Kemerosotan Sains dan Teknologi di bawah Kapitalisme

Kemerosotan Sains dan Teknologi di bawah Kapitalisme

Posted by

Walaupun perkembangan masyarakat kelas bermula kira-kira 10 ribu tahun lalu dan kemudian kemunculan kapitalisme telah mendorong perkembangan sains secara mendadak, kita dapat lihat hari ini bahawa kuasa-kuasa yang sama yang sebelum ini membawa kepada kemajuan kini telah menjadi halangan besar kepada perkembangan ilmu pengetahuan dan kuasa-kuasa produktif secara umum.

Khususnya, dibawah sistem kapitalisme yang berasaskan penswastaan dan pengeluaran yang bermotifkan keuntungan wang duit, ia sedang menjadi belenggu besar kepada pembangunan semua bidang masyarakat, termasuk sains. Di bawah kapitalisme, sebarang ‘idea’ itu sendiri telah menjadi harta peribadi atau “hak-hak harta intelek” dan dijadikan pemilikan swasta. Ahli-ahli sains yang terbaik tidak berkerjasama dengan menggunakan semua sumber intelektual dan saintifik yang boleh didapati untuk menyelesaikan masalah masyarakat, tetapi penyelidikan yang berasingan diadakan di atas nama persaingan. Kesemua hasil penyelidikan itu seperti teknologi dan kaedah baru yang ditemui kemudiannya menjadi harta persendirian yang digunakan untuk mengaut untung bagi golongan segelintir.

Walaubagaimanapun, semua pengetahuan saintifik merupakan hasil sejarah generasi sebelum ini. Semua kejayaan cemerlang dalam sains memerlukan pengetahuan yang telah di kumpul oleh kerja keras untuk berabad-abad lamanya tetapi di bawah kapitalisme, dengan sikap “pemenang mendapat semua”, pengetahuan sosial ini dijadikan harta persendirian. Dengan adanya hak harta intelek, sifat parasit kapitalisme yang menswastakan produk-produk tenaga pekerja sosial itu terdedah dengan nyata.

Persaingan buta mengejar untung ini juga akan menghasilkan ketidakcekapan dan pembaziran akibat kekurangan perancangan yang menyebabkan pertindihan usaha di kalangan sektor swasta. Penyelidikan sektor awam yang dijalankan di universiti awam misalnya akan dapat membebaskan diri dari belenggu persaingan dan ketidakcekapan tersebut. Malangnya ini tidak berlaku; sebaliknya, kita dapat melihat bagaimana hukum-hukum persaingan kapitalis itu sering berjaya menyelinap ke dalam institusi awam.

Sebagai contoh, kajian saintifik di universiti tempatan mendapat sebahagian besar daripada dana untuk penyelidikan daripada dana awam, iaitu melalui kutipan cukai dan yuran pelajar. Memandangkan krisis kapitalisme global yang sedang memberi kesan di negara kita juga, kerajaan sedang memotong perbelanjaan awam yang juga merangkumi dana-dana kepada institut awam dan pembiayaan itu sedang dikurangkan. Oleh itu, ia menjadi semakin biasa bagi universiti untuk bergantung kepada institusi swasta sebagai sumber dana mereka. Bukanlah sukar untuk melihat bagaimana motif keuntungan yang didahagakan oleh korporat dan badan-badan swasta akan langsung mempengaruhi sebarang penyelidikan yang dilakukan atas nama sains.

Sebilangan besar institusi pengajian di Malaysia dan di serata dunia kini berada di kawalan swasta dan pendidikan atau pengajian sedang dijual beli seperti komoditi di pasaran bebas. Institusi awam yang sedia ada seperti universiti-universiti tempatan juga sedang dalam proses penswastaan dan semakin banyak bahagian daripada universiti tersebut sedang diambil alih oleh pengurusan swasta. Sedikit demi sedikit, pihak kapitalis dalam bentuk korporasi besar atau syarikat-syarikat gergasi akan cuba memonopoli segala proses pembelajaran dan kajian untuk dipergunakan sebagai tempat melombong keuntungan. Penguasaan kapitalis keatas sains sudahpun memberikan kesan yang mendalam bagi umat manusia sedunia.

Ambil contoh petani-petani di India yang terpaksa membunuh diri akibat tidak mampu menampung diri sendiri dan keluarga disebabkan oleh penswastaan teknologi benih bijirin GMO. Teknologi GMO ( organisme yang diubahsuai secara genetic ) merupakan hasil kajian beribu tahun oleh masyarakat manusia yang dimantapkan oleh ahli sains bagi menghasilkan bijirin yang cepat membesar dan berkualiti tinggi bagi kegunaan kita semua. Suatu ketika dahulu dianggap bahawa teknologi GMO ini akan menyelesaikan masalah kebuluran dunia.

gmo

Akan tetapi, di tangan korporasi swasta seperti Monsanto, GMO digunakan untuk mewujudkan bijirin yang tidak boleh menghasilkan biji benihnya sendiri. Maka, petani-petani miskin di India dipaksa untuk membeli biji benih daripada syarikat swasta setiap kali habis menuai hasil mereka dimana sebelum ini mereka tidak bergantung dengan sesiapa. Pengenalan teknologi ini keatas kehidupan masyarakat tani di India juga telah mewujudkan persaingan antara mereka yang memberi kesan kepada harga bijirin dan memaksa lebih ramai petani untuk menjadi pelanggan syarikat penjual benih GMO. Petani-petani yang berdegil untuk kekal dengan cara lama pula tidak akan dapat bersaing dalam pasaran yang menawarkan bijirin yang lebih berkualiti hasil teknologi GMO.

Walaupun para petani di India tidak dapat menampung ekonomi mereka dan beribu-ribu daripada mereka membunuh diri, pihak swasta tidak berganjak daripada motif untuk membuat keuntungan maksimum. Pada masa yang sama, ahli sains lain tidak dibenarkan untuk menambahbaik biji benih tersebut menggunakan teknologi GMO akibat hak-hak harta intelek dan undang-undang paten semuanya dimiliki oleh syarikat-syarikat gergasi tersebut. Semestinya kerajaan tempatan di negara-negara ini juga bergantung dengan syarikat multinasional yang sudah monopoli sebahagian besar bidang teknologi dan sains.

Masalah petani di India merupakan sekadar permukaan kepada sebuah masalah yang lebih dalam, iaitu betapa bahayanya jika kita membenarkan penguasaan sesuatu yang amat berguna bagi semua umat manusia seperti sains di tangan segelintir bagi tujuan membuat keuntungan maksimum. Krisis Ebola di Afrika Barat juga merupakan satu lagi contoh kepada kepincangan sistem kapitalisme. Virus Ebola diketahui oleh komuniti perubatan semenjak 70-an lagi, tetapi usaha-usaha mencari vaksin tidak diteruskan kerana negara-negara yang terlibat dengan virus Ebola adalah negara miskin yang tidak mempunyai dana yang cukup untuk membeli vaksin tersebut. Syarikat perubatan dan farmasi besar hanya melihat kepada motif keuntungan dan lebih giat mengeluarkan barangan kosmetik yang mempunyai permintaan yang tinggi di negara-negara maju seperti Amerika Syarikat dan Eropah. Antaranya adalah seperti ubat Statin yang telah memakan belanja berjuta-juta dolar untuk diperkembangkan dan berfungsi untuk mengurangkan kolesterol bagi tujuan pelangsingan badan.

Persoalan yang harus di tanya di sini adalah bagaimana untuk menggunakan sains dan teknologi bagi kepentingan semua dan bukan sekadar berperanan sebagai hamba kepada keuntungan wang duit. Jika kita dapat menggunakan sains bagi manfaat sejagat, ia akan memberi kesan positif yang sangat besar. Terutamanya pada zaman krisis ekonomi dan politik global dimana seringkali umat manusia diancam dengan perang dan kemerosotan alam sekitar, sains dan teknologi harus dijadikan milik bersama dan digunakan untuk menyelesaikan masalah-masalah besar untuk menjamin kesinambungan umat manusia. Sosialis berhujah untuk penyaluran sumber alam, tenaga kerja mental mahupun fizikal dengan bertanggungjawab berlandaskan keperluan majoriti dan bukan keuntungan segelintir kapitalis. Syarikat-syarikat farmasi besar perlu diletakkan di bawah pemilikan dan pengawalan pekerja supaya dapat dipergunakan untuk manfaat semua. Pada masa ini, sistem pasaran bebas meletakkan kuasa dan kawalan di tangan segelintir yang kaya dan hanya mementingkan motif keuntungan semata-mata.

Adalah jelas bahawa kapitalisme yang telah menyumbang kepada perkembangan sains kini terpaksa diusir keluar dari pentas sejarah. Had-had yang wujud akibat pemilikan dan pengeluaran swasta untuk keuntungan telah menjadi belenggu yang sangat besar kepada pembangunan sains dan masyarakat secara keseluruhannya. Hanya dengan transformasi sosialis masyarakat, yang melibatkan pelan demokratik dalam pengeluaran dan penyelengaraan, kita boleh menggunakan potensi yang besar yang kini terbiar sia-sia di bawah kapitalisme.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*