Peranan Intelektual dalam Gerakan Anak Muda

Peranan Intelektual dalam Gerakan Anak Muda

Posted by

Secara tradisi, golongan intelektual mengambil peranan untuk menyediakan pelbagai pertahanan ideologi dan hujah-hujah bagi pergerakan rakyat dan pada masa yang sama memberikan interpretasi sejarah yang lebih dalam dan menyeluruh bagi kegunaan pejuang di masa hadapan. Dalam sejarah, kebanyakan tokoh yang telah melakarkan dan membawa idea-idea revolusi ke hadapan adalah terdiri daripada golongan intelektual. Karl Marx, Engels, Lenin, Trotsky Rosa Luxembourg, yang dikenali sebagai tokoh utama yang telah membina sebuah ideologi bagi kelas pekerja dan rakyat tertindas dalam arena politik, telah datang daripada latar belakang intelektual.

Golongan intelektual sebenarnya boleh diklasifikasikan sebagai proletar disebabkan oleh kewujudan mereka adalah berasaskan kepada penjualan tenaga kerja kepada pihak kapitalis. Walaupun penjualan tenaga kerja ini tidak boleh disamakan dengan seorang buruh kasar atau pekerja kolar biru, tetapi sebuah pertukaran tenaga kerja kepada wang duit dapat di perhatikan dalam hubungan kapitalis dan golongan intelektual. Secara am, golongan intelektual diberikan status yang lebih tinggi di kalangan rakyat dan ini menjadikan kebanyakan daripada mereka lebih berpihak kepada kelas borjuis. Keadaan ini telah bertambah buruk pada zaman globalisasi ini dengan kapitalisme bermaharajalela di setiap pelosok dunia. Kebanyakan intelektual terjatuh ke dalam perangkap idea-idea arus perdana yang bertujuan untuk memelihara kepentingan kapitalis.

Dilabelkan sebagai ‘pekerja idea’ oleh Thomas Sowell dalam bukunya bertajuk “Intellectual and Society”, golongan intelektual dilihat sebagai mempunyai pengaruh ke atas pendapat awam, tetapi sering berdiri di luar perjuangan dan hanya berfungsi sebagai komentar semata-mata. Walaupun di berkati dengan kekayaan dan posisi yang jauh lebih tinggi daripada kaum proletar biasa, seringkali golongan intelektual gagal untuk menggunakan kelebihan yang wujud untuk menajamkan pertahanan rakyat terhadap ancaman pemerintah. Malangnya, kepentingan kebanyakan golongan intelektual hari ini berbelit dengan kepentingan kapitalis dan ini menyukarkan mereka untuk memainkan peranan yang lebih bermanfaat bagi masyarakat.

Adalah tidak dinafikan bahawa masih terdapat ramai golongan intelektual yang telah mencurahkan tenaga mereka dalam mengendalikan survei, analisa politik, menulis artikel, menganjurkan simposium, forum dan banyak lagi usaha yang dilihat sebagai membantu gerakan rakyat. Walau bagaimanapun, bilangan intelektual yang terlibat secara langsung dalam pembinaan sebuah parti massa atau gerakan revolusioner adalah sangat terhad di negara kita. Sebagai contoh, Socialist Alternative di Amerika, Socialist Party di England, Workers and Socialist Party di South Afrika bukan sahaja mengeluarkan pelbagai bahan tulisan, journal, analisa politik dan sebagainya untuk menyebarkan idea-idea revolusi, mereka turut terlibat secara aktif dalam gerakan massa.

Mereka menjalankan kerja akar umbi seperti penjualan akhbar rakyat, kempen dan juga terlibat dalam pilihanraya bagi mencabar kekuasaan kapitalis. Ramai di antara golongan intelektual di negara tersebut telah sedar akan penipuan dan janji-janji utopia kapitalisme dan mula menyusunkan tenaga mereka ke dalam sebuah parti yang berstruktur. Berpuluh-puluh parti sebegini sedang diwujudkan di serata dunia sebagai alternatif yang jelas kepada sistem kapitalisme yang memudaratkan. Malangnya, golongan intelektual di Malaysia tidak ingin melihat menjangkau politik kapitalis dua parti, Pakatan dan BN. Bukan sekadar itu, intelektual di Malaysia sering mengambil posisi untuk tidak menggalakkan sebarang tuntutan anak muda yang boleh dilabel sebagai radikal, seperti tuntutan pendidikan percuma dan autonomi.

Sebagai permulaan, setiap intelektual yang menganggap diri mereka sebagai pejuang rakyat perlu mengetepikan retorik mereka bahawa politik negara Malaysia masih berlandaskan kepada politik perkauman, maka segala usaha alternatif politik selain daripada itu adalah tidak praktikal. Dari segi realiti, perbezaan antara kaum dan agama adalah sebuah ilusi yang digunakan oleh pihak pemerintah, hanya untuk memecah belahkan rakyat. Pelbagai penganiayaan dan penindasan telah dilakukan atas alasan ‘mengekalkan keharmonian negara’, tetapi kebanyakan golongan intelektual tidak mendedahkan penipuan kelas pemerintah dan tidak memberikan sebarang alternatif yang jelas kepada politik perkauman.

Pembahagian masyarakat mengikuti kelas adalah satu-satunya kaedah yang masuk akal dalam dunia moden ini. Tidak memerlukan seorang intelektual untuk berhujah bahawa kondisi kehidupan seorang pekerja Melayu biasa adalah serupa dengan seorang pekerja India berbanding dengan kondisi kehidupan seorang CEO, tidak kira kaum atau agama mereka. Politik yang berdasarkan kelas adalah lebih praktikal daripada politik perkauman yang cuma bertujuan untuk memecahkan persaudaraan rakyat. Kelas pemerintah yang mewarisi tradisi pecah perintah daripada penjajah British telah menggunakan taktik ini tanpa sebarang penentangan daripada sesiapa sehingga ke hari ini. Pada masa yang sama, jutawan-jutawan di Malaysia terdiri daripada berbilang kaum dan tiada sebarang keregangan di kalangan mereka.

Anak muda dan kumpulan mahasiswa merupakan lapisan yang paling aktif dalam sesebuah masyarakat. Dibekalkan dengan idea-idea yang baru dan akses kepada medium pendidikan, golongan anak muda dapat melihat lebih jauh jika di banding dengan kelas pekerja atau rakyat tertindas. Walaupun tidak terlibat secara langsung dalam mewujudkan nilai baru bagi mengembangkan ekonomi, gerakan anak muda sering menjadi inspirasi kepada gerakan yang lebih besar yang melibatkan massa. Seperti yang dilihat di 1968 Perancis, Reformasi Indonesia 1998, Revolusi Mesir dan Tunisia baru-baru ini, kebanyakan gerakan massa ini telah dimulakan oleh golongan anak muda yang berani dan tulus.

Walau bagaimanapun, setiap perjuangan yang telah berlaku tidak berjalan dengan lancar akibat kekurangan kejelasan mengenai rentak perjuangan massa. Di sini, golongan intelektual mempunyai tanggung jawab yang besar dalam melengkapkan sesebuah gerakan anak muda supaya ia boleh menyeru kepada semua lapisan masyarakat untuk turut berjuang bersama mereka. Jika golongan pemerintah atau pihak kapitalis dapat mengasingkan gerakan anak muda daripada massa, maka perjuangan mereka tidak dapat membuahkan hasil. Anak muda perlu menyusun diri mereka ke dalam sebuah organisasi politik yang dapat membawa aspirasi massa kehadapan supaya dapat menarik sokongan daripada majoriti rakyat. Tanpa sebuah strategi dan taktik yang tepat, anak muda tidak dapat memimpin massa ke arah sebuah perubahan tulen dan ini yang berlaku di Mesir dan Tunisia sekarang.

Kesukaran yang wujud bagi seseorang intelektual dalam menyedari peranan mereka dalam masyarakat adalah berpunca daripada pengasingan diri mereka daripada gerakan rakyat. Pengasingan ini berlaku disebabkan posisi mereka dalam masyarakat yang terlalu tinggi untuk menyedari realiti golongan majoriti atau kelas pekerja. Seringkali didapati bahawa individu intelektual memberikan komen, ulasan dan analisa daripada keselesaan bilik berhawa dingin dan langsung tidak pernah merasa keperitan hidup seharian seorang pekerja biasa. Keterlibatan golongan intelektual secara langsung dalam kerja-kerja membina organisasi politik dan kerja akar umbi adalah amat penting bagi menghasilkan sebuah perspektif politik yang dapat digunakan dengan efektif dalam gerakan rakyat.


Kelas pekerja dengan sendiri hanya akan melanjutkan perjuangan mereka sehingga ke tuntutan ekonomi sahaja. Usahasama daripada golongan kelas menengah seperti intelektual dan anak muda adalah amat penting untuk membawa perjuangan kelas pekerja ke arah tuntutan politik. Segolongan lapisan sedar daripada kelas pekerja perlu bergabung dengan intelektual proletar dan anak muda bagi mewujudkan sebuah organisasi yang menuntut untuk perubahan politik. Golongan intelektual mempunyai tanggungjawab untuk menggunakan kelebihan yang ada pada mereka untuk membantu dalam pembinaan parti revolusioner dan menguatkan organisasi kelas pekerja.

Peranan golongan intelektual telah dirumuskan oleh Karl Marx dalam satu ayat yang berbunyi -‘ahli falsafah sehingga kini hanya telah mentafsir dunia dalam pelbagai cara, walau bagaimanapun, tugas mereka adalah untuk mengubah dunia’.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*