Gelandangan dan Sistem Kapitalisme

Gelandangan dan Sistem Kapitalisme

Posted by

Di Malaysia, isu tentang golongan gelandangan bukanlah sesuatu yang baharu. Bahkan, peningkatan jumlah golongan ini di banyak bandar telah menunjukkan betapa ia semakin serius di negara ini. Secara umumnya, golongan gelandangan adalah mereka yang berasal dari kampung dan desa, yang telah berhijrah ke bandar-bandar untuk mencuba nasib.

Walau bagaimanapun, mereka tidak memiliki pendidikan yang baik, modal kewangan yang mencukupi, pengetahuan yang luas, dan lain-lain lagi. Namun begitu, perkara ini tidaklah bermakna bahawa golongan gelandangan semuanya berasal dari luar bandar. Hal ini kerana kesesakan dan kesempitan hidup di bandar juga telah memaksa sebahagian individu untuk hidup sebagai geandangan. Mereka tidak mampu memiliki tempat kediaman, pekerjaan dan sumber kewangan yang tetap.

Kebelakangan ini, ramai pihak yang cuba untuk menolong golongan gelandangan itu dengan menawarkan tempat tinggal, makanan, pakaian dan sebagainya. Ia adalah usaha yang seharusnya dihargai oleh kita kerana sedikit sebanyak ia dapat membantu mereka untuk terus hidup dan bertahan. Walau bagaimanapun, ia hanyalah untuk jangka masa pendek sedangkan jurang antara mereka yang kaya dan miskin masih tetap ada. Punca kepada sebab-sebab mengapa gelandangan ini wujud juga belum dapat diselesaikan. Akhirnya, golongan gelandangan semakin hari makin bertambah.

Masalah gelandangan timbul kerana kesan daripada sistem kapitalisme. Ketika para kapitalis berusaha untuk memaksimumkan keuntungan bagi diri mereka sahaja, ramai orang yang telah dieksploitasi dan ditinggalkan jauh ke belakang. Hal ini terjadi kerana dalam sistem kapitalisme, satu-satunya cara untuk mengawal manusia adalah melalui wang. Kos sara hidup yang tinggi, pengangguran, kemudahan rumah dan kesihatan yang mahal, pendidikan yang diniagakan, dan lain-lain lagi telah menimbulkan tekanan demi tekanan dalam masyarakat yang akhirnya menghimpit mereka dengan teruk. Justeru, masalah inilah yang harus ditangani bersama. Penyelesaian ini tidak akan dapat ditemui dalam kerajaan kapitalis.

Ia hanya boleh dicapai melalui perjuangan masyarakat dan kelas pekerja itu sendiri. Perjuangan yang dimaksudkan adalah dengan menghapuskan sistem kapitalisme dan menggantikannya dengan sosialisme. Dalam sosialisme, keuntungan bagi sesetengah pihak sahaja tidak akan terjadi. Hal ini kerana penghasilan segala barang dan perkhidmatan adalah untuk kegunaan semua orang dengan adil dan sama rata tanpa mengira status mereka dalam masyarakat, tanpa menentukan siapa yang mendapat untung dan sebaliknya, tanpa mendiskriminasi dan mengeksploitasi. Ekonomi akan dirancang dengan sebaik-baiknya dan kesimpulannya adalah untuk memenuhi keperluan semua manusia, bukannya memenuhi keuntungan bagi segelintir pihak sahaja sebagaimana yang telah berlaku dalam sistem kapitalisme.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*