Kemenangan Untuk Politik Kelas Pekerja dan Sosialisme di Seattle, Amerika Syarikat

Kemenangan Untuk Politik Kelas Pekerja dan Sosialisme di Seattle, Amerika Syarikat

Posted by

Pada pemilihan ahli Majlis Bandaraya Seattle di Amerika Syarikat untuk penggal seterusnya pada awal bulan November ini, Kshama Sawant wakil Sosialis Alternatif (CWI Amerika Syarikat) telah memenangi lebih 55 peratus undi untuk berkhidmat empat tahun lagi di Majlis Bandaraya Seattle. Ini adalah satu pencapaian bersejarah bagi pekerja-pekerja di Seattle dan di seluruh Amerika. Dengan sokongan lebih 600 sukarelawan kelas pekerja dan anak muda, dan 30 kesatuan sekerja mereka berjaya mengalahkan barisan gabungan perniagaan yang besar dan politik aliran utama yang berfungsi untuk kepentingan korporat dan kapitalis.

Lawan kepada Kshama daripada parti Demokrat mendapat sokongan kewangan daripada jutawan-jutawan syarikat-syarikat kapitalis seperti Microsoft, Amazon dan Alaska Airlines. Jutawan-jutawan ini adalah penentang utama terhadap gerakan gaji minimum 15 dolar yang mencapai kejayaan bersejarah dengan Seattle sebagai bandar pertama yang berjaya melaksanakan gaji minimum 15 dolar pada tahun lepas. Gerakan 15 dolar ini dipimpin oleh Kshama dan Sosialis Alternatif kini telah merebak keseluruh bandar-bandar ustama di Amerika. Jutawan-jutawan ini juga telah melancarkan serangan anti-kesatuan melalui persatuan-persatuan majikan seperti Persatuan Restoran Washington dan Persatuan Hotel. Jutawan-jutawan ini juga adalah pemaju-pemaju perumahan yang membuat keuntungan besar dan meningkatkan harga perumahan dan sewa rumah yang mengakibatkan rakyat biasa tidak mampu tinggal di bandar Seattle. Pendek kata, wakil parti Demokrat ini telah disokong sepenuhnya oleh parti Republik dan ‘wang besar’ daripada Demokrat.

Sebaliknya, Kshama dan Sosialis Alternatif telah melancarkan kempen berlandaskan kepada kelas pekerja dan anak muda yang jelas anti-korporat yang sama sekali tidak mengambil sebarang kewangan daripada kepentingan korporat, tetapi dibiayai sepenuhnya oleh sumbangan kewangan daripada ribuan pekerja, rakyat biasa dan anak muda. Skala kempen akar umbi Sosialis Alternatif adalah bukti kepada kedahagaan kelas pekerja Amerika untuk satu alternatif yang berani dan jelas kepada politik bankrap kedua-dua Parti Demokratik dan Parti Republikan. Ia juga mencerminkan bagaimana Sosialis Alternatif telah berjaya memperoleh keyakinan warga pekerja di Seattle, dengan menggunakan kedudukan di Majlis Bandaraya untuk memperjuangan hak dan kepentingan kelas pekerja dan mereka yang dipinggirkan oleh sistem. Dalam tempoh dua tahun Kshama dalam Majlis Perbandaran, gerakan pekerja bukan sahaja telah memenangi gaji minimum 15 dolar, malah telah berjaya memberhentikan kenaikan sewa perumahan awam, memenangi berjuta-juta dolar untuk perkhidmatan awam dalam bajet bandar, secara aktif membantu mogok guru dan berjaya baru-baru ini, menggantikan Hari Columbus dengan Hari Adat Rakyat di bandar Seattle.

Sosialis Alternatif telah menunjukkan bahawa pemilihan seorang sosialis di bandar utama Amerika Syarikat bukanlah satu yang jatuh dari langit, tetapi melalui kekuatan dasar-dasar politik kelas pekerja dan sosialis padu dan jelas. Sosialis Alternatif telah memberikan ungkapan sosialis untuk rasa tidak puas hati yang mendalam dan kemarahan warga pekerja akibat pendapatan yang rendah, ketidaksamaan kaum dan jantina. Sosialis Alternatif melakukan ini dengan berkempen untuk isu-isu kawalan sewa, melawan pemaju-pemaju, dan menuntut bahawa pemaju besar dan yang kaya dikenakan cukai tinggi untuk menampung kos perbelanjaan pembinaan perumahan yang mampu dimiliki dan pengangkutan awam. Seruannya untuk revolusi politik menentang kelas jutawan, di samping menolak sebarang sumbangan daripada korporat, telah membuka ruang baru untuk perbincangan tentang idea-idea sosialis,dan politik kelas pekerja di Amerika Syarikat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*