dan pekerja tempatan sering terpinggir sebagai akibatnya.

Walaupun beberapa pihak dari kalangan parti-parti pembangkang dan organisasi buruh seperti Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) sedang menyuarakan rasa tidak puas hati mereka dengan keputusan kerajaan, masih tidak ada usaha yang jelas untuk melibatkan kelas pekerja itu sendiri dalam membina penentangan yang kukuh. Kepimpinan MTUC yang sedang dihadapi dengan cabaran-cabaran seperti persoalan gaji minimum yang tidak munasabah, kenaikan harga barangan, masalah pengangguran yang bertambah dan sebagainya, memilih untuk menumpukan perjuangan mereka hanya terhadap masalah kemasukan pekerja asing ini. Di banyak lagi persoalan, kepimpinan MTUC membisukan diri dan enggan melancarkan sebarang bantahan yang serius.  

Kem pembangkang pula hanya membantah semua polisi kerajaan dengan membuta tuli dan tidak memberikan sebarang alternatif bagi penguasaan kapitalis terhadap sistem kerajaan negara. Pembangkang sebenarnya merupakan penyokong tegar sistem ekonomi kapitalisme dan jika diberikan peluang untuk memerintah, pastinya akan terjerat dengan kepincangan yang agak iras dengan parti pemerintah. Itulah yang dapat dilihat di beberapa negeri di bawah naungan pembangkang pada masa ini.

Adalah jelas bagi kelas pekerja dan anak muda bahawa kerajaan yang menjadi pak turut golongan kapitalis merupakan punca bagi kebanyakkan permasalahan ekonomi yang timbul. Kelas kapitalis yang tamak ingin menggandakan keuntungan mereka dengan eksploitasi kedua-dua pekerja asing dan tempatan dan semua parti-parti arus perdana yang ada tidak mampu untuk menghentikan hasrat yang buruk itu. Sebelum berbincang mengenai kemasukkan 1.5 juta pekerja asing, seharusnya masalah penindasan majikan terhadap pekerja asing harus diselesaikan. Masalah kondisi kehidupan yang menyerupai perhambaan harus diberi perhatian dan diperjuangkan. Masalah penipuan agensi-agensi pekerjaan terhadap pekerja asing juga harus dihapuskan.

Penyelesaian yang paling berkesan bagi masalah persaingan diantara pekerja tempatan dan asing adalah untuk menaikkan taraf kehidupan bagi semua pekerja tak kira kaum, bangsa, agama dan keturunan. Jika kelas pekerja berjaya menuntut gaji minimum yang tinggi, yang akan menambah baik kehidupan bagi semua, maka kelas kapitalis yang rakus tidak akan berpeluang untuk mempergunakan pekerja asing untuk mengurangkan kadar gaji. Masalahnya pada masa ini, walaupun dengan kewujudan gaji minimum, kelas kapitalis masih bebas untuk membeli tenaga asing dengan harga yang lebih murah dan kerajaan negara sedang menolong mereka tanpa menghiraukan nasib rakyat tempatan.

Kelas pekerja dan rakyat biasa bersama dengan anak muda harus bangun menentang permainan politik dan ekonomi golongan kapitalis. Kelas pekerja yang sedang diancam dengan pelbagai serangan harus bersatu dengan semua pekerja tanpa mengira kaum dan bangsa dan berjuang demi kehidupan mereka. Bukan sekadar berjuang, kelas pekerja juga harus menyusunkan diri mereka di bawah sebuah parti politik yang akan memberikan tekanan politik terhadap kerajaan. Pembinaan parti politik berdasarkan kelas dan bukan kaum atau agama akan menjadi titik permulaan bagi pembinaan sebuah alternatif sosialis yang jelas bagi menamatkan sistem ekonomi kapitalisme yang sedang mengancam seluruh kelas pekerja dan rakyat biasa.  

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*