100 HARI PH : Warga Pekerja Mengundi PH, PH Mengutamakan Golongan Terkaya 1%!

100 HARI PH : Warga Pekerja Mengundi PH, PH Mengutamakan Golongan Terkaya 1%!

Posted by

Warga pekerja dan rakyat biasa tidak puashati apabila kerajaan PH mengumumkan gaji minimum baru RM1050 iaitu kenaikan sebanyak RM50 dan RM 130 masing-masing di Semenanjung Malaysia, dan, Sabah/Sarawak. Kebanyakan warga pekerja yang telah menyokong dan mengangkat PH sebagai kerajaan dalam PRU14 dengan harapan ‘Malaysia baru’ yang memihak kepada mereka sudah terbina, tetapi merasa hampa dan dikhianati apabila PH yang menjanjikan kenaikan taraf hidup pekerja dan mengurangkan jurang antara kaya miskin, tunduk kepada desakan dan kehendak persatuan majikan serta pelabur dan peniaga besar di negara ini.

Kerajaan sepatutnya mempergunakan mandat dan kuasa politik yang diberikan oleh rakyat untuk memihak dan memenuhi keperluan rakyat terbanyak, dan bukannya tunduk kepada tekanan golongan minoriti terkaya 1%. Untuk meningkatkan taraf hidup pekerja dan memastikan pengagihan kekayaan yang saksama dan adil seperti yang dijanjikan oleh PH, kenaikan gaji pekerja perlu berdasarkan kepada inflasi negara, dan pada masa yang sama harga barangan dan kos perkhidmatan perlu dikawal dan diurus dengan adil oleh kerajaan. Untuk itu golongan terkaya yang jumlahnya kurang daripada 1% di negara ini yang mempunyai kekayaan yang melampau perlu didesak oleh kerajaan untuk mengorbankan sebahagian kemewahan mereka demi memastikan pengagihan kekayaan yang lebih adil kepada warga pekerja dan rakyat terbanyak di negara ini.

Malangnya, kerajaan PH sepertimana BN mempergunakan warga pekerja dan rakyat biasa sebagai kuda tunggangan untuk mendapatkan undi dan seterusnya kuasa pemerintahan. Selepas kuasa di tangan mereka, pekerja menjadi seperti kulit yang dilupakan oleh kacang, manakala majikan dijaga dan kehendak mereka dipertahankan. Dalam lebih 100 hari pemerintahan kerajaan PH, ianya tidak menampakkan keseriousan dalam menunaikan janji-janji kepada pekerja dan rakyat biasa terutamanya dalam meningkatkan keperluan ekonomi dan sosial mereka.

Di antara hujah-hujah yang dipergunakan oleh PH untuk menjustifikasi penetapan gaji minimum baru ini adalah seperti ekonomi negara tidak baik; produktiviti pekerja yang rendah; kos barangan akan meningkat; negara akan hilang kuasa persaingan; penutupan perniagaan akan meningkat akibat peningkatan kos membayar gaji; pengangguran akan meningkat, yang mana alasan-alasan ini bukanlah baru, dan sudah didendangkan berulangkali ketika pemerintahan 60 tahun BN. Hujah yang sama pernah digunakan oleh Mahathir untuk menidakkan perlaksanaan gaji minimum ketika 22 pemerintahannya di bawah BN.

Hujah dan alasan ini sebenarnya adalah hujah golongan peniaga dan pelabur besar serta golongan terkaya di negara ini yang yang mahu terus mempertahankan sistem kapitalisme yang memberikan mereka kelebihan untuk mengeksploitasi sumber alam serta tenaga buruh di negara ini dengan matlamat menimbunkan keuntungan semaksimum yang boleh. Sebab itu golongan kapitalis yang kurang daripada 1% semakin kaya, manakala warga pekerja dan rakyat biasa yang merupakan rakyat terbanyak semakin miskin. Jelas kerajaan menjadi pak turut kepada kediktatoran sistem pasaran bebas kapitalisme walaupun rakyat terbanyak menjadi mangsa kepada polisi kerajaan yang sangat memihak kepada motif keuntungan golongan kapitalis. Manakala hujah-hujah dan tuntutan-tuntutan warga pekerja dan rakyat terbanyak dibelakangkan semata-mata untuk mendukung hujah sistem pasaran bebas yang memanfaatkan majikan dan golongan terkaya.

Ekonomi negara yang dikawal oleh golongan kapitalis ini mengakibatkan jurang kaya miskin semakin meningkat, manakala taraf hidup pekerja semakin menurun walaupun produktiviti semakin meningkat. Ternyata, walaupun berbagai janji ditaburkan oleh PH dalam manifesto pilihanraya yang lalu termasuk gaji minimum RM1500, tetapi apabila tiba masa perlaksanaan tidak mampu berpihak kepada kehendak rakyat terbanyak. PH sanggup tunduk kepada kehendak golongan minoriti terkaya negara ini yang jelas lebih berkuasa daripada kerajaan. ‘Tangan tersembunyi’ kapitalis di belakang tabir pemerintahan PH yang sebenarnya mendasarkan polisi dan agenda kerajaan PH sepertimana dipraktikkan oleh kerajaan BN sebelum ini.

Hanya kerajaan yang sanggup mencantas ‘tangan tersembunyi’ dan meruntuhkan kediktatoran ekonomi pasaran bebas serta membina politik alternatif yang memihak kepada rakyat terbanyak, maka Malaysia Baru yang diimpikan boleh dibina serta keperluan, hak dan demokrasi warga pekerja, anak muda dan rakyat biasa mampu diperkembang dan dimaksimumkan.

Tuntutan Sosialis Alternatif:

  • Tingkatkan Cukai Pendapatan Dan Cukai Korporat Terhadap Golongan 1% Terkaya!
  • Laksanakan Gaji Minimum Yang Adil berlandaskan Inflasi Untuk Semua Pekerja!
  • Laksanakan Kawalan Kenaikan Harga Barang dan Kos Perkhidmatan dengan serious !
  • Tingkatkan Kebajikan rakyat dan Infrastruktur Awam Seperti Kemudahan Kesihatan, Perumahan, Pengangkutan dan Pendidikan!
  • Hapuskan Hutang PTPTN Dan Laksanakan Pendidikan Percuma!
  • Bina Kesatuan Sekerja yang demokratik dengan kepimpinan yang mantap dan pro-pekerja
  • Tidak kepada Ekonomi Pasaran Bebas Kapitalisme yang bermatlamat keuntungan maksimum dan bersifat meningkatkan jurang kaya miskin !
  • Bina Ekonomi Terancang yang Demokratik Untuk Keperluan Dan Hak Rakyat Terbanyak Dengan Pengurusan Dan Kawalan Kelas Pekerja dan Rakyat Biasa !
  • Miliknegarakan secara demokratik entiti-entiti kewangan dan perniagaan utama negara di bawah pengurusan dan kawalan kelas pekerja dan rakyat biasa untuk meningkatkan keperluan dan hak rakyat terbanyak.
  • Bina Parti Massa Pekerja dengan sokongan anak muda, petani dan golongan tertindas yang lain ke arah membentuk kerajaan berpaksikan hak, keperluan dan demokrasi rakyat terbanyak.
  • Bina demokratik sosialisme untuk keperluan rakyat terbanyak sebagai alternatif kepada sistem kapitalisme yang mementingkan golongan 1% terkaya

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

*