TAHUN 2015: HAK RAKYAT BIASA TERUS DIPINGGIRKAN !

TAHUN 2015: HAK RAKYAT BIASA TERUS DIPINGGIRKAN !

Posted by

Tahun 2015 sudah sampai ke penghujungnya. Tahun ini banyak mencatatkan peristiwa penting yang memberi impak langsung kepada rakyat Malaysia keseluruhannya, khasnya rakyat kelas pekerja.

Apa yang dapat dirasakan adalah, tahun ini merupakan tahun
yang mencekik rakyat Malaysia disebabkan oleh keadaan ekonomi yang semakin merudum baik di peringkat global mahupun tempatan. Perkara itu diterukkan lagi dengan dasar kerajaan yang tidak berpihak kepada rakyat biasa.

Bencana ekonomi tahun ini diawali pada bulan Februari ketika skandal mega rasuah 1MDB didedahkan oleh portal berita Sarawak Report dan diulang siar oleh media antarabangsa Wall Street Journal. Semenjak itu, polemik mengenainya berterusan sepanjang tahun ini dan tidak ada tanda menunjukkan kes ini dapat diselesaikan dalam masa terdekat. Terbongkarnya skandal yang melibatkan orang paling berkuasa di Malaysia menggoncangkan poliitik negara ini ternyata juga melibatkan penyelewengan dana Tabung Haji.

Tidak lama setelah terbongkarnya skandal itu, kerajaan BN tetap melaksanakan GST berkuatkuasa mulai 1 April, walaupun telah ditentang keras oleh rakyat. Cukai sebanyak 6% dikenakan kepada setiap individu tanpa mengira status ekonomi mereka. Beban itu dirasakan setiap kali berbelanja. Sebahagian besar barang keperluan harian dikenakan cukai ini. Maka pada 1 Mei, bertepatan dengan peringatan Hari Pekerja Sedunia, ribuan rakyat Malaysia turun berdemonstrasi menolak GST.

Beban ekonomi yang ditanggung rakyat kerana GST bertambah berat dengan keadaan ekonomi yang semakin merudum. Nilai tukar matawang Ringgit mengalami penurunan yang drastik dari RM3.4 menjadi RM4.5 berbanding Dolar Amerika hanya dalam masa beberapa bulan, menyebabkan keadaan ekonomi semakin merudum.

Di tengah situasi itu, Perdana Menteri Najib Razak mengakui pernah menerima wang sejumlah RM2.6 bilion ke akaun bank peribadi beliau dari sumber yang tidak dinamakan. Spekulasi menjangkakan wang ini ada kaitannya dengan skandal 1MDB yang tengah hangat diperkatakan. Pengakuan Najib ini mendapat reaksi keras dari dalam partinya sendiri yang membuat beliau terpaksa merombak kabinet dengan menggugurkan timbalannya, Muhyidin Yasin dan beberapa menteri lain.

Sedangkan di pihak lain, Pakatan Rakyat juga berkubur selepas berlakunya perpecahan dalaman di dalam PAS dan juga pertelingkahan pemimpin parti itu dengan parti DAP dalam banyak perkara. Walaupun usaha untuk menggantikannya dengan satu pakatan baru yang dinamakan Pakatan Harapan sudah dilakukan, tetapi sama ada ia boleh memenuhi harapan rakyat untuk menjadikan taraf hidup rakyat lebih selesa nampaknya masih jauh dari harapan.

Tahun ini juga menyaksikan perhimpunan BERSIH 4 yang diadakan selama dua hari menjelang sambutan Hari Kemerdekaan. Perhimpunan ini dihadiri oleh ratusan ribu rakyat yang tidak berpuas hati dengan situasi politik dan ekonomi semasa di Malaysia. Walaupun dianggap berjaya oleh penganjurnya dari jumlah peserta, tetapi perhimpunan ini tidak berjaya mencapai tuntutannya supaya Najib undur.

Justeru kerajaan di bawah pentadbiran Najib semakin menekan rakyat dengan dasar-dasar ekonomi yang membebankan. Dalam keadaan rakyat biasa semakin terhimpit, kerajaan menaikkan bayaran tol pada bulan September dan juga tambang
pengangkutan komuter di bulan Oktober. Sedangkan harga barangan mengalami kenaikan sepanjang tahun. Kerajaan juga telah menyetujui untuk menandatangani perjanjian TPPA yang akan membuka seluas-luasnya pintu negara ini kepada pasaran bebas.

Ini bermakna kerajaan tidak akan memiliki kuasa lagi untuk mengawal harga jenis barangan tertentu yang mekanismenya diserahkan sepenuhnya ke pasaran. Contoh yang selalu diberikan berkenaan ini adalah tidak tersedianya lagi ubat murah yang disubsidi kerajaan.

Keputusan kerajaan menandatangani TPPA akan menjadikan nasib rakyat biasa akan semakin tertekan pada tahun- tahun yang akan datang. Sebagai penawarnya, kerajaan hanya akan menaikkan gaji minima sebanyak RM 1000 di semenanjung dan RM900 di Sabah dan Sarawak bermula Julai tahun 2016. Belum lagi dilaksanakan, rancangan tersebut sudah mendapat protes daripada persatuan majikan. Dengan agenda kapitalis terus diperkasakan, pada tahun 2016 juga warga pekerja dijangka akan terus dianiaya dengan pelbagai tekanan ekonomi dan sosial. Kelas pekerja tidak mempunyai pilihan lain selain untuk bersatu dan berjuang demi hak dan keperluan mereka.demo-gst-2

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*