Ikan sungai, punca makanan bagi penduduk setempat semua mati diracun sisa toksik lombong bauksit

Ikan sungai, punca makanan bagi penduduk setempat semua mati diracun sisa toksik lombong bauksit

Isu Bauksit : Pencemaran Alam Semakin Berleluasa

Posted by

Akhir-akhir ini, masalah pencemaran alam yang berpunca daripada aktiviti penerokaan hasil alam dengan tidak terkawal semakin berleluasa. Kemusnahan tempat tadahan air semulajadi di hutan-hutan simpanan akibat penebangan hutan yang terlampau telah menyebabkan banjir-banjir luar biasa di timur dan utara semenanjung Malaysia dalam beberapa tahun ini. Beratus ribu rakyat telah hilang tempat tinggal dan terpaksa bergantung dengan bantuan awam untuk berbulan-bulan lamanya.

Kini, akibat penggalian bauksit yang tidak terkawal di beberapa tempat di semenanjung Malaysia, rakyat biasa sedang menghadapi pencemaran alam yang membahayakan kehidupan mereka. Selama setahun ini, banyak kawasan pedalaman dan kampung-kampung kecil telah merasai kesan perlombongan bauksit apabila sungai dan jalan raya berubah menjadi merah dan udara mereka sentiasa berdebu.

Pada tahun 2014, Indonesia menghentikan semua ekspot bauksit ke China bagi mengembangkan produksi logam domestik mereka. Langkah ini mengakibatkan harga bauksit melambung naik dan pengusaha-pengusaha perlombongan menggandakan pengeluaran bauksit di negara-negara lain termasuk di Malaysia. Pada tahun 2013, China cuma mengimport sebanyak 208 770 tan bauksit daripada Malaysia tetapi pada tahun 2014, jumlah itu meningkat 400% ke 962 800 tan dan tahun lepas lebih 12 juta tan.

Walaupun masyarakat yang hidup berdekatan dengan kawasan perlombongan bauksit sudah lama menjadi mangsa pencemaran, fenomena laut merah di Pantai Batu Hitam dan Pantai Balok baru-baru ini telah mendapat perhatian nasional. Ia telah mendapat liputan antarabangsa apabila stesen berita Al-Jazeera juga telah melaporkan peristiwa tersebut dan ramai di kalangan rakyat Malaysia telah menyatakan kebimbangan mereka melalui laman sosial.

Rakyat yang hidup berhampiran dengan kawasan perlombongan ini terpaksa bertolak-ansur dengan pencemaran yang dihasilkan oleh jentera-jentera dan kenderaan perlombongan yang keluar masuk menggunakan laluan awam. Tumpahan bauksit keatas jalan raya menjadi debu pada hari panas dan berlumpur apabila hujan.Tempat kediaman mereka juga sering dilanda banjir kilat yang berlumpur. Penggalian bauksit yang menghasilkan bertan-tan sisa lumpur bertoksik akan dibuang kedalam sungai-sungai yang berhampiran. Sisa toksin yang mengandungi arsenik dan merkuri sedang meracuni ikan-ikan sungai dan sumber makanan penduduk sekitar.Akibatnya, banyak diantara sungai-sungai tersebut sedang mengalir kemerahan sehingga ke persisiran pantai.

Tidak kurang juga masalah yang dialami oleh penduduk setempat apabila ribuan lori yang membawa muatan yang berat mula menggunakan jalan raya awam setiap hari. Beberapa kemalangan telah dilaporkan dan setakat ini beribu-ribu lori telah di sita oleh pihak berkuasa disebabkan kesalahan kompaun yang berjumlah jutaan ringgit. Walaubagaimanapun, banyak diantara lori tersebut dikatakan masih sedang melanggar undang-undang seperti membawa melebihi had muatan dan pihak berkuasa tidak mempunyai anggota yang mencukupi untuk memantau aktiviti tersebut dengan lancar.

Industri perlombongan bauksit merupakan industri yang membawa keuntungan yang besar bagi pengusaha-pengusaha lombong. Pengusaha bauksit telah meraih sebanyak RM750 juta dalam profit bagi tahun 2014 dan angka itu dianggarkan menghampiri RM1 billion bagi tahun lepas. Industri ini juga menyumbang sebanyak 5.6% daripada KDNK negara dan merupakan antara industri utama nasional. Menurut pakar, bahkan pelombong haram sedang meraih untung sebanyak RM66 juta sebulan daripada melombong bauksit secara haram.

Akan tetapi, segala keuntungan yang dibuat dengan perlombongan bauksit ini langsung tidak dirasai oleh rakyat biasa. Walaupun Malaysia telah menjadi pengeluar bauksit terbesar di dunia, kondisi kehidupan rakyat yang hidup berhampiran dengan kawasan penggalian bauksit sedang merosot setiap hari. Bukan sekadar pencemaran persekitaran mereka, malah kondisi ekonomi mereka juga semakin merosot dengan beban cukai GST dan pemotongan perbelanjaan awam oleh kerajaan.

Kedua-dua kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri harus dipersalahkan bagi kesengsaraan ratusan ribu rakyat biasa. Kerajaan telah membenarkan pengusaha-pengusaha kapitalis besar untuk membuat untung berjuta-juta ringgit tanpa mengambil kira nasib rakyat biasa. Dengan ini kita dapat lihat dengan jelas kepincangan parti-parti politik yang memberikan gambaran bahawa mereka berpihak kepada rakyat biasa tetapi sebenarnya mereka hanya menurut perintah kapitalis-kapitalis besar.

Selepas diasak dengan kritikan daripada pelbagai pihak, akhirnya kerajaan telah mengambil langkah untuk menghentikan produksi bauksit buat sementara waktu. Realitinya, produksi bauksit Malaysia sudah jauh menjangkau anggaran dan pengusaha-pengusaha besar masih sedang duduk diatas timbunan bauksit yang sudah di gali tetapi belum dieksport. Pastinya, selepas isu ini menjadi dingin, industri ini akan bermula sekali lagi secara senyap-senyap.

Walaupun bauksit merupakan bahan utama dalam pengeluaran aluminium yang amat berguna untuk kita semua, sikap tidak bertanggungjawab daripada pihak penguasa syarikat perlombongan dan kerajaan merupakan punca utama bagi permasalahan yang timbul. Kapitalis yang memiliki syarikat perlombongan dan mengawal ahli politik cuma mementingkan keuntungan maksimum tanpa memikirkan kesan sampingan kepada masyarakat. Dengan jelas, penggalian bauksit di bawah kawalan kapitalis besar tidak mengambil kira kebajikan rakyat Malaysia secara umum tetapi hanya bertujuan untuk mengumpul harta persendirian.

Penggalian bahan mentah daripada alam semula jadi harus dipantau oleh badan-badan awam yang bebas daripada pengaruh kapitalis atau parti-parti yang menyokong kapitalis. Pengurusan bagi kerja-kerja sebegitu juga harus dikawal oleh kelas pekerja dan rakyat biasa secara demokratik. Pendduk setempat yang akan mendapat kesan daripada aktiviti perlombongan harus diberikan penjelasan dan pampasan yang setimpal dan harus mendapat persetujuan mereka secara demokratik.

Sebuah perubahan yang nyata tidak mampu dibawa oleh parti-parti yang menyokong kapitalis, biarlah parti pemerintah ataupun pembangkang. Rakyat biasa dan kelas pekerja memerlukan perwakilan politik mereka sendiri bagi mempertahankan kehidupan mereka. Di Malaysia pada masa ini, dengan situasi sosial dan ekonomi yang makin merosot bagi rakyat biasa, kelas pekerja harus mengambil langkah untuk membina sebuah kepimpinan politik massa dengan halatuju yang jelas. Idea-idea sosialisme yang mementingkan kebajikan rakyat dan alam sekitar harus menjadi alat utama dalam berjuang mengalahkan penguasaan kapitalisme.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*